afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,230
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,230
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Sokongan terhadap PAS belum maksimum, kata penganalisis
Selepas berjaya meraih sokongan pengundi Muslim konservatif, seorang penganalisis berkata PAS juga boleh mula mendekati golongan Melayu progresif.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura menjangkakan kecenderungan konservatif akan terus berkembang di seluruh negara, sekali gus memihak kepada PAS, manakala Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata masih terdapat golongan Melayu bandar dan progresif yang boleh didekati PAS.
Oh berkata peningkatan kecenderungan konservatif dalam kalangan pengundi Melayu semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang menjadi antara faktor utama PAS berjaya memenangi 43 kerusi pada PRU15, sekali gus menjadikannya parti tunggal terbesar di Dewan Rakyat.
Katanya, apabila masyarakat Melayu menjadi semakin konservatif, mereka secara semula jadi akan cenderung kepada parti Islam seperti PAS, sambil menambah parti itu lebih banyak menumpang perkembangan trend terbabit berbanding menjadi penggeraknya.
“Itulah sebabnya PAS mempunyai banyak ruang untuk berkembang, termasuk di kawasan bandar. Trend konservatisme ini bukan hanya berlaku di luar bandar, malah di kawasan bandar juga.
“Ini bukan sekadar fenomena di Malaysia. Ia berlaku di Turki, Indonesia dan banyak negara lain yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Oleh itu, PAS mempunyai banyak ruang untuk berkembang,” katanya kepada FMT.
Fauzi berkata Pakatan Harapan (PH) perlu menerima realiti politik berhubung peningkatan sokongan terhadap konservatisme dan politik identiti. Katanya, gabungan itu sering menunjukkan sikap seolah-olah merendahkan penyokong PAS, yang menggambarkan keterpisahan mereka daripada realiti dan menyebabkan pengundi berkenaan semakin menjauh.
PAS boleh progresif tanpa kehilangan sokongan konservatif
Bagaimanapun, Fauzi berkata PAS perlu berusaha meluaskan sokongan dengan mendekati golongan Melayu progresif di kawasan bandar, yang menurutnya tidak akan menyebabkan parti itu kehilangan sokongan tradisional daripada pengundi konservatif.
Katanya, pendirian PAS menentang rasuah sebelum ini sudah membantunya meraih sebahagian besar undi daripada Umno dan perkara itu boleh diteruskan, manakala kekecewaan golongan Melayu progresif terhadap PH boleh membuka ruang kepada PAS sekiranya parti itu mula mengetengahkan dasar berkaitan tadbir urus, akauntabiliti dan keadilan.
Beliau berkata bagi menarik sokongan golongan itu, PAS perlu meyakinkan mereka bahawa parti berkenaan bukan sebuah parti ekstremis, khususnya dengan menggalakkan pluralisme sosial dan penglibatan antara agama, di samping menggabungkan fahaman Islam dengan konsep kenegaraan moden.
“Terus terang, ia tidak semestinya menjadi permainan jumlah sifar. PAS perlu kreatif. Sebagai contoh, ia boleh mempelbagaikan profil calonnya dan mengetengahkan golongan profesional yang fasih berbahasa Inggeris sebagai calon di kawasan bandar dan negeri-negeri di pantai barat,” katanya.
“Pendakwahnya juga perlu dilatih untuk bercakap dalam bahasa hak asasi manusia dan pluralisme sosial, manakala satu modul perlu disediakan oleh PAS bagi membuktikan bahawa konsep-konsep ini langsung tidak bercanggah dengan politik Islam.”
Beliau berkata pengundi Melayu muda merupakan satu lagi segmen sasaran penting, sambil menunjukkan bahawa mereka tidak setia kepada mana-mana parti tertentu dan lebih bersedia untuk menukar sokongan ketika berada di peti undi.
“Kelompok ‘pengundi atas pagar’ inilah yang perlu diyakinkan PAS bagi mengubah keseimbangan dalam usahanya menuju Putrajaya,” katanya.
Minggu lalu, Ketua Penerangan Wawasan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pertumbuhan sokongan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin mencapai had dan gabungan itu memerlukan sebuah parti sederhana dan berbilang kaum untuk terus mengukuhkan sokongan.
Ahli Parlimen Machang itu berkata Wawasan mahu melengkapi kekuatan PAS dalam kalangan pengundi konservatif bagi membantu membawa PN lebih ke arah sederhana.
Wawasan yang diketuai Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada asalnya dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia dan diasaskan bekas pemimpin Gerakan Huan Cheng Guan.
Pada Jun lalu, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut berkata PAS perlu bekerjasama dengan sebuah lagi parti Melayu sederhana kerana asas sokongan tradisionalnya yang berteraskan agama semakin menghampiri tahap tepu.
