kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,711
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,711
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
APMF 2026 Buka Tirai, Xinhua Himpun Media Asia-Pasifik, Gesa Perkukuh Kerjasama
Forum Media Asia-Pasifik (APMF) 2026 di sini dibuka secara rasmi hari ini, menghimpunkan pemimpin media dan wakil dari seluruh rantau ini menjelang persiapan China untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 pada 18 dan 19 Nov.
Pada majlis pembukaan itu, Agensi Berita Xinhua China menyeru organisasi media di seluruh Asia-Pasifik supaya memperkukuh kerjasama dan membangkitkan suara rantau ini dalam landskap maklumat global susulan ketidaktentuan yang semakin ketara.
Ketua Pengarang Xinhua, Lyu Yansong berkata organisasi berita bukan sahaja perlu merakamkan perkembangan zaman malah juga melaksanakan peranan dalam menggalakkan kerjasama yang saling bermanfaat dan menyumbang kepada penambahbaikan tadbir urus global.
Beliau menyeru organisasi media supaya memperkukuh peranan masing-masing sebagai jambatan untuk kerjasama dan persefahaman antara rakyat di samping menyampaikan kisah positif kerjasama Asia-Pasifik kepada khalayak global.
"Kita perlu bersama-sama menyebarkan mesej positif mengenai kerjasama Asia-Pasifik dan menjadikan suara Asia-Pasifik yang bergerak maju dan berganding bahu bergema lebih lantang dalam arena pendapat umum global," katanya ketika berucap pada forum tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin merupakan antara pemimpin media yang menyertai forum ini.
Lyu berkata kalangan wartawan juga boleh menyumbang dengan melaporkan dari barisan hadapan mengenai kerjasama ekonomi dan perdagangan, pertukaran antara rakyat dan projek mata pencarian untuk memberikan gambaran yang lebih lengkap mengenai pencapaian dan prospek kerjasama yang saling memberikan manfaat.
Sehubungan itu, forum tersebut akan menyaksikan penubuhan Jawatankuasa Persediaan bagi Program Perkongsian Media Asia-Pasifik, platform baharu yang bertujuan memajukan dialog peringkat tinggi, komunikasi terselaras, inovasi teknologi dan kerjasama praktikal antara media serantau, katanya.