Warga Malaysia akan didakwa selepas dipercayai terkait sindiket pengubahan wang haram sasar akaun bank SG
Lelaki warga Malaysia berusia 28 tahun itu dipercayai anggota sindiket pengubahan wang haram. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 28 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengubahan wang haram ditahan di Malaysia sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (21 Jul).
Menurut polis, lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada hari ini atas tuduhan bersubahat melalui pakatan sulit untuk membantu individu lain mengekalkan manfaat hasil kegiatan jenayah di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain, kata polis.
IKLAN
Suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin menyusuli waran tangkap yang dikeluarkan pihak berkuasa Singapura, sebelum diserahkan kepada polis di sini pada keesokan harinya.
Sindiket itu berjaya dilumpuhkan pada Mac 2026 menerusi Operasi Frontier+ III hasil maklumat yang diberikan oleh MariBank.
Operasi tersebut merupakan tindakan bersepadu membanteras penipuan rentas negara yang dijalankan oleh SPF bersama sembilan agensi penguat kuasa asing dari 10 Mac hingga 7 Mei.
Jika didapati bersalah, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi S$500,000, atau kedua-duanya sekali.
Polis turut merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatan nya di Malaysia atas "kerjasama dan bantuan yang amat bernilai dalam memudahkan penahanan" suspek.
IKLAN
MariBank turut dipuji atas kerjasamanya. Komander Markas Siber SPF merangkap Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis Justin Wong berkata: "Sektor swasta merupakan rakan penting dalam usaha memerangi penipuan.
"Kami akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan rakan penguat kuasa antarabangsa bagi membanteras penipuan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang menyasarkan Singapura."
Polis menyatakan sejak 30 Disember lalu, penipu serta anggota atau perekrut sindiket penipuan boleh dikenakan hukuman sebatan mandatori sekurang-kurangnya enam sebatan dan sehingga 24 sebatan, manakala keldai akaun yang membantu penipu mengubah wang hasil jenayah boleh dikenakan hukuman sehingga 12 sebatan mengikut budi bicara mahkamah.
"Polis memandang serius pelibatan mana-mana individu dalam kegiatan penipuan dan pelaku akan diambil tindakan mengikut undang-undang."
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, termasuk tidak memindahkan wang tunai, barang kemas atau barangan berharga lain kepada individu yang tidak dikenali atau identitinya tidak dapat disahkan.
IKLAN
Pihak berkuasa turut mengingatkan bahawa pegawai pemerintah Singapura tidak akan sekali-kali meminta orang ramai memindahkan wang melalui telefon, meminta maklumat log masuk perbankan, mengarahkan pemasangan aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi tidak rasmi atau memindahkan panggilan kepada pihak polis.
Warga Malaysia akan didakwa selepas dipercayai terkait sindiket pengubahan wang haram sasar akaun bank SG
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 28 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengubahan wang haram ditahan di Malaysia sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (21 Jul). Menurut polis, lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada hari ini atas tuduhan...