combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,139
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,139
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
UNICEF Sambut Baik Kelulusan RUU Profesion Kerja Sosial 2026
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 di Dewan Rakyat semalam yang merupakan pencapaian penting ke arah memperkasakan profesion itu.
Kenyataan UNICEF Malaysia hari ini memaklumkan RUU itu dialu-alukan kerana mengiktiraf kerja sosial sebagai satu profesion dan menandakan kemajuan penting ke arah memenuhi syor Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC) untuk memperkukuh pekerja sosial.
UNICEF memaklumkan RUU itu turut menyediakan asas bagi memperkukuh standard profesional, akauntabiliti serta kualiti sokongan kepada kanak-kanak dan keluarga yang berisiko.
Dewan Rakyat meluluskan RUU Profesion Kerja Sosial 2026 menerusi undian majoriti selepas dibahaskan oleh 23 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Undang-undang itu memperuntukkan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia sebagai badan kawal selia bagi profesion tersebut.
UNICEF memaklumkan pekerja sosial yang berkelayakan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti risiko, menyokong keluarga ketika berdepan krisis, menyelaras perkhidmatan, serta membantu memastikan kanak-kanak menerima perlindungan dan penjagaan yang diperlukan bagi menjamin keselamatan serta perkembangan mereka.
Menurut kenyataan itu, pekerja sosial turut membantu memperkukuh institusi keluarga, menghubungkan isi rumah dengan perkhidmatan penting serta menyokong tindakan awal bagi mengelakkan masalah daripada menjadi lebih buruk, khususnya ketika Malaysia berdepan isu sosial yang semakin kompleks, bencana dan risiko perubahan iklim.
UNICEF memaklumkan walaupun skop semasa RUU itu tertumpu kepada sektor swasta, ia merupakan pencapaian penting dalam aspek perundangan yang membuka laluan kepada usaha memperkasakan tenaga kerja perkhidmatan sosial secara berperingkat serta menyeluruh merentas semua sektor di Malaysia.
"Kerangka profesional yang diiktiraf dapat meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap peranan pekerja sosial dalam bidang perlindungan kanak-kanak, kebajikan sosial, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan komuniti, di samping menyokong perancangan jangka panjang serta pelaburan dalam tenaga kerja dan sistem yang diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada kanak-kanak dan keluarga," menurut kenyataan itu.