BTC USD 76,222.4 Gold USD 4,349.87
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Antologi Cerita Hantu/Seram/Mistik Seluruh Asia

Histeria


Saya dulu tinggal di sebuah apartmen lama di Daerah 10, Ho Chi Minh City, bersama ibu bapa saya sampai umur 17 tahun, sebelum saya sambung belajar di luar negara. Lepas saya pergi, ibu bapa saya mula sewakan bilik saya kepada seorang tukang gunting rambut yang kerja dekat situ. Kadang-kadang dia kongsi bilik tu dengan kawan perempuan dia.

Semua okey je… sehinggalah padai satu malam, dalam pukul 1:00 pagi, dia tiba-tiba bangun dan mula sikat rambut dan siap pakai mekap dalam gelap, langsung tak buka lampu. Kawan dia ada masa tu, terus panik gila dan lari keluar bilik, panggil mak ayah saya.

Masa diorang pergi kat depan bilik, diorang dengar dia bercakap sorang-sorang. Lebih kurang macam ni ayat dia:
"Aku kena bunuh lelaki tu… dia khianat aku. Aku dulu pelacur… dan dia bunuh aku atas katil dalam bilik ni.”

Lepas tu, dia keluar bilik - mata dia putih semua! Takde anak mata langsung dengan lipstik merah comot habis kat muka.

Dia kata dia nak cari pisau sebab dia nak pergi cari lelaki tu untuk balas dendam. Mak ayah saya dengan kawan dia cuba tahan dia dengan menekan badannya di atas lantai. Masa ceritakan kat saya, ayah cakap, "Dia badan kecil je, tapi tenaga dia macam lelaki."

Akhirnya diorang berjaya kurung dia balik dalam ‘bilik tu’ (ya, bilik zaman kanak-kanak saya dulu). Ayah saya fikir dia ada masalah mental, mungkin skizofrenia, jadi esoknya terus hubungi hospital psikiatri kat Daerah 5. Tak lama lepas tu, ambulans datang ambil dia.

Masa dia dibawa pergi, mata dia masih putih, tapi dia dah tak agresif lagi. Sampai sekarang, kami tak tahu apa jadi kat dia lepas tu. Tapi benda tu memang seram gila sebab saya pernah tidur dalam bilik tu bertahun-tahun, dan tak pernah rasa apa-apa pelik pun.
Walaupun… saya ni dulu pun agak “gelap” sikit sebagai budak.

:::::::::::::::::::
 
Last edited:
7 Cerita Seram Universiti Seluruh Hong Kong



1. The Chinese University of Hong Kong (CUHK): Kisah Sup Ekor Lembu


Sup tradisional Kantonis terkenal dengan rasanya yang enak, mengenyangkan, dan sering menjadi penawar untuk malam-malam yang panjang. Namun, kisah seram yang terkenal tentang sup ekor lembu di Universiti Cina Hong Kong mungkin akan buat anda berfikir dua kali sebelum menyuap semangkuk sup...

Kisah menyeramkan mengenai sup ekor lembu ini bermula begini: Dahulu kala, terdapat seorang pelajar lelaki yang tinggal di tingkat satu sebuah bangunan asrama di Kolej New Asia, CUHK, manakala teman wanitanya tinggal di tingkat atas. Untuk menunjukkan kasih sayangnya kepada teman lelakinya yang sedang tekun belajar setiap hari, gadis itu sering menurunkan semangkuk sup ekor lembu dari tingkapnya kepada si lelaki. Namun, setelah satu pertengkaran berlaku antara mereka, si lelaki enggan menerima lagi sup tersebut. Berasa kecewa, si gadis akhirnya berhenti menghantar sup kepada kekasihnya.

Namun pada suatu malam, si lelaki terlihat semula mangkuk sup yang dikenali itu tergantung di luar tingkapnya. Kerana ingin tahu, dia pun menyambut mangkuk itu. Malangnya, apabila dia menjenguk ke dalam mangkuk tersebut, tiada sup di dalamnya – sebaliknya, terdapat kepala bekas kekasihnya. Dikatakan bahawa si gadis yang patah hati itu telah membunuh diri di bilik asramanya selepas cintanya ditolak.




