combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Pertembungan Satu Lawan Satu Tidak Jejas Kerajaan Perpaduan - Azalina
Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pertembungan satu lawan satu antara calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan pada peringkat pusat, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata struktur kerajaan di Malaysia jelas membezakan antara pentadbiran Persekutuan dan negeri, justeru perbezaan politik pada peringkat negeri tidak mengganggu hubungan serta urusan pentadbiran kerajaan.
“Pusat lain, negeri lain. Kita ini kerajaan Persekutuan. Bila sebuah persekutuan itu, negeri-negeri menjadi sebahagian daripadanya … tak ada masalah,” katanya kepada Bernama selepas Program Literasi Antibuli Negeri Johor di Westin Desaru Convention Centre, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Ahli Parlimen Pengerang berkata walaupun sesebuah negeri ditadbir pembangkang, hubungan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan masih berjalan baik terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat.
Azalina turut menegaskan bahawa fokus utama pengundi adalah memilih wakil yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya menjadikan sentimen politik sebagai keutamaan.
“Tapi yang lebih penting bagi saya adalah mengundi untuk perkhidmatan. Kalau dia undi yang kononnya nak mewujudkan membangkang, yang jadi mangsa rakyat.
"Macam di Johor kan ... itu sebab tema kerajaan memerintah dulu ialah Maju Johor jadi saya harap pengundi akan fikirlah … jangan nak marah nyamuk bakar kelambu," katanya.
Calon-calon BN dan PH akan bersaing satu lawan satu di 14 kerusi pada PRN Johor kali ini.