afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Zahid guna isu kontraktor perkukuh sokongan Melayu, kata penganalisis
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah kecewa dengan kelewatan pembayaran kepada kontraktor projek pembangunan luar bandar.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kenyataan Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, ditujukan kepada akar umbi Umno memandangkan kementerian itu kebanyakannya berurusan dengan kontraktor Bumiputera.
Menurutnya, sebarang tentangan daripada Perbendaharaan boleh mengukuhkan naratif Umno bahawa ia mempertahankan kepentingan ekonomi orang Melayu luar bandar.
“Ini sebenarnya bertujuan mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menjawab apa yang dianggap penyokong mereka sebagai peminggiran orang Melayu luar bandar,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, keputusan Zahid membangkitkan isu itu secara terbuka berbanding menyelesaikannya melalui saluran Jemaah Menteri menunjukkan ia bukan sekadar kelewatan pembayaran.
“Hakikat ia dibangkitkan secara terbuka bermakna ada sasaran jelas: Kementerian Kewangan dan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.”
Penganalisis politik, Asrul Sani, berkata kritikan Zahid boleh mengalihkan perhatian daripada siasatan ke atas Tabung Haji dan menukar fokus kepada kewajipan kerajaan untuk menunaikan komitmen pembayaran.
Beliau memberi amaran jika kelewatan pembayaran berterusan, Anwar akan menghadapi risiko naratif serius yang boleh menjejaskan kedudukannya dalam kalangan pengundi Melayu.
“Jika kelewatan berterusan, Umno boleh menggambarkan Anwar seolah-olah menafikan sumber diperlukan untuk berkhidmat kepada masyarakat Melayu dan luar bandar.”
Selasa lalu, Zahid mendedahkan sebahagian kontraktor yang melaksanakan projek luar bandar lewat menerima bayaran daripada kerajaan sehingga ada yang terpaksa menutup operasi akibat masalah aliran tunai.
Susulan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dilaporkan berkata, sebahagian besar peruntukan tahun ini untuk projek jalan luar bandar sudah dibelanjakan menyebabkan kekangan pembayaran.
Katanya, peruntukan itu telah diagihkan sepenuhnya, manakala Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah secara konsisten berbelanja melebihi peruntukan tahunan diluluskan untuk projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun ini.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, had belanjawan Parlimen perlu dihormati dan memberi amaran tidak menjadikan dana awam sebagai alat politik.
“Disiplin fiskal adalah pelindung dana awam. Jika setiap menteri berbelanja melebihi peruntukan dan kemudian menuntut bayaran daripada Perbendaharaan kerana kontraktor dianggap penting secara politik, kita tiada lagi sistem belanjawan; sebaliknya mempunyai buku cek politik.”
Katanya, episod itu akhirnya menjadi ujian kematangan politik kerajaan perpaduan.
“Kadangkala pendirian paling pro-kerajaan bukanlah mempertahankan setiap kenyataan dibuat rakan gabungan anda, tetapi menuntut semua pihak, termasuk menteri anda memberitahu kebenaran sepenuhnya.”