2. The Chinese University of Hong Kong (CUHK): Gadis Bertocang


Kalau anda rasa kisah pertama tadi sudah cukup menyeramkan, bersedialah, kerana kisah hantu yang satu ini dari CUHK – amaran awal: Jauh lebih mengerikan!

Berlatarbelakangkan tahun 60-an, kisah ini mengisahkan seorang gadis muda yang memiliki tocang panjang. Dalam usahanya menyeludup masuk ke Hong Kong dari Tanah Besar China, gadis ini menaiki kereta api tanpa tiket.

Apabila pemeriksa tiket datang membuat pemeriksaan, gadis itu panik dan melompat keluar dari kereta api untuk melarikan diri. Malangnya, tocangnya yang panjang tersangkut di celah rel, menyebabkan kulit kepala dan wajahnya terkoyak sepenuhnya… Tragedi ini berlaku di stesen kereta api berdekatan CUHK.

Sejak itu, ramai melaporkan pernah terlihat seorang gadis bertocang sedang menangis membelakangkan mereka. Namun apabila dia menoleh… apa yang dilihat mereka sungguh mengerikan… Bayangkanlah sendiri macam mana agaknya tu rupa dia.

Kisah ini sangat terkenal sehingga laluan tempat kejadian itu berlaku kini digelar sebagai ‘Braid Road’. Laluan ini terletak antara Kolej Shaw, asrama pensyarah, dan Kolej Chung Chi di CUHK, Sha Tin, Hong Kong.

Nasihat kami — jangan berjalan seorang diri di laluan itu waktu malam. Kami sendiri tak berani!




3. City University of Hong Kong (CityU): Mitos Tandas 3M


Jangan sangka yang pusat bandar lebih kurang menyeramkan berbanding kawasan kampus CUHK yang terletak di pinggir bandar. Fikirkan semula. Kisah seram ini berpunca dari tandas 3M di Zon Kuning CityU. Terdapat beberapa versi tentang mitos ini, tetapi semuanya berkisar pada tema kehadiran entiti ghaib yang menghantui tandas wanita.

Salah satu versi mendakwa bahawa hantu tersebut ialah roh seorang pelajar wanita yang membunuh diri di dalam tandas itu; manakala versi lain pula mengatakan roh tersebut ialah seorang pekerja lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan semasa pembinaan bangunan tersebut. Roh pekerja itu dikatakan kelihatan sedang membina bata dengan tangan berlumuran darah.

Disebabkan gangguan yang berlaku, tandas wanita itu akhirnya ditukar menjadi tandas lelaki – kononnya untuk meningkatkan yang qi (tenaga spiritual dalam kepercayaan tradisional Cina) di kawasan itu dan menghalau entiti jahat.

Adakah ini hanya cara kreatif untuk menjelaskan kenapa tiada bidet di tandas lelaki 3M CityU? Mungkin juga.




4. The Hong Kong University of Science & Technology (HKUST): Mata Merah


Juga dikenali sebagai kisah "Merah Hitam Merah" di HKU, kisah seram di HKUST ini berkisar tentang sebuah lubang intai yang telah dipasang secara terbalik pada pintu salah satu bilik asrama. Tiada siapa yang menyedari bahawa lubang intai itu membolehkan orang di luar mengintai ke dalam bilik (bukannya dari dalam ke luar macam lubang intai biasa) kecuali ada seorang lelaki yang cuba mengambil kesempatan daripada kesilapan itu.

Dia mula mengintai gadis yang diminatinya yang tinggal di bilik tersebut. Namun, pada suatu hari, satu-satunya perkara yang dilihatnya melalui lubang intai itu hanyalah… warna merah. Tapi merah apa? Dia menyangka gadis itu sekadar menggantung sehelai kain merah untuk menutup lubang tersebut. Namun, apabila dia akhirnya membuka pintu, barulah dia sedar bahawa ‘merah’ itu sebenarnya ialah sepasang mata gadis itu yang merah, berdarah dan terbeliak - gadis itu telah menggantung dirinya dalam bilik itu, sambil matanya tidak berkelip, merenung tepat ke arah lubang intai tersebut…




5. The University of Hong Kong (HKU): Jangan Bermalam di Bilik Mayat


Pada era 80-an, sekumpulan pelajar senior telah mengenakan satu gurauan kejam terhadap seorang pelajar tahun pertama dengan mengurungnya semalaman di bilik mayat Fakulti Perubatan HKU. Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada pelajar malang itu sepanjang malam. Namun, apabila pintu bilik mayat itu dibuka keesokan harinya, para senior sangat terkejut — pelajar tersebut ditemui dalam keadaan penuh dengan luka dan kesan gigitan. Yang lebih mengerikan, dia dilihat sedang memakan mayat-mayat di dalam bilik itu!

