BTC USD 76,519.1 Gold USD 4,357.00
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Al-Qur'an & Hadits: Bab: Bulan Hijriyah ke-10: Syawal

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Enam Syawal

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA bahawa ia telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.” (Sahih Muslim No: 1984) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1. Kewajipan mukmin melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan.

2. Orang yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan dan diikuti puasa sunat Syawal sebanyak enam hari, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.

3. Menurut Imam Nawawi: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

4. Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, tidak semestinya dilakukan enam hari berturut-turut. Puasa sunat boleh bermula pada dua, tiga, empat hari raya Aidil Fitri atau bila-bila masa pada bulan Syawal sehingga berakhirnya Syawal.

5. Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menaqalkan; Berkata Ashab al-Syafie: “Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Eid al-Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi).”

Marilah dalam kemeriahan kita meraikan hari raya, jangan lupa puasa sunat enam hari Syawal.

Jadilah kita seorang Rabbani (hamba Allah yang selalu beribadah kepada-Nya di setiap waktu dan tempat), dan janganlah kita menjadi seorang Ramadani (orang yang hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadan)

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

24hb April 2023
03hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pertemuan Dua Muslim Mengampunkan Dosa

عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Daripada Abu Ishaq daripada Al-Bara` ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu saling berjabat tangan, melainkan diampuni bagi keduanya sebelum keduanya berpisah” (Sunan Abi Daud No: 5212) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ambil peluang sempena Syawal ini saling ziarah menziarahi, bertemu dan bersua muka antara satu sama lain

2. Ketika bertemu sesama Muslim, ambil peluang saling berjabat tangan (pastikan bukan berlainan jantina yang dilarang).

3. Moga Allah akan mengampuni dosa dua orang Muslim yang bertemu dan berjabat tangan, sebelum mereka berpisah.

Marilah kita mengambil kesempatan di Syawal yang mulia ini untuk saling bersalaman serta bermaafan. Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 22:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

25hb April 2023
04hb Syawal 1444H
 
Syawal Dan Ziarah

Saling ziarah menziarahi adalah antara amalan yang dituntut di dalam Islam.

Menjadi tradisi dalam masyarakat di Malaysia apabila menjelang Aidil Fitri ialah amalan saling kunjung mengunjung sama ada antara kaum kerabat mahupun jiran tetangga. Tujuannya untuk saling bermaafan dan mengeratkan hubungan silaturahim mahupun ukhuwah.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda :

مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللهِ نَادَاهُ مُنَادٍ أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الجَنَّةِ مَنْزِلاً

”Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah SWT maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” (HR Tirmizi No: 2008). Status: Hadis Sahih

Perlu diingatkan agar sentiasa mematuhi syariat dan adab bersilaturahim dan berukhuwah. Antaranya;

1. Pastikan memakai pakaian sopan dan menutup aurat.

2. Tidak menziarahi terlalu lama.

3. Sebaiknya meminta izin dan memilih masa yang sesuai kerana kita perlu menghormati privasi orang yang diziarahi.

4. Berusahalah untuk mengeratkan ukhuwah serta silaturahim dengan kaum kerabat melalui ziarah yang dilakukan.

Sabda Rasulullah SAW;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim. (Sahih Bukhari No: 5639) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Bagi kita yang masih ada ibu bapa, adik beradik, serta kaum kerabat yang tidak dapat diziarahi secara fizikal, manfaatkan teknologi yang ada untuk bertanya khabar mereka dalam kerangka mengeratkan silaturahim.

 
Hari Pertama Syawal: Kemenangan dan Kesyukuran

1 Syawal adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Ia bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kesyukuran, penyucian jiwa, dan pengukuhan silaturahim.

1. Sunnah-Sunnah Pada Pagi Syawal

✅ Mandi sunat Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat.
✅ Memakai pakaian terbaik yang dimiliki (bukan semestinya baru, tetapi bersih dan kemas).
✅ Makan dahulu sebelum solat sunat Aidilfitri, sebagai tanda berakhirnya puasa (Rasulullah ﷺ memakan kurma dalam jumlah ganjil).
✅ Mengucapkan takbir raya sejak malam 1 Syawal hingga sebelum solat Aidilfitri:
“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illa Allah, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa lillahil-hamd.”
✅ Menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah dan mendengar khutbah.
✅ Mengucapkan tahniah dan doa seperti “Taqabbalallahu minna wa minkum” (Semoga Allah menerima amalan kita dan kalian).

2. Meraikan Kemenangan Dengan Kesederhanaan

Syawal adalah hari kegembiraan, tetapi Islam mengajar agar ia diraikan dengan sederhana dan tidak berlebihan. Kegembiraan sebenar ialah kerana mendapat keampunan Allah dan meningkatnya ketakwaan selepas tarbiah Ramadan.

3. Mengukuhkan Silaturahim & Memaafkan

Hari Raya adalah peluang untuk mempererat hubungan dengan keluarga dan sahabat:
✅ Ziarah keluarga dan sanak saudara.
✅ Memaafkan kesalahan orang lain dan memohon kemaafan.
✅ Mengutamakan ibu bapa dalam memberi kegembiraan.

