combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
APMF 2026: Bernama Antara 16 Anggota Jawatankuasa Penganjur Program Perkongsian Media Asia-Pasifik
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) antara 16 organisasi pengasas Jawatankuasa Penganjur Program Perkongsian Media Asia-Pasifik yang dilancarkan secara rasmi di sini hari ini bagi memperkukuh kerjasama dan pertukaran media di seluruh rantau itu.
Jawatankuasa itu dilancarkan sempena Forum Media Asia-Pasifik (APMF) 2026 dengan Bernama menyertai tujuh lagi organisasi media asing dan lapan organisasi dari China sebagai anggota pengasas.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin mewakili pertubuhan berita nasional itu pada majlis pelancaran tersebut.
Beliau berkata penyertaan Bernama dalam jawatankuasa itu akan membantu memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik, terutamanya dengan agensi berita di seluruh rantau Asia-Pasifik.
“Melalui penyertaan ini, Bernama berpeluang untuk bertukar pengalaman dan perspektif mengenai pelbagai perkara berkaitan media dan kewartawanan,” katanya.
Inisiatif yang diterajui Agensi Berita Xinhua China itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara organisasi media dan kumpulan pemikir di seluruh Asia-Pasifik serta menggalakkan kerjasama yang bermanfaat dan menang-menang kepada semua pihak.
Berdasarkan dokumen hasil forum itu, Program Perkongsian Media Asia-Pasifik akan mewujudkan platform bagi pertukaran dan kerjasama media dengan tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu dialog peringkat tinggi, komunikasi terselaras, inovasi teknologi dan kerjasama praktikal.
Jawatankuasa Penganjur akan bertanggungjawab terhadap tugas organisasi program, perundingan mengenai peraturan tatacara dan reka bentuk aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah rangka kerjanya.