afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,217
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,217
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
‘Kalau berani pecat saya’, Wong Chen cabar PKR
Wong Chen turut membayangkan tindakan memecatnya boleh mencetuskan kesan lebih besar terhadap PKR.
Dalam hantaran video di Facebook, Wong berkata PKR tidak perlu mendesaknya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen jika benar mahu mengambil tindakan terhadapnya.
“Kalau berani, tak payah suruh saya meletak jawatan. Dia nak suruh saya meletak jawatan, dia pun takut.
“Kalau berani, pecat saya, pecat saya, saya boleh terus sebagai Ahli Parlimen untuk rakyat Subang,” katanya ketikat berucap dalam siri jelajah Parti Bersama Malaysia (Bersama) di Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Wong dipercayai merujuk kepada surat tunjuk sebab diterimanya daripada Lembaga Disiplin PKR susulan penglibatannya dalam program ‘Jelajah Kancil’ yang dikaitkan dengan Bersama pimpinan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Ganapathy, berkata parti tidak akan mengikut rentak Wong sebaliknya sebarang tindakan akan dibuat mengikut proses dan peraturan sedia ada.
Beliau berkata, Lembaga Disiplin PKR akan menjalankan tugas secara bebas tanpa dipengaruhi cabaran atau tekanan mana-mana pihak.
Dalam hantaran sama, Wong turut membayangkan tindakan memecatnya boleh mencetuskan kesan lebih besar terhadap parti itu.
“Nanti enam Ahli Parlimen keluar, dia (PKR) mampus,” katanya.
Bagaimanapun, Wong tidak menjelaskan identiti enam Ahli Parlimen yang dimaksudkan atau sama ada mereka masih bersama PKR.
