Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Warga Emas, Juruteknik Antara Penerima Terawal Faedah LINDUNG 24 Jam Di Melaka
Abdul Rashid Haron, 64
Kredit: PERKESO Melaka
Seorang pengawal keselamatan dan seorang juruteknik merupakan antara penerima terawal Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Melaka, selepas masing-masing cedera dalam kemalangan motosikal di luar waktu bekerja.
Perkeso Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengawal keselamatan Abdul Rashid Haron, 64, yang merupakan pencarum aktif di bawah skim itu, layak menerima FHUS selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas menunaikan solat Asar di masjid pada hari cutinya pada 11 Jun.
“Akibat kemalangan berkenaan menyebabkan pergelangan tangan kiri Abdul Rashid patah dan beliau menerima rawatan di Hospital Melaka.
“Sepanjang tempoh cuti sakit bermula 12 Jun hingga 13 Julai, beliau menerima gantian pendapatan berjumlah RM576, manakala jumlah keseluruhan faedah akan dimuktamadkan kemudian selain dijadualkan menjalani beberapa sesi rawatan susulan di hospital,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu seorang juruteknik, Mohd Iskadar Ramli, 38, layak menerima FHUS selepas terjatuh daripada motosikal akibat hilang kawalan ketika melalui permukaan jalan berpasir, selepas menunaikan solat Maghrib di sebuah surau berhampiran rumahnya.
Mohd Iskadar menerima rawatan awal di sebuah klinik berhampiran, sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta di negeri ini selepas disahkan mengalami patah bahu kiri.
Beliau menerima gantian pendapatan berjumlah RM864 sepanjang tempoh cuti sakit bermula 7 Jun hingga 24 Julai ini.
PERKESO berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan kesihatan kedua-dua pencarum berkenaan, serta menyediakan rawatan pemulihan bagi memastikan mereka dapat kembali bekerja selepas pulih sepenuhnya.
“Kejadian yang menimpa kedua-dua pencarum berkenaan membuktikan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk di luar waktu bekerja, sekali gus menegaskan kepentingan perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh.