combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Tiga Lelaki Rohingya Ditahan Guna Kad UNHCR Palsu
Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan menahan tiga lelaki etnik Rohingya selepas disyaki menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam Op Mega Bersepadu di sekitar bandar Kota Bharu hari ini.
Pengarah JIM Kelantan Garry Belayong John Siki berkata tiga kad UNHCR palsu itu dirampas selepas pemeriksaan mendapati terdapat percanggahan pada data biometrik yang terkandung dalam kad dengan rupa fizikal pemegangnya.
Beliau berkata hasil imbasan kod respons pantas (QR) pada kad berkenaan mendapati maklumat dipaparkan tidak sepadan dengan individu yang membawanya termasuk gambar dan butiran peribadi.
"Mereka mendakwa kad itu diperoleh daripada rakan dan digunakan untuk mendapatkan pekerjaan, bagaimanapun kami akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber kad disyaki palsu itu.
"Jika kad berkenaan disahkan palsu, kes akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di sini hari ini.
Operasi bermula 9 pagi itu melibatkan pemeriksaan di 11 lokasi tumpuan warga asing dan turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Garry berkata sepanjang operasi berkenaan dijalankan, sebanyak 362 warga asing terdiri daripada Myanmar, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Thailand diperiksa.
Daripada jumlah itu, 20 lelaki berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata kebanyakan warga Rohingya yang diperiksa memiliki kad UNHCR, manakala warga asing lain pula mempunyai permit kerja yang sah untuk bekerja di negeri ini.