combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Tiada Perjanjian, Tidak Tahu Sebab Digugurkan Daripada Saman USD5.64 Bilion - Bekas CEO 1MDB
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak mengetahui mengapa syarikat itu menggugurkan namanya sebagai defendan dalam saman sivil sebanyak USD5.64 bllion.
Ketika memberikan keterangan sebagai saksi plaintif keempat pada prosiding hari ini, Shahrol Azral, 56, berkata beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan kerajaan untuk digugurkan daripada saman berkenaan dan tidak pernah diberikan sebarang penjelasan di sebalik keputusan itu.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam G.K. Ganesan, yang mewakili bekas pengarah pelaburan 1MDB Kelvin Tan Kay Jin, iaitu defendan ketujuh dalam saman itu.
Ganesan: Adakah kamu pada asalnya turut dinamakan sebagai defendan dalam saman ini? Shahrol Azral: Benar.
Ketika ditanya Ganesan sama ada namanya kemudian digugurkan sebagai defendan dalam saman itu, Shahrol Azral mengakuinya namun memaklumkan beliau tidak mengetahui sebab namanya digugurkan.
Ketika ditanya Ganesan sama ada beliau telah menandatangani sebarang penghakiman persetujuan dengan 1MDB susulan digugurkan sebagai defendan, Shahrol Azral mengesahkan beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian sedemikian dengan syarikat itu.
Shahrol Azral turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah, yang mewakili defendan kelima iaitu bekas pengarah pelaburan dan ketua pegawai pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bahawa beliau cuba mengaitkan semua pihak lain sambil melepaskan dirinya daripada tanggungjawab dalam skandal berbilion ringgit yang membabitkan dana kekayaan negara itu.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili defendan pertama Datuk Seri Najib Tun Razak, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan tempoh empat hari untuk menjalankan pemeriksaan balas terhadap Shahrol Azral.
Peguam yang mewakili defendan lain pula memaklumkan masing-masing memerlukan sekurang-kurangnya dua jam untuk menjalankan pemeriksaan balas itu.