Akibat kejadian itu, sebuah catatan mengenainya telah diterbitkan dalam majalah sekolah pada tahun berikutnya. Malah, dikatakan satu peraturan baharu turut dimasukkan dalam buku panduan pelajar yang secara khusus melarang sesiapa daripada mengurung orang lain di dalam bilik mayat.




6. The University of Hong Kong (HKU): ): Jangan Hampiri Kolam Teratai Waktu Malam


Ini satu lagi legenda urban dari koleksi kisah seram HKU. Kononnya, seorang pelajar wanita telah jatuh cinta dengan seorang pensyarah lelaki. Hubungan mereka memang sudah ditakdirkan berakhir dengan tragis sejak awal - bukan saja kerana perbezaan status, tetapi pensyarah tersebut juga sudah berkahwin. Namun, perasaan cinta itu berbalas, dan mereka merancang untuk melarikan diri bersama.

Mereka berjanji untuk bertemu di kolam teratai (secara rasmi dikenali sebagai Taman Mong Kwok Ping) berhampiran bangunan utama, tepat pada tengah malam. Namun, pada malam yang dijanjikan, pensyarah itu tidak pernah muncul. Akibat terlalu kecewa dan merasa dikhianati, pelajar wanita tersebut membunuh diri dengan terjun ke dalam kolam teratai itu.

Sehingga kini, pelajar yang melepak di sekitar kolam tersebut pada waktu malam melaporkan pernah terserempak dengan roh seorang wanita yang berkeliaran, tidak henti-henti bertanya, “Sekarang pukul berapa?”

Kononnya, jika anda menjawab soalan itu… dia akan menarik anda masuk ke dalam kolam bersamanya! Jadi, lebih baik diam saja dan rahsiakan waktu sebenar… demi keselamatan diri.




7. The Hong Kong Polytechnic University (PolyU): Anak Kecil di Tepi Kolam


Legenda urban dari PolyU ini adalah antara yang paling menyedihkan. Ada satu bahagian di kafeteria pelajar dihiasi dengan tingkap kaca besar dari lantai ke siling, membolehkan cahaya semula jadi masuk dan mencipta suasana nyaman untuk para pelajar menikmati hidangan.

Dahulu, dari kafeteria ini, pelajar boleh melihat terus ke arah Kolam Renang Michael Clinton yang terletak di sebelahnya. Tetapi kini semua tingkap itu telah ditampal dengan pelekat pantulan cahaya.

Menurut kisah yang berlegar-legar, pada suatu malam musim panas, seorang kanak-kanak (kemungkinan besar anak kepada seorang pensyarah) yang masih kecil telah lemas di kolam renang tersebut. Ketika itu, tingkap kafeteria masih belum ditutup.

Sejak kejadian itu, pelajar yang makan malam di kafeteria melaporkan pernah melihat kelibat seorang kanak-kanak memanjat keluar dari kolam renang, berjalan perlahan ke arah kafeteria… dan kemudian menghilang betul-betul di hadapan tingkap. Kerana terlalu ramai yang diganggu, pelajar mula menjauhi kawasan tingkap, dan perniagaan kafeteria merosot dengan ketara.

Akhirnya, pihak universiti mengambil tindakan menutup semua tingkap dengan pelekat pantulan cahaya — kononnya supaya pelajar kembali berani makan di sana tanpa gangguan dari "pengunjung kecil" itu.



 
Last edited:
Tragedi Jambatan Kho Ren



Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara - khusus di Vietnam, enggan menghulurkan bantuan jika ada kejadian orang lemas di depan mata kerana percaya sekiranya mereka pergi selamatkan mangsa tersebut, Tuhan sungai akan marah.

