Bahagian 21 (Akhir)
PUKUL 7.30 pagi Jumaat lalu, sebuah kenderaan pacuan empat roda memasuki kawasan Penjara Pusat Kajang dan kemudian diikuti oleh sebuah van pada pukul 8.15 pagi.Selepas pemandu dan penumpangnya menguruskan pas masuk di pondok kawalan, kedua-dua kenderaan itu kemudian beredar meneruskan perjalanan di dalam kawasan penjara.
Namun, kira-kira 40 minit kemudian, kedua-dua kenderaan itu muncul semula mengekori sebuah trak dan sebuah van yang dijadikan kereta jenazah, keluar dari kawasan penjara.Di luar pintu pagar laluan utama yang ditutup sebahagiannya dan dikawal oleh lebih 10 wardar penjara, kira-kira 20 wartawan dan jurugambar akhbar serta televisyen terus bingkas menghalakan tumpuan kepada kenderaan-kenderaan tersebut.
Mereka berkumpul di hadapan pintu gerbang Penjara Pusat Kajang seawal 3.30 pagi, menanti dengan penuh sabar sesuatu peristiwa yang tentunya begitu penting akan berlaku di kawasan penjara itu.Tepat pukul 8.55 pagi, semua lensa kamera diarahkan kepada trak, kereta jenazah dan dua kenderaan lain yang mengekori di belakang.
Peristiwa tersebut menjadi begitu penting kepada pihak media kerana trak dan kereta jenazah itu membawa mayat sepasang bomoh dan pembantu mereka yang pernah menggemparkan seluruh negara lapan tahun lalu.Ketiga-tiganya merupakan jenazah pasangan bomoh Mona Fandey dan suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman dan Juraimi Hussin - tiga pembunuh kejam yang riwayat mereka berakhir di tali gantung di penjara berkenaan pada pagi tersebut.
Kematian mereka di tali gantung sebenarnya tidaklah begitu sadis, seram, menakutkan atau mengerikan seperti yang mereka lakukan terhadap Datuk Mazlan Idris antara pukul 10 malam dan tengah malam 13 Julai 1993.Mazlan yang ketika itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam bukan saja dibunuh, malah tubuhnya dikerat 18 bahagian.
Cara pembunuhan wakil rakyat itu juga tidak pernah terlintas di fikiran dan benak setiap rakyat Malaysia yang teguh dengan sifat kasih sayang.Selepas kapak diasah setajam-tajamnya, leher Mazlan kemudian ditetak sebanyak tiga kali sehingga putus.Detik-detik mengenai pembunuhan itu telah diceritakan di mahkamah. Ketika itu, Mazlan disuruh berbaring dan diberi jaminan kononnya ``duit yang banyak akan turun dari atap''.Mazlan diperlakukan tidak ubah seperti benda tidak bernilai apabila sendi-sendinya dipotong.
Kemudian, umpama melapah lembu, tubuh mangsa disiat-siat dan dilapah dengan kulit dan dagingnya kemudian dikumpulkan ke dalam besen.Tidak cukup dengan itu, cebisan mayat Mazlan telah dimasukkan ke lubang stor rumah yang telah digali sejak seminggu sebelumnya.Lubang mengandungi cebisan dan potongan tubuh mangsa itu kemudian ditimbus dengan simen.
Allahyarham sebenarnya menjadi mangsa kerakusan manusia yang ingin mencari kemewahan dengan cara paling mudah iaitu melalui penipuan dan pembunuhan.Beberapa jam sebelum Mazlan dibunuh, mangsa telah dipujuk untuk mengeluarkan wang hampir RM300,000 dari beberapa bank di ibu negara.Mazlan diberitahu kononnya wang tersebut boleh digandakan tetapi selepas beliau ``mandi bunga''.Dan hanya dalam tempoh 10 hari selepas pembunuhan itu, pasangan bomoh tersebut telahpun berbelanja sebanyak RM300,000 iaitu jumlah yang sama dikeluarkan oleh Mazlan dari akaunnya di dalam bank.
Ketika itu, Mazlan dikatakan memerlukan tambahan duit untuk membantunya dalam politik.Mona dan Mohd. Affandi telah membeli kereta mewah, telefon bimbit, barang kemas dan lain-lain, termasuk menginap di hotel lima bintang di Kuala Lumpur.Mereka dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 selepas didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada tahun 1993.
Perbicaraan berbulan-bulan atau 69 hari bicara itu (tidak termasuk cuti dan penangguhan) mendapat liputan meluas oleh media tempatan dan asing.Hampir setiap hari wajah Mona terpampang di dada-dada akhbar atau muncul dalam kaca televisyen dengan pelbagai aksi, ragam dan fesyen pakaiannya.Gambaran daripada wajah Mona dan suaminya yang dirakamkan ketika mereka menghadiri sidang mahkamah, langsung tidak membayangkan `keganasan' mereka.