4. Menyambung Kebaikan Ramadan

Meskipun Ramadan telah berlalu, semangat ibadah harus diteruskan:
✅ Puasa enam hari di bulan Syawal, kerana Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim)
✅ Mengekalkan bacaan Al-Quran dan solat malam.
✅ Teruskan bersedekah dan berbuat baik.

Semoga Syawal ini membawa keberkatan dan rahmat dalam kehidupan kita. Taqabbalallahu minna wa minkum, kullu ‘am wa antum bikhair.

 
1000539354.jpg


INFOGRAFIK

3 Golongan Perlu Diziarahi Pada Musim Raya

Dengan Syawal yang berbaki ini, ayuh kita suburkan budaya menziarahi dan mengeratkan silaturahim sesama kita.

Jangan lupa ajak kawan-kawan sekali
 
Rasa lesu dan hilang semangat tidak seperti ibadah di bulan Ramadhan yang lalu?

Ini antara cabaran yang bakal kita hadapi, malah diawal syawal pun sudah kita hadapi dengan meninggalkan kelaziman ibadat kita pada bulan Ramadhan seperti bacaan al-Quran, solat witir dan lain-lain.

Kita perlu ingat, para nabi dan ulama' juga sering berdoa meminta 'semangat' dan memohon ditetapkan hidayah dan taufiq dalam diri agar tidak kembali bermalasan dalam beribadat dan rajin pada hal yang sia-sia.

Lazimilah doa dari al-Quran ini:

{ رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَیۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ }

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
[Surah Aali 'Imran: 8]

Kita sudah bersemangat melazimi ibadah pada bulan Ramadhan, kita mohon pada Allah agar dikekalkan semangat dan taufiq tersebut agar dapat kita teruskan pada bulan yang lain
 
Syawal dan Ibrah Perang Khandaq

Hari ini, marilah kita merenung sejenak satu peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan Syawal, iaitu Perang Khandaq — juga dikenali sebagai Perang Ahzab. Perang ini berlaku pada bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah, ketika umat Islam diuji dengan ancaman besar daripada gabungan musuh Islam yang berjumlah lebih 10,000 orang.

Namun, apakah kaitannya dengan kita yang sedang berada dalam suasana Syawal ini?

1. Syawal: Bulan Kemenangan dan Pengorbanan

Ramai yang melihat Syawal sebagai bulan bergembira selepas penat berpuasa. Tapi jangan kita lupa bahawa Syawal juga bulan perjuangan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dan para sahabat. Dalam bulan inilah mereka menggali parit siang dan malam, berpuasa sunat, dan mempertahankan Islam dari serangan pakatan musuh.

Pengajaran untuk kita: Syawal bukan hanya untuk makan dan ziarah, tapi juga untuk meneruskan perjuangan melawan nafsu, malas, dan sifat lalai yang mungkin kembali selepas Ramadan.

2. Kesatuan dan Ukhuwwah Selepas Ramadan

Umat Islam bersatu menggali parit, tanpa mengira asal-usul. Muhajirin dan Ansar, kaya dan miskin, semuanya bekerja bersama.

Pengajaran untuk kita: Selepas sebulan bersama dalam ibadah Ramadan, janganlah kita berpecah-belah kembali. Syawal sepatutnya menguatkan ukhuwwah, bukan memecahkannya.

3. Tawakkal Selepas Usaha


Setelah menggali parit dan bersedia berperang, Nabi SAW dan para sahabat tetap bertawakkal kepada Allah. Akhirnya, Allah membantu dengan menghantar angin ribut yang menggagalkan pakatan musuh.

Pengajaran untuk kita: Dalam Syawal ini, setelah kita berusaha menjadi insan bertaqwa di bulan Ramadan, kita perlu terus berserah kepada Allah, yakin bahawa pertolongan-Nya sentiasa dekat.

4. Syawal: Ujian Selepas Latihan

Ramadan adalah madrasah tarbiah, Syawal pula adalah medan ujian. Begitulah juga umat Islam selepas latihan iman di bulan Ramadan, Allah uji mereka di bulan Syawal dengan Perang Khandaq.

Pengajaran untuk kita: Adakah kita kekal istiqamah selepas Ramadan? Atau kita kembali kepada kebiasaan lama? Syawal adalah masa untuk membuktikan bahawa kita benar-benar berubah.

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah, marilah kita hayati Syawal bukan sekadar dengan pakaian baru dan juadah yang lazat, tetapi dengan semangat baru, iman yang diperbaharui, dan kesediaan untuk berkorban seperti para sahabat dalam Perang Khandaq.

Semoga Allah menjadikan kita hamba-Nya yang istiqamah dan bersatu dalam perjuangan menegakkan agama-Nya.

 
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hadith Abu Daud no. 2078

Darjat: Sahih

Muhammad Nashiruddin al-Albani

Matan:
Daripada Abu Ayyub,
Nabi s.a.w. bersabda,

"Barangsiapa yang berpuasa
pada bulan Ramadhan.

Kemudian diikuti dengan puasa enam (6) hari
pada bulan Syawal.

Maka seolah-olah dia berpuasa satu (1) tahun."

Nota penting:

Untuk pemahaman yang lebih baik,
sila rujuk nasihat pakar
(ulama’, ustaz atau yang setaraf dengannya)
 
Back
Top
Log in Register