BTC USD 75,848.5 Gold USD 4,349.87
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Tragedi Pantai Tanjung Lompat: Cuba Selamatkan Rakan Lemas, Rakan Turut Hilang

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,139
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,139
Reaction score
346
Points
141

Tragedi Pantai Tanjung Lompat: Cuba Selamatkan Rakan Lemas, Rakan Turut Hilang​

e0a0ef715dc748360cb1fc5ed6ca814c6a97ec8dd1cff

Sekumpulan remaja lelaki menunggu perkembangan operasi mencari dan menyelamat empat rakan mereka yang berusia 16 tahun dan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar.

--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, antara remaja yang hilang di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini pagi tadi, dilihat terkapai-kapai sebelum beberapa rakannya cuba menyelamatkannya.

Saksi yang juga rakan mangsa berusia 16 tahun dan enggan dikenali berkata kejadian berlaku dengan pantas, ketika mereka mandi-manda di pesisir pantai sebelum Muhammad Thaqif bergerak ke kawasan yang agak jauh dan lebih dalam.

“Pagi tadi kami pergi berendam sekejap, kemudian Thaqif pergi mandi di kawasan yang agak jauh. Apabila kami panggil, dia seperti tidak dengar. Kami biarkan sahaja, tetapi apabila kami pandang semula, dia sudah terkapai-kapai.

“Kami terus minta tolong. Lebih kurang lima orang pergi membantu, tetapi semakin ramai pula yang turut hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata mangsa sebahagian daripada kumpulan 16 orang yang datang berkhemah di kawasan berkenaan sejak semalam dan aktiviti itu kali pertama mereka berkumpul dalam jumlah yang ramai.

Sementara itu, bapa Muhammad Thaqif, Rumainoor Salleh, 47, berkata dia reda dengan sebarang kemungkinan, namun masih berharap anak bongsunya ditemukan.

“Harapan memang tinggi untuk dia ditemukan selamat, tapi kita terimalah, reda dan ikhlas. Kalau memang dah tak ada, dapat jumpa jasad pun dah alhamdulillah,” katanya.

Rumainoor berkata dia menerima berita mengenai kejadian itu pada 8.10 pagi, selepas mendapati anaknya tiada di rumah dan panggilan telefon juga tidak dijawab.

Bagaimanapun, Rumainoor tidak mengetahui Muhammad Thaqif keluar bersama-sama rakan pada malam sebelumnya, kerana bekerja dan pulang lewat malam.

 
Back
Top
Log in Register