BTC USD 86,003.0 Gold USD 4,333.54
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Al-Qur'an & Hadith: Bab: Kebaikan vs. Dosa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْت يَا رَسُولَ اللَّهِ! أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ وَيُبَاعِدْنِي مِنْ النَّارِ، قَالَ: “لَقَدْ سَأَلْت عَنْ عَظِيمٍ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ الْبَيْتَ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أَدُلُّك عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ تَلَا: ” تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ ” حَتَّى بَلَغَ “يَعْمَلُونَ”، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُك بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذُرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُك بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ ! فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْت: يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْك أُمُّك وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟

Daripada Mu’az ibn Jabal R.A. beliau berkata: Aku berkata: Ya Rasulullah! Terangkan padaku suatu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada api neraka. Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau telah bertanya suatu perkara besar, namun sesungguhnya ia adalah ringan bagi orang yang dipermudahkan Allah; iaitu engkau menyembah Allah, jangan mensyirikkanNya dengan sesuatu, engkau mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah. Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku tunjukkan beberapa pintu kebajikan? Puasa itu adalah perisai, sedekah dapat memadamkan dosa seumpama air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki di tengah malam. Kemudian Baginda membaca ayat al-Qur’an yang bererti: (Tulang-tulang rusuk mereka telah renggang dari tempat tidur mereka. Mereka menyeru Tuhan mereka dengan perasaan takut dan penuh harapan dan mereka membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Seseorang tidak mengetahui apakah yang disembunyikan bagi mereka yang terdiri daripada perkara yang menyejukkan mata sebagai balasan terhadap amalan yang mereka telah lakukan). Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu tunggak segala amal, tiang-tiangnya dan puncaknya? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah! Baginda bersabda: Tunggak amalan ialah lslam, tiang-tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad. Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu kunci segala perkara tersebut? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah! Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: Peliharalah benda ini! Aku berkata: Ya Nabi Allah! Adakah kita akan diseksa lantaran apa yang dibicarakannya? Baginda bersabda: lbumu akan kehilanganmu wahai Mu’az! Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya – atau Baginda bersabda – dihumbankan batang hidungnya ke dalam api neraka kecuali kerana hasil tanaman lidah-lidah mereka. (HR Tirmizi No: 2619). Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Amal soleh yang dituntut untuk menjadi penyebab seseorang hamba masuk syurga selain rahmat Allah SWT (yang menjadi penyebab utama masuk syurga) ialah menyembah Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah.

2. Antara pintu kebajikan yang boleh menjadi penyebab ke syurga adalah:

a. Ibadah puasa yang menjadi perisai dari api neraka

b. Sedekah yang boleh memadamkan dosa, seumpama air memadamkan api

c. Sembahyang sunat di tengah malam (tahajjud) yang mampu mendekatkan diri kepada Allah dan menegah daripada dosa.

3. Tunggak segala perkara ialah lslam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad. Seorang mukmin sejati mesti melaksanakan tuntutan-tuntutan ini dengan baik walau apapun cabaran dan rintangan.

4. Anak kunci kepada semua ibadah adalah menjaga lidah. Antara anggota paling banyak terdedah melakukan maksiat ialah lidah. Seseorang yang dapat menjaga lidahnya daripada perbuatan jahat dan maksiat, Rasulullah SAW memberi jaminan kepadanya syurga.

Setiap patah perkataan yang dituturkan oleh lidah akan dipersoalkan Allah S.W.T. Ramai manusia yang dihumbankan ke neraka akibat dosa-dosa lidahnya.

Hadis 29
#Hadis40ImamNawawi
#BangunkanJiwamu
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

20hb Nov. 2023
06hb Jamadil Awal 1445H
 
IMG_20231228_105439_026.jpg


❇️HADIS HARI INI❇️

Jangan mengeluh dengan sakit demam kerana ia penghapus dosa

Dari Jabir RA Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu memaki penyakit panas kerana sesungguhnya penyakit itu dapat menghilangkan dosa-dosa Bani Adam sebagaimana tiupan api (pandai besi) dapat menghilangkan karat-karat besi."

