BTC USD 75,470.9 Gold USD 4,282.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Panduan menjaga adab pergaulan lelaki & perempuan semasa aktiviti hiking

dloanman

CG Top Poster Club
gem
Messages
46,537
Top Poster #10
Joined
Apr 15, 2012
Messages
46,537
Reaction score
4,820
Points
266
751798813_3703535963137491_996867101340755464_n.jpg


BEHAVE MASA HIKING YE!

Baru ni lintas satu video di medsos min, segelintir geng hiker 'berparty' dalam hutan.
Allahu.. betul ke yang min nampak ni?
Kalau betul wujud 'dark side' ni, min nak titipkan beberapa pesanan buat mereka..

Hiking ni selain rekreasi, ia adalah ruang untuk mentadabbur kebesaran Allah dan mendidik hati agar lebih bersyukur. Jangan sampai kita berjaya menawan gunung, tetapi kalah kepada nafsu.
Kerana Allah tidak melihat berapa banyak puncak yang kita daki, Allah melihat bagaimana kita menjaga syariat sepanjang perjalanan. So, min nak pesan kepada para hiker, jagalah adab-adab ni :

1. JAGALAH PERGAULAN WALAUPUN TIADA SIAPA MELIHAT

Kadang-kadang kita rasa hutan ni sunyi. Tak ada orang tengok. Kita dan geng -geng kita je..
Tetapi kita terlupa, Allah sentiasa melihat.
Jangan biarkan suasana sunyi membuatkan kita berani melanggar batas yang Allah tetapkan.

Jangan duduk berdua-duaan.
Jangan bergurau sehingga hilang rasa malu.
Jangan terlalu berseronok hingga hilang adab antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Jangan jadikan hiking sebagai alasan untuk mendekati perkara yang Allah tidak reda.

Syariat tidak berubah hanya kerana kita berada di dalam hutan.
Allah tetap Allah.
Yang halal tetap halal.
Yang haram tetap haram.

2. JADILAH ORANG YANG MERINGANKAN BEBAN ORANG LAIN

Min selalu nampak situasi begini.
Bila pendakian baru bermula..
Semua orang laju.
Semua orang kuat.
Semua orang nak bergambar.

Bila dah masuk jam keempat..
Barulah keluar ayat keramat..
"Aku dah tak larat. Lutut aku dah tak kuat.."
Di sinilah akhlak sebenar seorang Muslim diuji.

Adakah kita terus berjalan meninggalkan sahabat?
Atau kita memperlahankan langkah supaya tiada siapa yang tertinggal?
Allah SWT berfirman:
"...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan..."
(Surah Al-Ma'idah, Ayat 2)
Allah tidak menilai siapa paling pantas. Tetapi Allah suka siapa paling banyak membantu.

3. JAGALAH LIDAH KETIKA PENAT

Penat memang akan datang.
Kaki akan lenguh. Bahu akan sakit. Peluh akan membasahi pakaian. Tetapi jangan biarkan penat mengubah akhlak kita.
Ada orang bila penat, semua benda dia marah.

Cuaca salah.
Trail salah.
Organizer salah.
Kawan salah.
Kadang-kadang batu pun kena marah.
1f605.png


Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau dia diam."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Kalau mulut tidak mampu mengucapkan sesuatu yang baik..
Biarlah bibir dibasahi dengan istighfar.

4. ALAM INI AMANAH

Bayangkan..
Pokok itu sudah hidup puluhan tahun.
Gunung itu berdiri sejak sebelum kita dilahirkan.

Sungai itu mengalir memberi kehidupan kepada ribuan makhluk.
Tiba-tiba.. Kita datang beberapa jam, tinggalkan plastik, tisu dan botol.
Adakah itu cara seorang hamba Allah menghargai nikmat?

