Anthropic bakal buka pejabat di SG pada Oktober, ambil pekerja tempatan
Logo Anthropic dilihat dalam ilustrasi yang dihasilkan pada 5 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)
SINGAPURA: Syarikat kecerdasan buatan (AI) Anthropic akan membuka sebuah pejabat di Singapura pada Oktober. Pejabat tersebut akan menjadi yang kelima bagi syarikat itu di rantau Asia-Pasifik.
Empat pejabat lain di rantau tersebut terletak di Tokyo, Bengaluru, Seoul dan Sydney.
IKLAN
Syarikat yang membangunkan model AI Claude itu menyatakan dalam satu kenyataan media pada Rabu (16 Sep) bahawa ia juga akan mengambil pekerja bagi "pelbagai jawatan" di Singapura.
Menurut laman kerjaya Anthropic, terdapat sembilan jawatan kosong di Singapura merentasi lima pasukan: AI gunaan, kewangan, pemasaran dan penjenamaan, manfaat awam serta penjualan.
Menurut syarikat itu, Singapura sudah menjadi antara pasaran utama bagi Claude, menduduki tempat kedua daripada 121 negara dari segi penggunaan Claude.ai berbanding jumlah populasi, menurut Indeks Ekonomi terkininya.
Penggunaan Claude di Singapura adalah 5.81 kali lebih tinggi daripada yang dijangkakan berdasarkan jumlah penduduknya, tambah Anthropic.
Pengarah Urusan Antarabangsa Anthropic, Chris Ciauri, berkata pembukaan pejabat di Singapura, di mana penggunaan Claude per kapita adalah antara yang tertinggi di dunia, merupakan "langkah seterusnya yang wajar".
IKLAN
"Kehadiran di sini bermakna kami boleh mengambil pekerja yang paling memahami pasaran ini dan bekerjasama secara langsung dengan pelanggan serta rakan kongsi tempatan yang membangunkan huraian menggunakan Claude."
Di Singapura, Anthropic akan bekerjasama dengan pelbagai organisasi, daripada syarikat pemula dan syarikat digital hingga syarikat besar dan sektor awam.
Permintaan amat kukuh dalam sektor yang dikawal selia seperti khidmat kewangan dan pemerintah, tambahnya.
Menurut Anthropic, Singapura mempunyai ramai tenaga kerja berkemahiran teknikal, syarikat global dan institusi penyelidikan, selain ekosistem inovasi yang kukuh.
Ia turut menarik perhatian kepada usaha Singapura memanfaatkan AI untuk mengubah industri dan memperkukuh keupayaan tenaga kerja, di samping menekankan penggunaan teknologi itu secara bertanggungjawab.
IKLAN
"Keseimbangan antara inovasi dengan keselamatan itu amat sejajar dengan pendekatan Anthropic," menurut syarikat tersebut.
Syarikat itu juga menyatakan Dale Finlay sudah menyertai Anthropic sebagai Pengurus Besar ASEAN dan akan berpangkalan di Singapura, di mana beliau akan bekerjasama dengan para pelanggan serta rakan kongsi di seluruh Asia Tenggara. Sebelum ini, beliau memegang beberapa jawatan kepimpinan di syarikat teknologi di seluruh Asia-Pasifik, termasuk hampir sedekad di Google Cloud.
Para pemimpin kanan Anthropic akan mengunjungi Singapura sempena pembukaan pejabat tersebut dan bertemu dengan para pelanggan, rakan kongsi serta penggubal dasar, menurut syarikat itu.
Anthropic bakal buka pejabat di SG pada Oktober, ambil pekerja tempatan
Syarikat kecerdasan buatan (AI) Anthropic akan membuka sebuah pejabat di Singapura pada Oktober.