HR Muslim
 
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Diceritakan oleh Uthman bin Abu Syaibah, diceritakan oleh Jarir, daripada Al A'masy, daripada Abu Zhabyan, daripada Ibnu Abbas,


"Didatangkan kepada Umar,
seorang wanita gila yang berzina.

Umar berbincang dengan orang ramai.
Kemudian dia memerintahkan
agar wanita itu direjam.

Wanita itu lalu dibawa
berhampiran dengan Ali bin Abu Talib.

Ali bin Abu Talib bertanya,
"Ada apa dengan wanita ini?"

Orang ramai menjawab,
"Wanita gila dari bani fulan.
Dia telah berzina.
Dan Umar memerintahkan
agar dia direjam sahaja."


Ali bin Abu Talib kemudian berkata,
"Bawalah dia kembali."


Ali bin Abu Talib lantas menemui Umar
dan berkata,
"Wahai Amirul Mukminin,
tidakkah engkau tahu bahawa
pena pencatat amal (dosa) itu diangkat (tidak dikira)
daripada tiga (3) golongan manusia.

1) Orang gila
sehingga dia pulih;

2) Orang yang tidur
sehingga dia terbangun;

3) Dan anak kecil
sehingga dia baligh."

Umar menjawab,
"Tentu."


Ali bin Abu Talib bertanya lagi,
"Lalu kenapa wanita ini direjam?"

Umar menjawab,
"Tidak apa-apa."


Ali bin Abu Talib berkata,
"Lepaskanlah dia."

Umar kemudian membebaskan wanita tersebut.
Lalu Umar pun bertakbir."


(Hadith Abu Daud no. 3823)

Nota penting:
Untuk pemahaman yang lebih baik,
sila rujuk nasihat pakar
(ulama, ustaz atau yang setaraf dengannya)
Assalamualaikum bro cerita tentang Palestin tak ada update ke...bro
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR. Ibnu Majah no. 237) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada diantara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan.

2. Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan.

3. Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya.

4. Orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a. Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya untuk beribadah kepada Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b. Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi seseorang pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan.

c. Bersungguh dalam menuntut ilmu kerana ilmu mendorong seseorang kepada kebaikan dan kemuliaan.

d. Sentiasa beribadah kepada Allah, khususnya solat, kerana solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar.

e. Bersikap dengan akhlak yang mulia dan lemah lembut, serta jauh dari akhlak yang buruk dan tidak beradab.

f. Bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka. Menasihati orang lain, baik yang dikenali atau tidak, agar kebaikan bersama kita dan jauh dari maksiat.

g. Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan

h. Sentiasa berusaha memberi manfaat kepada yang lain.

Sempena tahun baru 2024, marilah kita berusaha menjadi pembuka pintu kebaikan dan sentiasa menutup pintu keburukan.

#BangunkanJiwamu
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

03hb Januari 2024
21hb Jamadil Akhir 1445H
 
Lakukan Kebaikan Sekecil Manapun

Jika engkau melihat seekor semut terjatuh kedalam air, maka angkat dan tolonglah. Barangkali itu menjadi penyebab pengampunan dosa bagimu di akhirat.

Jika engkau menjumpai kayu kecil di jalan yang boleh menggangu laluan, maka buangkanlah. Barangkali itu menjadi penyebab dipermudahkan jalanmu menuju syurga.

Jika engkau menjumpai anak ayam terpisah dari kumpulannya, maka ambil dan letakkan ia dengan kumpulannya. Semoga itu menjadi penyebab Allah mengumpulkan dirimu dan keluargamu di syurga.

Jika engkau melihat orang tua memerlukan bantuan, maka bantulah ia. Barangkali itu menjadi penyebab kelapangan rezekimu di dunia.

