Tongkang yang dirampas ini menjadi tempat di mana tiga individu bersembunyi untuk cuba masuk ke Singapura secara haram. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
SINGAPURA: Seorang anak kapal sebuah kapal tunda berdaftar asing didakwa pada Selasa (11 Nov) kerana membantu tiga individu memasuki Singapura secara haram.
Warga Indonesia, Febry Iswanto, 23 tahun, merupakan seorang daripada lapan anak kapal yang diberkas berhubung kesalahan tersebut.
IKLAN
Pegawai-pegawai Polis Pengawal Pantai menjalankan operasi di Terminal Aggregate di Pulau Punggol pada Ahad dan menahan lapan warga asing di atas kapal tunda berkenaan.
Siasatan awal mendapati Febry dipercayai sudah membantu tiga individu memasuki Singapura secara haram pada 26 Oktober, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).
Tiga individu tersebut dilaporkan bersembunyi di atas tongkang yang ditunda sebuah kapal tunda berdaftar Indonesia.
Febry dikenakan satu pertuduhan di bawah Akta Imigresen. Dia direman dan kesnya akan disebut semula pada 18 November.
Polis memaklumkan bahawa kapal tunda dan tongkang tersebut sudah dirampas sebagai bahan bukti kes. Siasatan terhadap tujuh lagi anak kapal masih dijalankan.
IKLAN
“Polis memandang serius kegiatan haram seperti ini. Pihak berkuasa akan terus menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan dan keselamatan bagi mencegah, menghalang dan mengesan kegiatan-kegiatan haram di perairan Singapura,” tegas SPF.
Jika sabit kesalahan, Febry berdepan hukuman penjara minimum antara enam bulan hingga dua tahun. Dia juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya tiga sebatan rotan.
Lelaki Indonesia didakwa bantu 3 individu masuk SG secara haram
Seorang anak kapal sebuah kapal tunda berdaftar asing didakwa pada Selasa (11 Nov) kerana membantu tiga individu memasuki Singapura secara haram.