BTC USD 76,148.2 Gold USD 4,271.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Trend sewa "bilik mikro" antara S$500-S$900 sebulan semakin meningkat di SG

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Trend sewa "bilik mikro" antara S$500-S$900 sebulan semakin meningkat di SG​

screenshot-2026-08-18-070847.jpg

Encik Jao Santos dalam bilik sewanya. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Apabila Encik Jao Santos berpindah ke bilik sewanya pada Disember 2025, beliau terpaksa menghantar tiga gitarnya ke Filipina dan membungkus komputer ribanya ke dalam kotak.

Beliau juga perlu membiasakan diri tidur di atas katil yang lebih kecil daripada saiz biasa.

IKLAN

Biliknya hanya bersaiz 2.9 meter persegi, iaitu kira-kira 1.8 meter kali 1.6 meter.

Encik Santos, 48 tahun, merupakan sebahagian daripada sekumpulan kecil penyewa di Singapura yang menyewa bilik-bilik yang sangat kecil: bilik utiliti, bilik stor, ruang perlindungan bom, atau bilik yang asalnya diperuntukkan untuk pembantu rumah.

Di laman senarai hartanah dan Facebook, sesetengah ejen menyifatkannya sebagai "bilik kecil" (pocket rooms).

Semakan Mediacorp mendapati terdapat kira-kira 40 senarai bilik sedemikian di platform PropertyGuru setakat Isnin (17 Ogos).

Tanda-tanda fizikal bilik ini termasuk kotak pemutus litar (circuit breaker), corong udara ruang perlindungan bom, pintu lipat, atau tiada tingkap langsung.

IKLAN

Sesetengah bilik mempunyai ruang untuk rak atau almari kecil; manakala di bilik lain, katil mengambil keseluruhan ruang lantai.

Rak yang dipasang pada dinding mungkin menjadi satu-satunya tempat penyimpanan yang ada.

Senarai di PropertyGuru menunjukkan kadar sewa adalah antara S$500 hingga S$900 sebulan.

Encik Santos, seorang penyelaras pemodelan maklumat bangunan di Lapangan Terbang Changi, membayar S$700 ditambah kira-kira S$30 untuk bil api air bagi sebuah bilik di kondominium privet di Geylang.

Beliau pernah membayar S$600 untuk bilik yang lebih besar, tetapi sanggup mengorbankan ruang dan membayar lebih demi satu kemudahan: alat hawa dingin.

IKLAN

PERUBAHAN SEJAK ERA PANDEMIK

Perangkaan mengenai jumlah orang yang menyewa bilik sedemikian tidak tersedia, namun amalan ini dilihat semakin berkembang sejak pandemik COVID-19.

Apabila sekatan sempadan ditarik balik, warga asing kembali ke Singapura dan golongan muda tempatan mula mencari ruang sewa sendiri, kata Encik Nicholas Mak, ketua pegawai penyelidik di platform hartanah Mogul.sg.

Bekalan rumah menjadi terhad berikutan kerja binaan yang terhenti semasa pandemik.

Kadar sewa mula melonjak, melambung 29.7 peratus pada tahun 2022 dan melonjak lagi 8.7 peratus pada 2023, sekali gus mendorong sesetengah pemilik rumah membahagikan ruang rumah mereka menjadi bilik-bilik yang lebih kecil untuk disewakan.

IKLAN

Encik Mak mengimbas kembali seorang penyewa muda dari Jerman yang menyewa bilik yang sangat kecil pada 2023 dan tidak dapat menutup pintu pada waktu malam kerana saiz badannya yang tinggi menyebabkan kakinya terjulur keluar dari katil dan pintu bilik apabila beliau berbaring.

APABILA RUANG TAMU JADI BILIK TIDUR

Amalan menyewakan bilik yang sangat kecil ini lebih biasa berlaku di kondominium privet berbanding flat Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB), kata Encik Mak.

Bagi flat HDB, hanya bilik tidur asal yang dibina oleh pihak berkuasa sahaja yang dibenarkan untuk disewakan; tiada bahagian lain dalam unit tersebut boleh digunakan sebagai bilik tidur untuk penyewa, menurut laman HDB.

Hartanah privet tidak dikenakan sekatan sedemikian. Sebaliknya, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengehadkan kapasiti kepada enam orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan bagi unit berukuran kurang daripada 90 meter persegi, manakala unit yang lebih besar boleh memohon untuk meningkatkan had tersebut kepada lapan orang di bawah kelonggaran sementara yang akan berakhir pada 2028.

Di kondominium privet, Encik Mak berkata urusan seperti pembahagian bilik kebanyakannya diserahkan kepada pihak pengurusan kondominium untuk dipantau.

Sesetengah pemilik hartanah privet membahagikan apartmen mereka kepada beberapa ruang untuk disewakan.

Encik Mak menggambarkan sebuah unit di mana ruang tamunya telah dibahagikan menjadi dua bilik tidur dan ruang makan diubah menjadi bilik ketiga.

"Ia boleh menjadi bahaya berlaku kebakaran," katanya.

Mengikut anggarannya, seorang pemilik rumah boleh menjana S$5,000 hingga S$6,000 sebulan dengan menyewakan unit secara sedemikian, berbanding kira-kira S$3,000 jika disewakan secara keseluruhan – dengan kadar setiap kaki persegi bagi bilik terkecil adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding bilik lebih besar atau unit penuh.

"Dari sudut pandangan pemilik rumah, ia sangat menguntungkan," katanya.

Di bawah peraturan URA, pembahagian dalaman unit kediaman tidak memerlukan kebenaran merancang, selagi unit tersebut kekal berfungsi sebagai sebuah kediaman tunggal yang serba lengkap dengan ruang guna sama dan kemudahan asas yang kekal utuh.

