Mana mungkin gelap menjadi terang
Kalu tak jumpa cahaya nya
Lailatul Qadr sering diraikan sebagai malam yang penuh keberkatan, namun ayat pertama Surah al-Qadr menggariskan hakikat sebenar di sebalik kemuliaan malam tersebut:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam al-Qadr." (97:1)
Penekanan utama ayat ini bukan pada malamnya, tetapi pada sesuatu yang jauh lebih besar ia itu Al-Quran.
Turunnya wahyu inilah yang menjadikan malam itu istimewa, bukan sebaliknya. Tanpa al-Quran, Lailatul Qadr hanyalah satu malam seperti malam-malam lain, tanpa keistimewaan atau keberkatan luar biasa.
Bayangkan sebuah majlis yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang untuk menyambut kedatangan seorang pembesar. Karpet merah dibentang, bunga disusun indah, kompang dipalu bertalu-talu, dan ribuan orang bersorak kegembiraan. Namun, dalam kesibukan merayakan kehadirannya, mereka tidak menyedari bahawa pembesar itu sudah lama berdiri di tengah-tengah mereka, menyaksikan segalanya, tetapi tidak dihiraukan.
Ada bagaikan tiada.
Beginilah ironi yang sering berlaku ketika umat Islam menyambut Lailatul Qadr.
Malam itu diraikan dengan penuh kesungguhan, dipenuhi ibadah dan doa yang panjang, tetapi ramai yang lupa bahawa kemuliaannya berpunca daripada satu perkara: al-Quran.
Tanpa al-Quran, malam itu hanyalah satu malam biasa.
Jika Lailatul Qadr dihargai tetapi al-Quran diabaikan, tidakkah kita seperti mereka yang sibuk merayakan kehadiran pembesar tetapi tidak mendengar amanatnya?
Maka, penghormatan sebenar terhadap Lailatul Qadr bukan sekadar mencarinya dalam satu malam, tetapi dengan menghargai warisan terbesarnya ia itu al-Quran dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, penghormatan terhadap Lailatul Qadr tidak boleh terhenti pada sekadar mencarinya disetiap Ramadan, tetapi mesti berpaksi pada al-Quran itu sendiri.
Menghidupkan malam itu bukan sekadar dengan ibadah yang bersifat ritualistik, tetapi dengan merenungi, memahami, dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
Jika seseorang memuliakan malamnya tetapi mengabaikan pengajaran dalam kitab sucinya, maka hakikat sebenar Lailatul Qadr masih belum benar-benar dihayati.
#malamalqadr
credit kpd Penulis asal.