Allah SWT berfirman:
"Janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah membaikinya..."
(Surah Al-A'raf, Ayat 56)
Bawalah turun bukan sahaja sampah sendiri.
Lagi baik kalau nampak sampah orang lain pun kita mengutipnya..
Mudah-mudahan itulah sampah yang menjadi sebab Allah mengampunkan dosa kita.

5. JANGAN LENGAHKAN SOLAT

Min pernah dengar orang berkata,
"Tak apalah... nanti turun baru solat."
Sedangkan matahari tidak pernah menunggu manusia.
Begitu juga waktu solat.

Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."
(Surah An-Nisa', Ayat 103)

Allah sudah memberi kemudahan kepada musafir.
Gunakan rukhsah itu.
Kerana sehebat mana pun pemandangan di puncak, ia tidak pernah lebih indah daripada seorang hamba yang sujud kepada Tuhannya.
So, jangan guna alasan hiking untuk qadha solat.

6. JAGALAH PANDANGAN SEBAGAIMANA MENJAGA LANGKAH

Kita selalu berhati-hati supaya tidak tergelincir di laluan.
Tetapi pernahkah kita berhati-hati supaya mata tidak tergelincir melihat perkara yang Allah larang?

Allah SWT berfirman:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka..."
(Surah An-Nuur, Ayat 30)
Tergelincirnya mata menjadi permulaan tergelincirnya hati.

7. MULAKAN DENGAN DOA

Sebelum melangkah..
Mohonlah perlindungan Allah.
Kerana kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan.

Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang singgah di suatu tempat lalu membaca:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya : "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya," maka tiada sesuatu pun yang dapat memudaratkannya sehinggalah dia beredar dari tempat itu.
(Hadis Riwayat Muslim)
Mudah-mudahan perjalanan kalian selamat.

8. JANGAN SOMBONG DENGAN KEKUATAN YANG DIPINJAMKAN

Hari ini kita mampu mendaki. Esok mungkin kita hanya mampu melihat gambar lama.
Hari ini kita berlari di atas gunung.nEsok mungkin kita berjalan perlahan dengan tongkat.

Allah SWT berfirman:
"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang."
(Surah Al-Isra', Ayat 37)

Jangan bangga kerana kuat, kerana kekuatan itu hanyalah pinjaman.
Ucapakan Alhamdulillah.. syukur pada-Nya.

9. PELIHARALAH UKHUWAH

Tidak semua orang mempunyai rentak yang sama.
Ada yang laju.
Ada yang perlahan.
Ada yang diam.
Ada yang suka bersembang.
Belajarlah menerima.
Belajarlah bersabar.
Belajarlah meminta maaf.

Allah SWT berfirman:
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu..."
(Surah Al-Hujurat, Ayat 10)
Jangan biarkan perjalanan beberapa jam merosakkan persahabatan yang dibina bertahun-tahun.

10. JAGALAH AURAT KERANA KITA MEMBAWA NAMA ISLAM

Kita memilih kasut terbaik.
Memilih beg terbaik.
Memilih jaket terbaik.
Jangan lupa memilih pakaian yang Allah reda.

Allah SWT berfirman:
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian untuk menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya..."
(Surah Al-A'raf, Ayat 26)
Janganlah pakai pakaian yang ketat hingga menampakkan bentuk tubuh dan aurat. Semoga pendakian kita lebih terjaga adabnya.
.
Akhir sekali..
Hidup ini juga sebuah pendakian.
Yang paling tinggi bukan Gunung Kinabalu, Tahan atau Ledang.. tapi gunung ego.

Yang paling curam ialah nafsu. Senang sungguh nak jatuh.
Yang paling sukar ditawan ialah hati sendiri. Jika ini berjaya kita tawan, insya-Allah kita sedang melangkah menuju syurga-Nya.

Semoga setiap langkah kita di atas bumi Allah menjadi saksi ketaatan kepada-Nya. Selamat mendaki. Dan semoga destinasi terakhir kita bukan sekadar puncak gunung menanti, tetapi syurga Allah yang abadi.

sumber -
 
Back
Top
Log in Register