kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Tangguh Ibadah Haji Demi Anak-anak, Ibu 88 Tahun Akhirnya Sahut Seruan Ke Baitullah
Moraton Hassan, 88, dari Bukit Naning, Johor, akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji selepas puluhan tahun mendahulukan keperluan lima anak lelakinya.
Selepas puluhan tahun mendahulukan keperluan lima anak lelakinya, Moraton Hassan akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji pada usia 88 tahun.
Warga emas dari Bukit Naning, Johor itu berkata impiannya untuk menjadi tetamu Allah terpaksa ditangguhkan selepas kematian suami kira-kira 25 tahun lepas demi membesarkan cahaya mata yang masih bersekolah.
“Orang kata saya tidak layak pergi haji sebab dah tua... tapi Tuhan yang menentukan,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Moraton yang juga antara jemaah tertua Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M berkata beliau sebenarnya telah lama menyimpan wang di Lembaga Tabung Haji (TH) hasil kerja menoreh getah, namun keutamaan ketika itu adalah memastikan anak-anaknya dapat membesar dan meneruskan persekolahan dengan sempurna.
“Saya fikir anak-anak dulu. Mereka masih sekolah dan ada tanggungan,” katanya.
Beliau berkata selepas pemergian suami, segala urusan keluarga dipikul sendirian dan impian menunaikan haji terpaksa ditangguhkan walaupun simpanan untuk ke Tanah Suci telah mula dikumpulkan sejak sekian lama.
Dalam tempoh menanti panggilan itu, Moraton berkata beliau turut berdepan pelbagai tanggapan sinis daripada orang sekeliling yang meragui kemampuannya untuk mengerjakan haji pada usia lanjut.
“Ada yang kata saya dah tua, takut kena rempuh, tak larat dan tak boleh pergi dah tapi saya percaya kalau Allah jemput, kita akan sampai juga,” katanya.