lempeng
Fun Poster
- Messages
- 895
- Joined
- Dec 16, 2005
- Messages
- 895
- Reaction score
- 145
- Points
- 23
Observation Post Rock: Tanah Kubur Empayar (Afghanistan)
Kisah benar tentera US Marines di Afghanistan, 2009
Afghanistan dipanggil "Tanah Kubur Empayar" bukan tanpa sebab.
Alexander Agung pernah berperang di sini. British Empire kehilangan beribu tenteranya di sini. Kesatuan Soviet dulu hancur di sini. Dan sekarang, giliran Amerika pulak.
Di satu sudut terpencil di tenggara Pangkalan Rondaan Hassan Abad, wilayah Helmand, ada satu pos peninjau yang menyimpan lebih dari sekadar sejarah perang. Namanya: Observation Post Rock - atau ringkasnya, OP Rock.
Bila skuad US Marines tiba di OP Rock untuk menggantikan pasukan British, mereka sudah rasa ada sesuatu yang tak kena. Askar-askar British yang mereka gantikan kelihatan... tertekan. Muka pucat. Mata cekung. Macam orang yang tak tidur berminggu-minggu.
Takde taklimat formal. Takde penyerahan tugas yang betul. Satu-satunya pesanan yang ketua pasukan British berikan:
"Kalau korang gali apa-apa dari tanah ni... letak balik."
Suara dia serius. Macam memberi amaran tentang ranjau darat, bukan tentang barang-barang lama.
Kemudian mereka semua berambus secepat mungkin.
Koperal Jacob Lima, 22 tahun, adalah timbalan ketua skuad. Tugas pertama mereka - menggali parit pertahanan yang lebih dalam. Baru beberapa kaki, cangkul Lima terkena sesuatu yang keras. Dia pun korek keluar benda tu. Keluar sebatang besi berkarat dengan tulisan Rusia di atasnya – rupanya ia peralatan tentera Soviet dari tahun 80-an.
"Tak heran pun ni," fikir Lima. "Soviet memang pernah berperang kat sini dulu."
Tapi bila dia terus menggali... keluar pulak benda lain.
Tulang.
Bukan satu. Bukan dua… tapi beratus-ratus tulang manusia. Tengkorak. Tulang rusuk. Tulang paha. Ada yang masih lengkap dengan serpihan pakaian Soviet yang sudah reput. Yang paling mengerikan - ada satu kerangka yang masih memakai cermin mata. Lengkap. Macam orang yang tertidur dan tak pernah bangun.
Arahan dari pihak atasan - tutup semula kubur-kubur tu. Jangan diusik lagi dah.
Tapi dah terlambat. Sesuatu sudah terjaga.
Malam-malam di OP Rock, suhu boleh mencecah 38°C. Panas yang mencekik. Takde angin. Takde bunyi selain serangga padang pasir. Askar-askar mula melaporkan benda-benda pelik.
Zolik, salah seorang Marines, sedang berkawal malam bila tiba-tiba udara di sekelilingnya jadi sejuk. Dalam sekelip mata, dari panas terik kepada sejuk menggigit.
Kemudian dia rasa macam ada sesuatu yang bernafas tepat di telinga dia. Dan suara berbisik... dalam bahasa Rusia. Zolik terus terkaku. Jantung dia berdegup kencang. Dia cuba yakinkan diri sendiri, "Aku penat. Aku khayal."
Kemudian dia dengar bunyi langkah kaki dari atas pos tinjau. Dia ingat tu mungkin Smith, rakan sepasukannya, cuba buat lawak. Dia panjat ke atas untuk kantoikan si Smith tu. Tapi… takde sesiapa pun. Pos tu kosong.
Zolik ambil peralatan thermal imaging - kamera yang boleh nampak haba badan. Dia imbas kawasan sekeliling. Dan dia nampak... satu sosok tubuh sedang berdiri di dalam gelap. Macam seorang askar, dengan tangannya tergenggam kuat macam nak tumbuk Zolik.
Zolik sediakan senjata. Tapi dia tak boleh tembak sebab tak pasti sama ada itu musuh atau kawan. Dia pun beralih pandang seketika. Bila dia pandang balik melalui skop thermal... penampakan tu dah hilang. Takde sebarang jejak kaki dan takde pergerakan langsung. Macam tak berlaku apa-apa pun tadi.
Esoknya, Zolik minta ditukarkan ke tempat lain. Tak nak dah lagi duduk kat OP Rock.
Beberapa malam kemudian, Koperal Lima sedang tidur dalam parit bila dia tersedar dengan satu bunyi jeritan yang panjang dan sangat kuat. Ia bukan bunyi jeritan biasa, tapi macam seseorang berada dalam ketakutan yang teramat sangat hingga buat bulu roma meremang bagi sesiapa yang mendengarnya.
Lima dengan pantas sambar senapang dan lari keluar. Fikirannya tak tentu arah – Taliban ke tu? Serangan hendap kot? Ada orang kena tangkap ke? Dia bertembung dengan Wilson, askar lain yang juga terbangun.
"Kau dengar tak tu?" soal Wilson, muka pucat lesi.
"Ya. Kau rasa dari mana?" Lima tanya balik.
Diorang cari sekeliling pos. Semua orang dah bangun, tapi takde siapa yang mengaku menjerit.
Jeritan tu datang dari luar pos. Dari padang pasir yang gelap.
Dari tempat yang takde manusia pun.
OP Rock ada satu "penghuni tetap" - seekor anjing betina hodoh yang askar-askar panggil Ugly Betty. Ketua pasukan British dah pesan - anjing ni penjaga terbaik. Dia boleh kesan musuh dari jauh. Tapi apa yang Betty kesan bukan manusia.
Satu malam, Betty mula menyalak tanpa henti dengan penuh geram dan takut. Bulu dia berdiri tegak. Lima ambil night vision goggles dan imbas kawasan. Dan dia nampak sesuatu di kejauhan.
Ada satu sosok tubuh sedang berdiri dalam gelap. Macam pengintip Taliban. Lima cepat-cepat tukar ke thermal imaging untuk pastikan kehadiran manusia lain. Tapi takde apa-apa. Tiada haba badan. ‘Orang’ tu tak tunjuk sebarang bacaan suhu langsung.
Lima tukar balik ke night vision. Tapi, alangkah terkejutnya dia bila mendapati yang lembaga tu dalam sekelip mata dah berada 100 meter lebih dekat. Mustahil betul. Takde manusia boleh bergerak sepantas tu tanpa bunyi.
Lima dah faham sekarang kenapa Zolik mintak pindah ke tempat lain.
Tempat ni memang berhantu.
Penduduk tempatan enggan mendekati OP Rock. Bila ditanya, mereka hanya kata:
"Tanah tu terkutuk. Dah lama terkutuk."
Mengikut legenda tempatan:
- OP Rock pernah jadi kubu sejak zaman Alexander Agung lebih 2,000 tahun dahulu
- Pada tahun 1980, 40 anggota polis komunis Afghanistan dihukum bunuh di situ oleh Mujahidin
- Askar-askar Soviet yang menawan pos tu kemudiannya diserang balas. dibunuh oleh Mujahidin
- Bila Amerika datang, mereka menjatuhkan bom 900kg yang menanam hidup-hidup pejuang Taliban dalam gua di bawah pos
"Kami boleh bina seluruh pos ni daripada tulang je kalau kami nak," tulis salah seorang askar dalam posting Reddit bertahun kemudian.
Selepas Itu
Pasukan Marines akhirnya meninggalkan OP Rock bila tugas mereka tamat. Tapi mimpi-mimpi ngeri tu ikut mereka balik ke Amerika. Seorang askar menulis dalam Reddit:
"Motto unit aku ialah 'Bukan untuk diri sendiri tapi untuk negara'. Kalau aku tahu apa yang aku akan saksikan kat situ, aku takkan buat untuk diri sendiri... dan aku juga takkan buat untuk negara aku. Tempat tu meninggalkan parut dalam jiwa aku."
Masih berbisik dalam bahasa Rusia pada malam-malam sunyi. Masih menunggu mangsa seterusnya.
Sebab di "Tanah Kubur Empayar", kematian bukan pengakhiran. Ia hanya permulaan.
Askar Soviet di Afghanistan:
Semasa perang Soviet–Afghanistan dari 1979 hingga 1989, banyak kematian direkodkan di kedua-dua belah pihak di Observation Post Rock serta lokasi-lokasi lain pada tahun 1980-an. Ini ialah askar dari Odintsovo, Rusia, yang terkorban semasa perang di Afghanistan.
Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.
-lempeng-