Jika engkau bukanlah seorang yang mengusai banyak ilmu agama, maka ajarkanlah alif ba' ta' kepada anak-anak, setidaknya itu menjadi amal jariyah untukmu yang tidak akan terputus pahalanya walaupun engkau berada di alam kubur.

Jika engkau tidak mampu berbuat kebaikan sama sekali, maka tahanlah tangan dan lisanmu dari menyakiti orang lain ....setidaknya itu menjadi sedekah untuk dirimu.

Al-Imam Ibnul Mubarak Rahimahullah berkata:

رُبَّ عَمَلٍ صَغِيرٍ تُعَظِّمُهُ النِّيَّةُ ، وَرُبَّ عَمَلٍ كَبِيرٍ تُصَغِّرُهُ النِّيَّةُ

“Berapa banyak amalan kecil, akan tetapi menjadi besar kerana niat pelakunya. Dan berapa banyak amalan besar, menjadi kecil kerana niat pelakunya”

Janganlah meremehkan kebaikan, boleh jadi seseorang itu masuk syurga bukan kerana puasa sunatnya, bukan kerana panjang solat malamnya tapi boleh jadi kerana akhlak baiknya dan sabarnya ia ketika musibah datang melanda.

لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

“Jangan sekali-kali kamu meremehkan kebaikan sedikitpun, meskipun (hanya)bertemu dengan saudaramu dalam keadaan tersenyum".

 
IMG_20240117_104848_637.jpg


❇️HADIS HARI INI❇️

Kebaikan pada setiap makhluk hidup mendapat pahala

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ketika ada seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan ia merasa sangat haus. Lalu ia menemukan sebuah sumur kemudian dia turun ke dalamnya lalu ia minum dan kemudian keluar. Tiba-tiba ada seekor anjing yang menjulurkan lidahnya. Akibat kehausan ia terpaksa makan tanah lembap.
Orang itu lalu berkata, “Anjing ini kehausan seperti yang aku alami.” Lalu ia turun ke sumur itu kemudian mengisi sepatunya dengan air dan memegangnya dengan mulut lalu memberi minum anjing itu. Maka, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.”

Sahabat kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah terhadap haiwan-haiwan ada pahala bagi kami?”

Baginda bersabda, “Pada setiap makhluk hidup mendapat pahala.”

(Hadis Riwayat Muslim)
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Nabi SAW menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2. Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3. Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4. Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka.

5. Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah banjir, gempa bumi dan lain-lain.

6. Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7. Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini mampu membina kekuatan rohani kita.

Marilah kita melaksanakan amal-amal yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.

#BangunkanJiwamu
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Februari 2024
02hb Syaaban 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Menunjukkan Kebaikan

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (HR Muslim, No: 1893) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Amal kebaikan yang dilakukan serta diusahakan oleh seseorang Muslim akan menjadi bekalan pahala di sisi Allah.

2. Antara amal kebaikan seseorang ialah menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain sama ada untuk kebaikan di dunia atau di akhirat. Kemudian amal kebaikan itu diikuti dan dilakukan oleh orang lain dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala.

3. Amalan menunjukkan kepada kebaikan merupakan amalan yang boleh dicontohi oleh orang lain dan lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang manfaatnya hanya terbatas untuk diri sendiri.

4. Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan. Contohnya menghasilkan poster, menulis tazkirah dan berkongsi di media sosial serta diamalkan oleh orang lain seperti tazkirah menghadapi ibadah Ramadan.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

09hb Mac 2024
28hb Syaaban 1445H
 
“Dan mereka(orang-orang beriman) apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka segera ingat akan Allah lalu meminta keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Dan mereka tidak terus menerus dalam perbuatan dosanya itu, sedang mereka mengetahui (kesalahan dan akibat dari dosa itu).”
(Surah Ali Imran: 135)
 
Back
Top
Log in Register