combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
UTP Perkukuh Fokus Kepada Keselamatan Tenaga, Kehidupan Mampan Dan Masa Hadapan Boleh Jana SemulaÂ
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang (tengah) bergambar dengan Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican (dua, kiri), Presiden UTP Mohamed Firouz Asnan (kanan), Pengerusi yang juga Ahli Lembaga Pengarah UTP Farehana Hanapiah (dua, kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Norsham Abdul Latif (kiri) pada Majlis Perasmian Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 di Penang Waterfront Convention Center (PWCC) pada Selasa.
Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah meletakkan tiga cabaran utama iaitu keselamatan tenaga, kehidupan mampan dan masa depan boleh jana semula di tengah-tengah hala tuju strategiknya dengan penyelidikan, pelaburan serta kerjasama yang dijuruskan ke arah menangani keperluan negara dan industri.
Canselor UTP Tan Sri (Dr) Mohd Hassan Marican berkata ketiga-tiga cabaran utama itu bukan sekadar tema penyelidikan, tetapi berfungsi sebagai asas untuk menentukan keutamaan penyelidikan, pelaburan dan kerjasama universiti tersebut.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen UTP untuk memastikan pendidikan, penyelidikan dan inovasi, kekal berhubung rapat dengan cabaran dunia sebenar yang dihadapi oleh masyarakat serta industri. Cabaran-cabaran utama ini bukan sekadar tema penyelidikan, tetapi ia mentakrifkan cara kami mendidik, berinovasi dan bekerjasama.
“Pendekatan itu membentuk keutamaan penyelidikan kami, membimbing pelaburan kami dan mengukuhkan rakan kongsi kami, dalam usaha memastikan kerja kami memberikan sumbangan yang bermakna kepada aspirasi Malaysia,” katanya berucap pada Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia 2026 (ESTCON 2026), di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) pada Selasa.
Kongres itu dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dan menampilkan perhimpunan pemimpin industri, wakil kerajaan, pembuat dasar, penyelidik serta profesional teknikal yang terkemuka.
Kongres dua hari itu, mengundang lebih daripada 30 penceramah yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa dalam bidang akademia, industri dan kerajaan, bersama-sama dengan lebih 330 pembentangan kertas teknikal merangkumi infrastruktur mampan, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan bahan termaju.
Mohd Hassan berkata peranan bidang kejuruteraan tidak lagi boleh dihadkan kepada reka bentuk sistem atau pembangunan teknologi semata-mata, tetapi mesti memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian yang memperkukuh daya tahan dan menjana semula sistem yang penting untuk generasi masa depan.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa dunia sedang mengalami transformasi yang mendalam, termasuk peralihan tenaga pada skala dan tahap kesegeraan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kemunculan pantas AI dan ketidakstabilan global yang semakin meningkat didorong persaingan kuasa besar yang meruncing, konflik serantau serta pemecahan perdagangan.
Sebagai rakan ilmu Petronas, Mohd Hassan berkata UTP komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi sektor tenaga dengan membangunkan pengetahuan, teknologi dan bakat yang diperlukan untuk mempercepat perjalanan ke arah masa depan tenaga yang selamat, berdaya tahan dan rendah karbon.