Kerja-kerja pembinaan yang mewujudkan sub-unit baharu di dalam kediaman asal tidak terkecuali daripada keperluan tersebut.

TUTUP SEBELAH MATA

Seorang pemilik rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lay berkata beliau memiliki tiga unit flat, semuanya diuruskan oleh pengendali bilik sewa, walaupun mereka masih mendapatkan kelulusannya bagi profil penyewa.

Salah satu pengendali pernah cuba membahagikan flatnya tetapi terhenti selepas jiran membuat aduan, lalu memilih untuk memasang katil dua tingkat bagi menampung lebih ramai penyewa.

Cik Lay percaya sebuah lagi pengendali pernah menyewakan ruang perlindungan bom selepas beliau menemui pendingin air mudah alih di dalamnya.

"Kebanyakannya saya tutup sebelah mata selagi mereka tidak melanggar undang-undang," katanya mengenai pendekatannya dalam menguruskan unit-unit tersebut.

Pengendali Bespoke Habitat, yang menguruskan lebih 600 unit di Singapura, berkata bilik-bilik kecil merupakan bahagian yang "agak khusus" dalam inventori mereka.

Kebanyakan biliknya adalah bilik tidur konvensional pelbagai saiz, kata pengasasnya, Ernee Ong.

Bilik yang lebih kecil cenderung menarik minat pelajar, karyawan muda dan penyewa antarabangsa yang mengutamakan harga berpatutan dan lokasi strategik, tambahnya.

Sama ada bilik utiliti boleh disewakan atau tidak bergantung kepada beberapa faktor, kata Encik Ong.

"Ia bergantung kepada pemilik rumah dan hartanah itu sendiri. Bespoke menimbangkan faktor-faktor seperti tata rajah hartanah, permintaan penyewa dan kesesuaian sebelum memutuskan sama ada bilik tertentu boleh ditawarkan secara berasingan."

PropertyGuru, platform senarai hartanah terbesar di Singapura, menyatakan bahawa senarai untuk bilik bersaiz 100 kaki persegi atau lebih kecil meningkat lebih separuh dalam tempoh lima tahun lalu, manakala kadar bilik yang berharga melebihi S$1,000 meningkat hampir dua kali ganda kepada kira-kira 70 peratus.

Setakat pertengahan Ogos, platform tersebut menampilkan kira-kira 9,000 senarai bilik sewa merangkumi perumahan awam, apartmen privet dan kediaman berhalaman.

"Ini menunjukkan bahawa apabila kadar sewa meningkat di seluruh pasaran, kemampuan kewangan menjadi pertimbangan yang lebih besar buat penyewa," kata pengarah urusan Yao Lu.

"Daripada berpindah lebih jauh ke pinggir bandar, sesetengah penyewa memilih ruang yang lebih kecil untuk kekal berada di lokasi yang mempunyai kemudahan yang baik."

PASTIKAN PERBELANJAAN KEKAL RENDAH

Pertimbangan itulah yang menjadi perkiraan utama bagi seorang penyewa yang hanya mahu dikenali sebagai Cik S.

Beliau berhasil menemui sebuah bilik di kondominium berhampiran Stesen MRT Great World dengan harga S$600 sebulan termasuk bil api air, berbanding S$4,000 yang pernah dibayarnya untuk keseluruhan unit sebelum ini.

Beliau berpindah apabila tempoh sewanya tamat dan perniagaan kesihatannya kehilangan pelanggan, sekali gus membuatkannya bimbang tentang aliran tunai.

Mengurangkan perbelanjaan, fikirnya, akan memberikannya masa untuk menyelesaikan masalah perniagaannya.

Biliknya berukuran kira-kira 1.8 meter darab 1 meter, dan katilnya sepanjang 1.6 meter.

Semasa Mediacorp berkunjung tidak lama selepas beliau berpindah, sebahagian barangannya disimpan di atas katil itu sendiri, menyebabkannya hanya mempunyai separuh ruang katil untuk tidur.

Beliau sejak itu mendermakan set kayu golfnya dan merancang untuk melepaskan barangan lain, termasuk gelas wain dan peti besi peribadi.

"Tinggal di ruang yang terhad mendorong saya untuk memilih secara berhati-hati apa yang benar-benar penting dan lebih peka tentang barangan serta rutin harian saya," katanya.

Beliau terkejut dengan sesetengah peraturan pemilik rumahnya, seperti hanya dibenarkan menghidupkan pendingin air semasa beliau berada di dalam bilik.

"Sekalipun demikian, saya memilih untuk berpindah ke bilik ini kerana saya mahu mengurangkan perbelanjaan dan menyediakan tempoh persediaan untuk fasa kehidupan saya yang seterusnya," katanya.

"Saya melihat bilik ini sebagai fasa sementara dan langkah yang perlu dalam perjalanan ini, bukannya satu kesulitan."

RISIKO KEBAKARAN, ISU KEBERSIHAN

Encik Mak membangkitkan isu keselamatan kebakaran dan kebersihan sebagai masalah berulang di unit-unit yang dibahagikan kepada ramai penyewa - ruang guna sama, katanya, sering menjadi "kawasan tanpa pemunya" di mana sampah sarap bertimbun.

Penyewa bilik sedemikian cenderung mempunyai pendapatan yang lebih rendah, atau pelajar dengan bajet terhad - dan tidak ramai dalam kedudukan untuk membantah pemilik rumah apabila usaha mencari bilik lain adalah sama sukarnya.

"Begitulah caranya pemilik rumah mampu terlepas daripada tindakan, terutamanya jika tempat tersebut terletak berdekatan dengan kemudahan awam dan pengangkutan," katanya lagi.

 
Back
Top
Log in Register