BTC USD 86,608.0 Gold USD 4,361.27
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bunyi Bacaan dari Ruang Bawah Tanah (Kanada)

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23
1772180671345.png




Assalamualaikum dan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua.
Alhamdulillah hari ni dah hari ke-9 kita berpuasa ye.
Moh kita sambung balik kisah2 seram mistik di seluruh dunia - bulan puasa saja ambik feel cerita2 dari Timur Tengah, tapi kita start dulu dgn cerita pertama dari Kanada...






Bunyi Bacaan dari Ruang Bawah Tanah

Kisah benar dari Mississauga, Kanada - dialami oleh keluarga Muslim asal Timur Tengah



Keluarga kami berpindah ke sebuah rumah besar di Mississauga pada tahun 2002. Waktu tu aku baru 9 tahun. Rumah tu jauh lebih besar dari mana-mana tempat yang kami pernah duduk sebelum ni - ada 5 bilik tidur, 3 bilik air, dan satu ruang bawah tanah yang kosong langsung tak berperabot.

Malam pertama kami sampai, aku dah rasa tak sedap hati. Entah kenapa, rumah tu terasa terlalu senyap. Macam ada sesuatu yang menunggu. Aku tidur rapat dengan mak dan adik-beradik malam tu.

Tapi lama-kelamaan, rumah tu jadi penuh dengan kenangan manis. Aku mula berjinak dengan agama bila umur 15 tahun, dan topik pertama yang aku minat ialah jin. Aku beli buku pertama pasal jin - The Exorcist Tradition karangan Bilal Philips - dan habiskan dari muka depan sampai belakang. Ada bahagian yang aku hafal terus.

Aku selalu terfikir, bila la agaknya aku akan alami sendiri?

Rupanya, rumah yang aku duduk tu sendiri menyimpan rahsia.




Mak aku selalu bangun malam untuk solat tahajud. Dia mula cerita yang dia dengar bunyi berdengung berirama dari ruang bawah tanah - macam bunyi bacaan Quran. Suara perempuan. Lembut tapi jelas.

Ayah tak percaya. "Kau ni mengada-ngada je," katanya.

Tapi satu malam Ramadan tahun 2014, lepas sahur, mak paksa ayah duduk sama-sama dengar.
Senyap. Gelap. Cuma cahaya lampu dapur yang masih menyala.

Kemudian... bunyi tu datang.
Bergema. Berirama. Macam seseorang sedang membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan penuh khusyuk dari ruang bawah tanah rumah.
Ayah terdiam. Mulut dia terlopong. Buat pertama kali, dia tak dapat kata apa-apa.




Aku pun nak dengar sendiri.

Satu malam, aku sengaja terjaga. Dalam pukul 3 pagi, aku bangun nak ambil air. Rumah gelap. Senyap. Langkah kaki aku je yang bergema atas lantai kayu.
Kemudian aku dengar.
Suara perempuan. Lembut. Merdu. Sedang membaca sesuatu yang kedengaran macam ayat Quran. Datang dari arah tangga ke ruang bawah tanah.
Aku berdiri kaku. Jantung berdegup kencang. Tapi peliknya, aku tak rasa takut. Aku rasa... tenang. Macam terpukau.

Bacaan tu berterusan. Berirama. Penuh penghayatan.
Aku berdiri kat situ, dalam gelap, mendengar. Entah berapa lama.
Bila aku sedar, suara tu dah hilang. Dan aku masih lagi memegang gelas kosong kat tangan.




Beberapa bulan kemudian, aku pergi keluar dengan kawan-kawan untuk lepaskan tekanan selepas musim peperiksaan. Bila balik, mak tarik aku ke tepi dengan muka pucat.
"Ada benda jadi masa kau takde kat rumah tadi," bisiknya.

Rupanya, mak nampak tiga bayangan hitam berdiri di hujung koridor. Tinggi lampai - lebih kurang 7 kaki setiap satu. Diam je sambil sekadar memerhati.
Mak cakap dalam seumur hidup dia, tak pernah dia rasa takut macam tu.

"Ni semua salah buku-buku jin yang kau baca tu lah Umar!" Mak tuduh aku.
"Kau yang minta sangat nak jumpa, kan? Sekarang mendapat la!"




Aku tak tahu apa sebenarnya yang duduk bersama kami di rumah tu. Jin? Roh? Atau sesuatu yang lain?
Yang aku tahu, setiap kali malam Ramadan datang, bila semua orang dah tidur lepas terawih, bunyi bacaan tu akan kedengaran lagi dari ruang bawah tanah.
Lembut. Merdu. Khusyuk.
Macam ada seseorang - atau sesuatu - yang turut beribadah bersama kami di bulan yang mulia ni.

Cuma... dari tempat yang kami tak boleh nampak.





Nota Penting:

Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.

-lempeng-
 
Back
Top
Log in Register