Walaupun ketiga-tiganya cuba merayu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan hukuman bunuh itu, namun mereka gagal.Setelah rayuan ditolak, mereka membuat permohonan mendapatkan pengampunan daripada Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang, yang diketuai oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Kes itu dibawa kepada lembaga tersebut kerana kes bunuh membabitkan ketiga-tiga mereka berlaku di Kampung Peruas, Ulu Dong dekat Raub.Bagaimanapun, permohonan pengampunan mereka juga ditolak dalam persidangan lembaga itu.Pada tahap itu, ketiga-tiga mereka telahpun tertutup peluang dari segi perundangan untuk melepaskan diri daripada hukuman gantung sampai mati.
Namun, tidak lama kemudian, satu sejarah perundangan negara berlaku apabila peguam Juraimi mengemukakan saman untuk mencabar keputusan lembaga pengampunan itu.Ia bukan saja telah dengan sendirinya menangguhkan sementara hukuman gantung terhadap Juraimi, malah terhadap Mona dan Mohd. Affandi.Saman tersebut sebenarnya merupakan usaha terakhir untuk mengelakkan Juraimi daripada dikenakan hukuman gantung.
Usaha membuat rayuan, memohon pengampunan dan saman kemudian berakhir apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Juraimi itu, sekali gus menutup peluang mengubah keputusan awal iaitu hukuman mati.Dan pada kira-kira pukul 6 hingga 6.30 pagi Jumaat lalu iaitu selepas waktu solat subuh, Mona, Mohd. Affandi dan Juraimi menemui ajal di bilik hukuman gantung Penjara Pusat Kajang.Akhirnya, ketiga-tiga mereka dibalas dengan kematian selepas lapan tahun, tiga bulan dan 20 hari pembunuhan ngeri Mazlan.
Cerita panjang yang penuh tragis dan menyeramkan dalam pembunuhan Mazlan seperti didedahkan di mahkamah, menjadi dorongan utama untuk media menunggu penuh sabar `kesudahannya' di Penjara Pusat Kajang.Selepas trak dan van yang melintasi pintu utama penjara pada pukul 8.55 pagi itu itu disahkan membawa jenazah Mona, Mohd. Affandi dan Juraimi, penulis yang turut bersama-sama wartawan dan jurugambar lain mengekori kenderaan tersebut.Van yang membawa jenazah Juraimi dibiarkan terus ke arah tujuannya iaitu Kampung Teluk Gong, Klang. Jenazah Juraimi dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung halamannya itu.Gerombolan wartawan sebaliknya lebih ``tertarik'' untuk membuat liputan upacara pengkebumian Mona dan suaminya.
Trak membawa jenazah pasangan itu tiba di Rumah Mayat Hospital Kajang pada pukul 9.10 pagi.Sejurus selesai dimandikan, kira-kira 20 orang ahli keluarga Mona dan Mohd. Affandi, sanak-saudara dan pegawai Masjid Kajang sama-sama menyempurnakan solat jenazah pada pukul 10.25 pagi.
Selepas itu, trak yang sama terus diekori oleh para wartawan dan jurugambar untuk ke destinasi terakhir iaitu Tanah Perkuburan Ahli-Ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, kira-kira 1.5 kilometer dari Hospital Kajang.Di situ, kelihatan dua lubang kubur telah sedia digali dengan beberapa orang sukarela yang mahu mendapat pahala fardu kifayah sedang menunggu untuk menguruskan pengkebumian Mona dan Mohd. Affandi.Sambil kedua-dua lubang itu dikelilingi oleh ahli keluarga dan sanak-saudara, jenazah Mona yang telah pun diusung keluar dari trak penjara, diuruskan terlebih dahulu.
Selepas jenazah Mona diturunkan dengan penuh tertib dan hormat, beberapa anak muda menghulurkan papan penutup dan juga mula mencangkul tanah sedikit lembap dan berair kerana ditimpa hujan untuk menimbus lubang kubur itu.Dalam waktu kira-kira 20 minit, kubur Mona telah pun diratakan, ditambak pula di bahagian atas, di pasang nisan kayu dan dicacakkan dua keratan bunga di atasnya.Sesudah pengkebumian Mona pada pukul 11.25 pagi, barulah jenazah Mohd. Affandi pula diuruskan dan selesai pukul 11.45 pagi.Talkin kemudian dibacakan sambil didengar penuh khusyuk oleh ahli keluarga dan sanak-saudara si mati.
Tepat pukul 12 tengah hari, upacara pengkebumian Mona dan Mohd. Affandi yang dilangsungkan dengan penuh tertib selesai dijalankan.Dengan itu juga, Mona atau identiti sebenarnya Maznah Ismail dan juga Mohd. Affandi hanya tinggal nama tetapi tentunya ia akan terus dikaitkan dengan pembunuhan kejam Mazlan.Mereka juga meninggalkan seorang anak Mazdiana, berusia 14 tahun.