Pada tahun 1988, berlakunya satu kes pembunuhan dan mayat mangsa telah dicampakkan ke dalam sungai An Cuu yang terletak di daerah Hue, Vietnam. Atas sebab-sebab tertentu, pihak polis dan pakar forensik membuat keputusan untuk menjalankan operasi bedah siasat ke atas mangsa di tepi jambatan Kho Ren yang merintangi sungai tersebut. Autopsi itu dibuat secara terbuka di depan khalayak umum.

Masyarakat di Daerah Hue ni ada sejenis tabiat iaitu apabila ada saja berlaku kemalangan, teruatama sekali bila ada kes kematian macam ni, maka mereka akan berduyun-duyun datang semata-mata nak menyaksikan sendiri mayat mangsa tersebut.

Maka hari itu dalam sejarah, separuh populasi dalam daerah Hue tu berbondong-bondong datang ke jambatan Kho Ren untuk melihat sendiri depan mata akan proses autopsi mayat tersebut.

Masing-masing saling tolak-menolak dan berhimpitan untuk dapatkan sudut pandang yang terbaik.

Jambatan tu sebenarnya baru saja dibina semula beberapa tahun sebelum itu selepas ia musnah pada zaman perang dengan US disebabkan tidak cukup peruntukan.

Strukturnya pun dibina menggunakan bahan-bahan murah dan tidak teguh.

Oleh itu, terjadilah satu tragedi yang begitu tragis iaitu jambatan tu roboh, mengorbankan banyak nyawa terutama wanita dan kanak-kanak.

Jumlah kematian dianggarkan dalam 100 orang atau lebih. Ini kerana tak ramai orang sanggup terjun selamatkan mangsa.

Mereka kuat berpegang dengan satu kepercayaan tahyul iaitu - adalah dilarang keras serta menjadi satu dosa, jika selamatkan orang yang lemas kerana mereka tu dikira sudah jadi kepunyaan Tuhan sungai.

Kalau berdegil, maka kononnya nasib malang bakal menimpa diri dan keluarga.


:::::::::::::::::::
 
Tangga yang Tak Wujud (Syria)



Di pinggir kota tua Aleppo, Syria, ada satu kawasan yang lama ditinggalkan akibat perang dan runtuhan bangunan. Namun di sebalik kehancuran itu, tersimpan satu kisah pelik yang hanya diketahui oleh beberapa penduduk tempatan. Mereka menyebutnya "al-sullam al-gha'ib" — tangga yang tidak wujud.

Cerita ini bermula pada tahun 2016, ketika seorang sukarelawan perubatan bernama Firas kembali ke kampung halamannya selepas bertugas di hospital darurat berhampiran sempadan Turki. Firas pulang untuk menziarahi rumah keluarganya yang telah lama kosong. Kawasan itu hampir musnah sepenuhnya, tetapi rumah keluarganya — walaupun retak dan berdebu — masih berdiri.

Pada malam pertama, Firas mendengar sesuatu yang aneh - seperti bunyi tapak kaki menaiki tangga. Tapi… rumah itu cuma ada satu tingkat. Tiada tangga, dan tiada tingkat atas.

Firas mengabaikan perkara itu, menyangka ia mungkin tikus atau halusinasi keletihan. Namun malam demi malam, bunyi itu semakin kuat. Ia bukan hanya bunyi kaki, tetapi juga desiran kain, seolah-olah seseorang — atau sesuatu — sedang berjalan perlahan-lahan menaiki tangga kayu yang tidak kelihatan.

Akhirnya, kerana tidak tahan lagi, Firas memutuskan untuk menyiasat. Dia membawa lampu suluh, dan pada malam ketiga, dia menunggu di ruang tamu, tepat di tempat dia selalu mendengar bunyi itu.

Dan pada jam 2:13 pagi, bunyi itu datang lagi. Kali ini lebih nyata. Tapak kaki, satu demi satu, bergema seolah-olah benar-benar ada tangga kayu yang dipijak.

Yang paling menakutkan — di tengah kegelapan, debu-debu di udara mula berpusing, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kelihatan sedang bergerak. Dalam cahaya samar lampu suluhnya, Firas melihat… bekas tapak kaki di atas lantai berdebu. Langkah itu muncul satu per satu, naik ke udara, mengikut lengkungan yang tidak logik — membentuk bentuk tangga spiral ke atas… ke tempat yang tiada.

