kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,697
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,697
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Tindakan Terhadap Salah Laku Jangan Dijadikan Isu Kaum, Agama - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan terhadap salah laku dan kelemahan pengurusan dalam mana-mana institusi tidak seharusnya dijadikan isu kaum atau agama.
Beliau berkata tindakan berkenaan diambil berdasarkan keperluan untuk membetulkan kepincangan dalam pengurusan sesebuah organisasi, tanpa mengira latar belakang atau identiti institusi berkenaan.
Anwar berkata pendekatan itu turut terpakai terhadap tindakan yang diambil bagi menangani salah laku dan kelemahan pengurusan dalam Lembaga Tabung Haji (TH), yang menurutnya tidak seharusnya dikaitkan dengan imej Islam yang dibawa institusi berkenaan.
“Ada seorang pemimpin parti Islam, dia kata asyik nak kenakan tindakan … tindakan kepada badan-badan (agensi) Melayu dan Islam. (Kerajaan) ambil tindakan kerana (institusi) itu di bawah kerajaan.
"Kalau kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan dan jangan jadikannya sebagai permasalahan kaum atau agama. Kita tidak bertanya sama ada itu syarikat Melayu atau syarikat kerajaan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus FELDA 2026 di sini, hari ini.
Anwar berkata orang Melayu dan Islam sepatutnya lebih tegas dalam memastikan institusi yang membawa imej Islam diurus dengan baik kerana institusi berkenaan perlu menjadi contoh dari segi pengurusan, akhlak dan nilai.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata beliau memberikan komitmen untuk memastikan penyiasatan berhubung isu tatakelola dan hal ehwal Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dilaksanakan secara telus dan segera, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu disampaikan kepada pihaknya ketika menghadap Seri Paduka Baginda yang turut menitahkan supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati telah menyebabkan kerosakan kepada FELDA.