Bermula malam ini hingga berakhir bulan Ramadan, dipercayai salah satunya adalah Lailatul Qadar.
Bermaksud ‘Malam Kemuliaan’, ia adalah malam yang amat istimewa dalam kepercayaan Islam di mana Allah SWT menurunkan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang berkhalwat (menyendiri) di Gua Hira’.
Peristiwa itu diriwayatkan dalam kitab Al-Quran menerusi ayat pertama surah Al-Qadr: “Sesungguhnya telah Kami turunkan (Al-Quran) pada Malam Kemuliaan.” Ayat 2 hingga 5 surah itu kemudian menjelaskan tentang Lailatul Qadar.
Malam berlakunya kemuliaan itu difirmankan sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, di mana para malaikat turun membawa rahmat Allah SWT kepada sesuatu dan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.
Walaupun tidak siapa pun tahu bilakah tarikh tepat terjadinya Lailatul Qadar, terdapat hadis sahih dan ulama sepakat menyatakan bahawa ia berlaku pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan setiap tahun.
Pelbagai teori hadir untuk panduan umat Islam mencarinya dengan lebih mudah, antaranya pada malam bertarikh ganjil dan ada juga hujah mengatakan ia berkemungkinan besar berlaku pada malam 27 Ramadan.
Tradisinya, umat Islam yang mencari akan bangun di sepertiga malam, bertafakur dan beribadah dengan harapan dapat bertemu dengan pengalaman rohani yang dikatakan tiada tolok bandingnya.
Sumber: Time, Muslim Aid, Unsplash/Timotheé Duran
#PeristiwaHariIni