Firas cuba menyentuh ruang itu — dan tubuhnya tiba-tiba ditarik ke atas, seperti disedut oleh kekosongan. Namun dia terjatuh semula ke lantai, tidak cedera tapi sangat ketakutan. Dia melarikan diri malam itu juga, tidak pernah kembali ke rumah tersebut.

Yang lebih ganjil, selepas kejadian itu, beberapa orang yang lalu di depan rumah itu pada waktu malam mendakwa melihat bayang seseorang berdiri di udara, seperti sedang berdiri di atas anak tangga yang tidak kelihatan, memerhati mereka.

Ada yang percaya itu adalah roh mangsa perang, terperangkap di antara dunia. Ada pula yang mendakwa itu adalah jalan ke dimensi lain, terbuka hanya pada waktu tertentu dan kepada orang tertentu — biasanya yang hatinya sedang kacau dan jiwanya terganggu.

Namun hingga kini, tiada siapa yang dapat membuktikan kewujudan "tangga ghaib" itu.

Cuma satu yang pasti — jika kau berada di Aleppo dan terdengar bunyi tapak kaki menaiki tangga… padahal tiada tangga di situ… jangan pandang ke atas. Jangan pernah pandang ke atas.


 
Sebuah Mitos/Dongeng/Cerita Rakyat Lama Yaman.



Jin Dalam Sumur


Di sebuah lembah gersang di wilayah Hadramaut, ada satu perkampungan kecil bernama Al-Qatifah. Tanahnya kering, anginnya membawa debu, dan hanya satu sumur tua yang menjadi nadi hidup mereka, yang diberi nama Sumur Barhout.

Sumur itu pelik - airnya tak pernah kering, walau musim kemarau berlarutan bertahun-tahun. Tapi ada satu pantang larang turun-temurun:
"Jangan ambil air dari sumur ini selepas matahari terbenam. Jika kau terdengar suara memanggil dari sumur itu, jangan jawab. Jika kau nampak bayang, jangan dekat."

Orang kampung patuh. Tak ada yang berani melawan — kecuali Yusuf.
Yusuf, anak yatim yang keras hati. Dia selalu berkata,
"Apa gunanya hidup kalau takut bayang sendiri?"

Suatu malam, musim kemarau mencengkam. Tiada hujan, tiada angin, dan Yusuf haus. Teramat haus. Dia ambil keputusan untuk keluar mengambil air di sumur itu.
Dia berjalan perlahan-lahan, memeluk kendi tanah liat sambil menuju ke sumur. Bulan separuh mengintai dari celah awan. Kampung senyap dan sunyi, tiada satu kelibat orang kampung pun yang berkeliaran selepas waktu malam. Kecuali Yusuf.

Bila Yusuf sampai di sumur, dia turunkan timba.
Kreukk-krikkk...

Bunyi tali timba bergesel pada roda kayu tua.
Air di dasar sumur kelihatan berkilau hitam dalam gelap. Dia tak kisah sedikit pun.

Tiba-tiba, sebelum timba mencecah air, tali terasa berat. Berat seperti ada sesuatu bergantung padanya. Yusuf mengerut dahi, menarik kuat. Tali bergoyang-goyang, makin berat.

Akhirnya dapat juga timba itu Yusuf tarik ke atas. Namun, saat ia muncul dari bibir sumur...
Yusuf melihat bukan air yang ada dalam timba itu, tapi tangan berwarna hitam yang berlendir. Jari-jarinya panjang dan melilit tali seperti ular.


Dari dalam sumur, terdengar satu suara berbisik perlahan dengan serak dan penuh dendam:
"Akhirnya... ada yang tarik aku naik..."

Yusuf tergamam.
Tangan itu mula memanjat tali, laju, seperti kelawar terbang.

Dia cuba menjerit — tapi suaranya mati di kerongkong.
Dia cuba lari — tapi lututnya terasa begitu lemah dan terpaku di tanah.

Tangan kedua pula muncul.
Kemudian sepasan mata berwarna merah memandang Yusuf dengan penuh haus yang tersimpan berabad lamanya.

