afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,228
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,228
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Tambahan kerusi Sabah, Sarawak pulih keseimbangan Parlimen, kata Salleh
Salleh Said Keruak berkata usaha mengembalikan keseimbangan perwakilan satu pertiga di Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia, sebaliknya mengukuhkan perkongsian Persekutuan dan menghormati asas pembentukan Malaysia. (Gambar Bernama)
Salleh berkata kedua-dua negeri Borneo itu sepatutnya secara keseluruhan mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen, selaras dengan perlindungan dan semangat yang melatari pembentukan Persekutuan.
Bendahari Umno Sabah itu berkata Sabah, Sarawak dan Singapura secara keseluruhannya memberikan keseimbangan penting di Parlimen ketika Malaysia dibentuk pada 1963.
Tanah Melayu diperuntukkan 105 daripada 160 kerusi Dewan Rakyat, mewakili 65% kuasa undi di Dewan itu, manakala Sarawak mempunyai 24 kerusi, Sabah 16 dan Singapura 15.
Keadaan itu menyebabkan Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, selepas Singapura keluar dari Malaysia, 15 kerusinya tidak diagihkan semula kepada Sabah dan Sarawak, menyebabkan kedua-dua negeri itu kehilangan kuasa veto.
“Ini bukan sekadar soal memberikan beberapa kerusi tambahan kepada Sabah dan Sarawak. Ia adalah usaha memulihkan keseimbangan penting yang berkait dengan pembentukan asal Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Memulihkan keseimbangan satu pertiga kerusi Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia. Sebaliknya, ia bertujuan mengukuhkan perkongsian Persekutuan serta menghormati asas yang menjadi landasan pembentukan Malaysia.”
Sabah (25 kerusi) dan Sarawak (31 kerusi) kini mempunyai sejumlah 56 kerusi Parlimen (25.2%) daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, iaitu kurang 18 kerusi untuk mencapai perwakilan satu pertiga.
Terdahulu hari ini, Anwar berkata Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Anwar berkata penambahan itu perlu bagi memastikan kedua-dua negeri mempunyai perwakilan lebih besar di Parlimen.
Beliau turut berkata kemungkinan penambahan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia tidak boleh diketepikan, namun ia tidak seharusnya menjejaskan keperluan meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak.