setuju!
Ketuanan melayu di bumi bertuah Malaysia sesekali tidak akan diganggu gugat dengan adanya Raja-raja Melayu yang berdaulat!
Peranan Majlis Raja-Raja Dalam Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia
PENGENALAN
Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara formalnya hasil daripada perancangan British dalam tahun 1948 sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar). Ianya pertama kali diadakan di Kuala Kangsar pada tahun 1897. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud istana raja. Durbar juga bermaksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja-Raja ataupun gabenor atau wizurai British di India pada masa dahulu. Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama diadakan ialah pada 31 Ogos dan 1 September 1948. Mesyuarat ini buat pertama kali dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-Raja Melayu.
FUNGSI
Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi juga unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini. Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan adalah seperti berikut:
(a)
memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga;
(b)
mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan;
(c)
mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
(d)
melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;
(e)
memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,
dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.
Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka.
Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.
Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain).
BUDI BICARA MAJLIS RAJA-RAJA
Ahli-ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa urusan berhubung dengan tugas-tugas yang berikut, iaitu:
(a)
memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;
(b)
memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang ditetapkan oleh Perlembagaan;
(c)
mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;
(d)
mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan;
(e)
perlantikan anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau
(f)
pemberian ampun, reprief dan respit, atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.
Sumber:
http://www.malaysianmonarchy.org.my...dalam+Sistem+Raja+Berperlembagaan+di+Malaysia