2 lelaki bakal didakwa, bantu Lim Tean tinggalkan SG secara haram
Lim Tean tiba di Mahkamah Negara pada 17 Februari 2025. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Dua lelaki akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (8 Ogos) kerana dipercayai bersubahat mengatur agar peguam Lim Tean dapat meninggalkan Singapura secara haram ke Malaysia.
Kedua-dua warga Singapura berusia 37 dan 44 tahun itu masing-masing akan didakwa atas satu tuduhan bersubahat melakukan perbuatan yang berpotensi menghalang proses keadilan, meskipun mengetahui bahawa perbuatan tersebut berkemungkinan menggagalkan proses keadilan, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.
IKLAN
Kesalahan tersebut membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
"Pihak berkuasa memandang serius terhadap individu yang membantu orang lain mengelak daripada dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka yang melakukan kesalahan sedemikian akan didakwa sepenuhnya mengikut undang-undang," menurut SPF.
Lim sepatutnya menyerah diri di Mahkamah Negara Singapura pada Isnin untuk memulakan hukuman penjara selama tiga bulan dan seminggu kerana menjalankan amalan guaman tanpa sijil yang sah.
Namun, lelaki berusia 61 tahun itu tidak menghadirkan diri. Pada masa yang sama, peguam serta penjaminnya gagal menghubunginya.
Pihak berkuasa Singapura kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadap Lim, sebelum dia diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru pada Khamis.
IKLAN
SPF sedang bekerjasama rapat dengan PDRM bagi memastikan Lim dibawa pulang ke Singapura.
Jurucakap mahkamah Singapura sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa Lim pada asalnya diarahkan untuk menyerah diri pada pukul 12.00 tengah hari, 20 Julai, untuk mula menjalani hukuman penjaranya.
Bagaimanapun, pada 17 Julai, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Lim untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut dan mengarahkannya untuk menyerah diri pada pukul 12.00 tengah hari, pada 3 Ogos.
Lim disabit kesalahan pada Julai 2024 oleh Hakim Daerah Kanan Ong Hian Sun selepas perbicaraan.
Dia pada asalnya dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan denda S$1,000, namun hukuman itu ditingkatkan kepada tiga bulan dan seminggu selepas seorang hakim bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa hukuman asal "jelas tidak memadai".
IKLAN
Lim diisytiharkan muflis pada April. Pada bulan yang sama, dia turut didenda S$30,000 atas tindakannya mengendalikan wang milik bekas anak guamnya.
Lim merupakan pengasas Parti Suara Rakyat (PV) dan setiausaha agung Perikatan Rakyat Bagi Pembaharuan (PAR), sebuah gabungan parti-parti pembangkang.
Dalam Pilihan Raya Umum tahun lalu (GE2025), Lim menduduki tempat ketiga dalam persaingan tiga penjuru di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Potong Pasir, di belakang Alex Yeo daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Williamson Lee daripada Parti Rakyat Singapura (SPP).
2 lelaki bakal didakwa, bantu Lim Tean tinggalkan SG secara haram
Dua lelaki akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (8 Ogos) kerana dipercayai bersubahat mengatur agar peguam Lim Tean dapat meninggalkan Singapura secara haram ke Malaysia.