kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Subsidi Bersasar Bantu Imbangi Keperluan Awam Dan Pengurusan Fiskal Berhemat - Hassan Marican
-- Gambar hiasan
Dasar subsidi Kerajaan kini semakin menumpu kepada memastikan dana awam sampai kepada mereka yang paling memerlukan, beralih daripada bantuan secara meluas kepada sokongan lebih bersasar yang dapat mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kemampanan fiskal.
Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata cabarannya terletak pada usaha untuk mengimbangi antara bantuan segera kepada isi rumah dengan keperluan memelihara sumber negara bagi masa depan.
PPPK, yang beroperasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), bertanggungjawab menyelaras tindakan dan usaha Kerajaan bagi menangani krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik di Asia Barat.
“Pelaksanaan strategik rangka kerja subsidi yang dirasionalisasikan memainkan peranan penting dalam menstabilkan ekonomi domestik terhadap kejutan luaran yang teruk.
“Sekiranya Kerajaan tidak melaksanakan secara proaktif pembaharuan subsidi bahan api sejak dua tahun lepas, Malaysia akan mendapati dirinya berada dalam kedudukan yang jauh lebih genting pada hari ini,” kata Mohd Hassan dalam satu temu bual bersama BERNAMA baru-baru ini.
Beliau berkata keadaan global yang sentiasa berubah-ubah memerlukan semakan secara berterusan terhadap mekanisme subsidi, kuota dan sistem pengagihan bagi memastikan ia kekal berkesan dan selaras dengan realiti semasa.
“Pergolakan geopolitik di Asia Barat telah mengubah sepenuhnya realiti (kehidupan) kita. Jumlah kos subsidi bahan api kita telah melonjak daripada RM700 juta sebulan pada Januari kepada RM5.0 bilion sebulan, yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam masa yang singkat.
"Jumlah kos subsidi sebesar ini tidak mampan dan memberi tekanan besar terhadap belanjawan negara kita," katanya.