Yusuf jatuh terduduk. Dunia rasa berpusing. Dia pengsan.

Pagi esoknya, penduduk kampung menemui Yusuf terbaring di tepi sumur dalam keadaan matanya terbeliak tapi kosong, hanya memandang langit.
Bibirnya bergerak-gerak tanpa suara, seakan bercakap dengan sesuatu yang mereka tidak nampak. Dia cuba berkata sesuatu... tapi tiada suara keluar.
Yusuf tak mampu berkata-kata lagi.

Dia kekal bisu... Sampai ke akhir hayatnya.

Kadangkala, waktu malam, orang kampung bersumpah mendengar bisikan aneh dari dalam sumur: "Aku masih haus..."

Sejak itu, tiada siapa berani mendekati Sumur Barhout lagi selepas senja.
Dan kisah Yusuf menjadi peringatan:
Haus itu tidak selalu tentang air. Kadangkala, ada yang lebih haus daripada kita.


 
Cerita Seram Dari Brunei: Suara Dari Hutan



Aku pernah kerja kat Brunei selama lebih kurang dua tahun.
Syarikat tempat aku bekerja ada menyediakan tempat tinggal untuk staf di sebuah kondo yang terletak di satu pinggir bukit yang membelakangi hutan. Hutan tu biasanya orang pergi hiking, jogging dan macam-macam lagi aktiviti lain.



Unit kondo yang aku duduk tu terletak kat tingkat lima yang menghadap terus ke hutan tu.




Satu malam, aku tengah layan main game dalam bilik, fokus gila.
Tiba-tiba aku terdengar ada suara panggil nama aku.
Tapi bukan nama penuh — suara tu panggil nickname aku. Dan nickname ni hanya keluarga dan kawan-kawan rapat je yang guna… dan diorang tu semua ada kat Malaysia.
Disebabkan terlampau asyik bermain game, jadi aku tak terfikir pasal benda ni.



Aku pun pause game kejap, dan mula cari dari arah mana datangnya suara tu.
Pada fikiran aku masa tu:

“Mungkin housemate aku, atau kawan sekerja Malaysia datang nak melepak kot.”

Tapi bila aku dengar betul-betul, aku perasan yang walaupun suara tu datang dari luar, tapi BUKAN dari pintu utama depan rumah.

Suara tu datang dari luar tingkap bilik aku. Dan tingkap tu pulak memang betul-betul menghadap hutan.

Pulak tu, dekat depan tingkap bilik aku ada satu pokok besar yang dahan dia panjang sampai nak cecah dekat tingkap aku.

Siapa pulak tengah malam buta, panjat pokok, datang dekat tingkap aku, siap panggil nama manja aku weh…



Aku terus "NOPEEEE", tolak semua rasa ingin tau ke tepi dan sangkut headphone kat kepala, bukak volume yang paling maksimum – sambung game macam tak ada apa-apa berlaku.
Tak kuasa ah nak buka tingkap tengok luar, malas nak layan.

Aku main game sampai pagi… lepas tu baru boleh tidur.



 
1766288815966.png


Parakang: Sang Pemangsa Organ (Sulawesi, Indonesia)



Kalau barat ada lagenda Skinwalker dan Werewolf, kat Nusantara pula ada legenda Asu Baung atau Parakang yang berasal dari kepercayaan masyarakat Bugis dan Makassar di Sulawesi Selatan.

Biasanya, Parakang ni adalah orang yang menuntut ilmu hitam (ilmu kebal atau kekayaan) tapi salah menuntut atau gagal mengawal ilmu tu. Akibatnya, ilmu tu makan tuan. Bila tengah malam, atau bila dia "lapar", dia hilang kawalan dan berubah jadi makhluk pemangsa.



Apa Rupa Dia?

Dia tak semestinya jadi serigala. Parakang ni shapeshifter yang random.

Dia boleh jadi:

  1. Anjing kurap yang tak ada ekor.
  2. Babi hutan yang jalan tempang.
  3. Kucing yang mata dia pelik.
  4. Malah ada cerita dia boleh nyamar jadi semak samun atau pokok pisang untuk sorokkan diri! (Ada cerita bonus last sekali).


Apa Dia Makan?

