afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Setuju tambah kerusi Parlimen mesti disusuli tindakan, kata menteri Sarawak
Ketua Penerangan Abdul Karim Rahman Hamzah kata pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencerminkan semangat di sebalik pembentukan Malaysia pada 1963.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Putrajaya mesti memastikan cadangan itu tidak kekal sekadar hasrat, sebaliknya menghasilkan perubahan sebenar dalam perwakilan di Parlimen.
“Pandangan perdana menteri mesti disusuli dengan tindakan konkrit,” kata Karim, yang juga ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), menurut kenyataan.
“Usaha mesti dilakukan untuk menangani perkara ini dan akhirnya memberikan rakyat Sabah dan Sarawak harapan bahawa ini bukan sekadar pandangan perdana menteri, tetapi sesuatu yang benar-benar akan dilaksanakan.”
Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan secara prinsip bersetuju untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan penambahan wakil Parlimen dari Sabah dan Sarawak, selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata prinsip utama ialah nisbah kerusi Sabah dan Sarawak lebih tinggi, namun Putrajaya masih belum menetapkan jumlah khusus.
Karim berkata pendirian Anwar mencerminkan semangat di sebalik pembentukan Malaysia pada 1963 serta perlindungan yang dipersetujui Sabah, Sarawak dan Singapura, termasuk aturan perwakilan di Parlimen yang memberikan negeri-negeri Borneo dan Singapura kira-kira 1/3 daripada kerusi di Parlimen.
Ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Malaya diperuntukkan 105 daripada 160 kerusi di Dewan Rakyat (mewakili 65% kuasa mengundi di Dewan), manakala Sarawak memegang 24 kerusi, Sabah 16 dan Singapura 15.
Keadaan ini menghalang Tanah Melayu daripada memperoleh majoriti 2/3 yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan. Bagaimanapun, selepas Singapura keluar dari Malaysia, 15 kerusinya tidak diagihkan semula kepada Sabah dan Sarawak, menyebabkan negeri-negeri Borneo kehilangan kuasa veto.
Sabah (25 kerusi) dan Sarawak (31 kerusi) kini mempunyai sejumlah 56 kerusi Parlimen (25.2%) daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, iaitu kurang 18 kerusi daripada mencapai kadar 1/3 (74 kerusi) yang diminta.
Karim berkata pemimpin-pemimpin terdahulu mengetepikan isu itu dengan alasan bahawa aturan berkenaan tidak pernah ditulis secara rasmi atau dinyatakan secara khusus dalam Perlembagaan.
“Terima kasih, Anwar, kerana dapat memahami perkara yang tidak dapat dilihat, atau memilih untuk tidak dilihat, oleh ramai Ahli Parlimen dari Malaysia Barat serta perdana menteri sebelum ini,” katanya.
