BTC USD 76,474.1 Gold USD 4,297.49
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hasil Sabah, petroleum Sarawak dan kerusi Parlimen tumpuan mesyuarat MA63

afwan83

Active+ Member
Messages
3,224
Joined
Aug 4, 2011
Messages
3,224
Reaction score
12
Points
25

Hasil Sabah, petroleum Sarawak dan kerusi Parlimen tumpuan mesyuarat MA63​

178ac660-0d58-41b6-81ec-cf09861d8aa7-Abang-Johari-Openg-and-Sabah-chief-minister-Hajiji-Noor-a...jpg

Abang Johari Openg dan Hajiji Noor dijangka membawa tuntutan supaya kedua-dua negeri memperoleh perwakilan lebih besar di Parlimen apabila bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Mesyuarat yang diadakan beberapa hari menjelang sambutan Hari Malaysia itu turut dihadiri Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang akan membawa tuntutan daripada negeri masing-masing.

Pertemuan itu juga berlangsung ketika Umno yang menerajui Barisan Nasional (BN) membahaskan hala tuju politik partinya termasuk kedudukannya dalam kerajaan perpaduan, pada perhimpunan agungnya minggu ini.

Perwakilan Umno dibenarkan membahaskan perkara itu manakala pemimpin PAS dijemput menghadiri perhimpunan berkenaan, berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak menerima jemputan.

Walaupun Umno belum membuat keputusan meninggalkan kerajaan, langkah parti itu kembali mendekati PAS menjadikan hubungan Anwar dengan Sabah dan Sarawak semakin penting dalam mengekalkan kestabilan kerajaan.

Perwakilan lebih besar di Parlimen

Parti dari Sabah dan Sarawak dijangka terus mendesak supaya negeri di Malaysia Timur itu secara bersama mempunyai satu pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Tuntutan itu bersandarkan susunan ketika pembentukan Malaysia pada 1963, apabila Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama diperuntukkan 55 kerusi, atau kira-kira 34%, daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu.

Pembahagian itu bertujuan menghalang Semenanjung Malaysia daripada menguasai majoriti dua pertiga yang membolehkannya meminda Perlembagaan Persekutuan secara bersendirian.

Bagaimanapun, penganalisis politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata Sabah dan Sarawak tidak pernah diberi jaminan mereka akan terus memiliki satu pertiga kerusi Parlimen selepas Singapura keluar daripada Malaysia.

Menurut, tuntutan ketika ini mencerminkan hasrat negeri-negeri Malaysia Timur beralih daripada sekadar memainkan peranan sebagai ‘kingmaker’ kepada memiliki suatu bentuk ‘jaminan perlembagaan’.

Awang Azman berkata matlamatnya adalah supaya Sabah dan Sarawak mempunyai pengaruh yang lebih kukuh dan bersifat struktur di Putrajaya, bukannya sekadar mengambil kesempatan daripada ketegangan politik di Semenanjung.

Penganalisis politik James Chin pula berkata penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak berkemungkinan mengukuhkan hubungan kerajaan Persekutuan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ada kemungkinan lebih besar mereka akan menyokong Anwar berbanding kerajaan yang banyak dipengaruhi PAS,” kata Chin dari Universiti Tasmania.

Namun, Chin berkata penambahan kerusi itu tidak mungkin dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun kerana ia memerlukan pindaan di Parlimen, selain perlu dipertimbangkan bersama proses kajian semula persempadanan pilihan raya yang lebih menyeluruh.

Tuntutan Sarawak

Pertikaian berkaitan petroleum dijangka menjadi antara isu paling mendapat perhatian pada mesyuarat Jumaat ini.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim dalam hantaran di X berkata perbincangan itu mungkin membawa kemajuan terhadap peranan Petros sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak, yang dianggarkannya bernilai RM10 bilion setahun.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran supaya MA63 tidak dijadikan ‘urusan tukar-menukar antara pemimpin politik’, sambil berpendapat pertikaian berkaitan hak Petronas sepatutnya diputuskan melalui mahkamah.

Senator Ahmad Ibrahim pula menolak dakwaan bahawa rundingan Anwar dengan Sarawak dan Sabah mengenai MA63 sekadar pertukaran politik melibatkan hak minyak dan gas.

“Berunding bukan tanda kelemahan, menghormati Perlembagaan bukan bererti menyerah dan menunaikan hak yang sah bukan pertukaran mendapatkan sokongan politik,” kata Ahmad yang juga ahli Majlis Tertinggi PBB.

Beliau berkata pertikaian melibatkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta undang-undang Persekutuan lain perlu diputuskan melalui mahkamah.

“Jika kita mahu bercakap mengenai undang-undang, biarlah undang-undang yang menentukan,” katanya.

Ahli ekonomi Samirul Ariff Othman turut berpandangan sama dengan menegaskan proses MA63 tidak wajar dikaitkan dengan motif politik atau membuat kesimpulan awal terhadap isu yang masih dalam pertimbangan mahkamah.

Menurutnya, keperluan berunding dengan Sabah dan Sarawak mungkin menjadi lebih penting apabila kedudukan sokongan dalam gabungan kerajaan Persekutuan semakin tidak menentu.

Namun beliau menekankan kompromi politik perlu dipisahkan daripada penyelesaian institusi yang bersifat jangka panjang.

“MA63 perlu dilaksanakan sepenuhnya tetapi ia tidak seharusnya digunakan sebagai mekanisme yang secara beransur-ansur melemahkan kerangka petroleum negara sebelum kedudukan perlembagaan dan undang-undang berkaitan diputuskan secara muktamad,” katanya.

Samirul berkata Sabah dan Sarawak mempunyai hak yang sah untuk memperoleh bahagian hasil lebih besar, tetapi peranan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas mesti ditetapkan dengan jelas.

“Persoalannya ialah fungsi mana yang kekal di peringkat nasional dan fungsi mana yang menjadi tanggungjawab negeri — serta sama ada modal, kawalan, tanggungjawab dan risiko turut berpindah selaras dengan pembahagian itu,” katanya.

Apa Sabah mahukan

Samirul berkata penglibatan Sabah dalam mesyuarat itu bukan sekadar bersifat simbolik.

“Sabah sudah menyatakan haknya terhadap 40% hasil bersih akan menjadi antara agenda utama,” katanya sambil menambah proses teknikal MA63 turut menangani beberapa isu Persekutuan-negeri lain yang masih belum diselesaikan.

Anwar pada Mei mengumumkan geran khas sementara RM1.5 bilion kepada Sabah.

Bagaimanapun, jumlah muktamad yang perlu dibayar berdasarkan hak Sabah terhadap 40% hasil masih belum ditetapkan, dengan Putrajaya dan kerajaan negeri terus berunding mengenai mekanisme pelaksanaannya.
 
Back
Top
Log in Register