Ini yang buat dia ngeri. Dia suka makan organ dalaman (jantung, hati, usus) orang yang:

  • Sakit tenat.
  • Perempuan mengandung.
  • Bayi baru lahir.
Dia tak payah belah perut mangsa. Dia cuma perlu duduk dekat bawah rumah mangsa, atau tenung mangsa dari jauh, dan dia akan "sedut" semangat/organ mangsa tu secara mistik. Tahu-tahu je mangsa mati mengejut dengan badan lebam-lebam atau perut kempis.



Cara Kenal Parakang (Versi Manusia):

Kalau kau jumpa orang yang mata dia sentiasa merah, suka pandang bawah, dan kalau tengok refleksi dia dalam air - bayang-bayang dia tak ada kepala, lari jauh-jauh. Tu Parakang.



Poppo:

Kawan baik Parakang. Kalau Parakang jalan kat tanah, Poppo ni hantu yang terbang (macam Penanggal/Balan-balan). Diorang kadang-kadang tag-team cari mangsa. Hensem/lawa tak tag-team diorang? Tak langsung.




Kisah: Pantang Larang Satu Pukulan / Parakang (Sulawesi, Indonesia)




Di sebuah kampung pedalaman di Sulawesi Selatan…

Malam tu bapak Daeng nazak. Nafas dah nyawa-nyawa ikan. Orang kampung dah berpesan:

"Jaga bapak kau elok-elok, bau orang nazak ni wangi bagi Parakang."

Daeng berjaga dengan parang panjang kat kolong bawah rumah. Pukul 2 pagi, Daeng dengar bunyi benda menyusur dalam semak:

‘Kresek... kresek...’

Keluarlah seekor anjing hitam yang bentuk fizikalnya sangat aneh. Kepala besar, tapi badan dia kecik dan kurus kering macam papan. Jalan dia pun terseret-seret. Anjing tu mendongak ke arah lantai rumah tempat bapak Daeng baring. Lidah dia terjelir panjang, air liur menitik-nitik.

Daeng tahu. Tu bukan anjing biasa. Tu Parakang yang tengah menyasar mangsanya. Dia pun keluar dari persembunyian, angkat parang tinggi-tinggi. Anjing tu terkejut dan cuba lari tapi Daeng terus hayun parang sekuat hati, ‘Zap!’ - kena tepat kat kaki belakang anjing tu. Putus!

Anjing tu melolong, bunyi dia macam suara manusia menjerit kesakitan.

"Aduuuhhhhh!"

Anjing tu tergolek. Naluri Daeng sebagai manusia biasa - rasa nak libas parangnya lagi sekali biar mati terus. Dia dah angkat parang nak tetak kali kedua… Tiba-tiba dia teringat pesan orang tua-tua:

"Kalau pukul Parakang, PUKUL SEKALI SAJA. Jangan pukul kali kedua."

Kenapa?

  • Pukulan Pertama: Mematikan ilmu dia. Dia akan cedera atau mati.
  • Pukulan Kedua: Akan "sempurnakan" ilmu dia balik. Dia akan jadi kebal, bangun semula, dan kali ni dia akan bunuh kau on the spot.
Daeng tahan tangan dia. Dia biarkan anjing tempang tu mencicit lari masuk hutan dengan darah membuak-buak.



Esok paginya, gempar satu kampung. Seorang jiran sebelah kampung yang dikenali sebagai seorang yang pendiam, ditemui mati di rumahnya. Kaki kanan dia putus macam kena tetak dengan parang. Rupa-rupanya selama ni dia menuntut ilmu yang salah, dan malam tadi dia keluar "cari makan" tapi nasib tak baik jumpa Daeng. Bapak Daeng pulak, alhamdulillah, beransur sihat lepas "pengacau" tu mati.




Cerita Bonus Kontot

Pak Lalo dah siap asah parang. Hajat di hati nak buat cekodok pisang petang-petang. Sampai kat kebun - sekali dia libas, pokok pisang tu menjerit: "Aduhhh bang! Sakit la! Jangan la tetak, ni saya, Peah!"

Pak Lalo demam seminggu. Taubat tak makan cekodok pisang dah.

Habis.


Nota Penting:

Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.

-lempeng-
 
Back
Top
Log in Register