afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,224
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,224
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Umno akan pastikan Malaysia untuk semua, bukan hanya Melayu, kata Tok Mat
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan turut memberi amaran kepada pihak yang mahu bekerjasama dengan Umno supaya tidak memaksa ideologi ‘konservatif’ atau ‘radikal’ terhadap parti itu. (Gambar Bernama)
Dalam ucapan merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2026, beliau berkata Umno akan memastikan negara ini menjadi ‘tanah air untuk semua, makmur dan diuruskan dengan teliti, selari dengan Perlembagaan Persekutuan’.
“Jangan sesekali kita memikirkan konstituen kita hanya Melayu. Tindakan dan perilaku kita, jangan sesekali membuka ruang kerisauan, di kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mohamad, yang lebih dikenali dalam kalangan anggota parti sebagai Tok Mat, mengingatkan perwakilan bahawa Umno memerlukan keyakinan masyarakat bukan Melayu serta parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan dalam suasana politik Malaysia yang ‘kacau bilau’.
“Mereka sekarang telah menjadi kuasa penentu. Era kita menganggap mereka adalah deposit simpanan tetap telah tinggal menjadi kenangan,” katanya.
Mengulas kebimbangan masyarakat bukan Melayu mengenai hala tuju negara susulan dominasi politik Melayu-Islam, Mohamad berkata Umno sejak dahulu lagi merupakan parti berhaluan tengah.
“Ideologi kita ialah berhaluan tengah. Sekali lagi saya ulang, Umno adalah golongan dan kelompok tengah dan akan selamanya menyusuri jalan pertengahan. Kita tidak akan condong ke kiri atau ke kanan. Iltizam kita ialah mengimbangi antara idea dasar kiri dan kanan, sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat,” katanya.
Mohamad turut memberi amaran kepada bakal rakan kerjasama Umno supaya tidak memaksa ideologi ‘konservatif’ atau ‘radikal’ terhadap parti itu.
“Kita telah di uji berpuluh-puluh tahun dengan mengurus serta mentadbir negara dengan sikap, dasar, pendirian dan keutamaan yang sederhana, walaupun sebagai parti kebangsaan. Justeru, sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan Umno, mesti menerima kesederhanaan dan sikap menengah Umno,” katanya.