ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Gambar Hiasan
GEORGETOWN - Sepasang suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan kes cubaan membunuh seorang lelaki berhampiran pasar Jalan Patani, Sungai Pinang di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, pasangan berkenaan yang berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam dan 2.45 pagi di Jalan Ranggon di sini.
Menurutnya, ketika ditahan, polis turut menemui satu paket plastik yang mengandungi ketulan lutsinar dipercayai dadah daripada lelaki berkenaan.
"Siasatan mendapati lelaki terbabit yang juga pengusaha sebuah pusat hiburan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dengan kesalahan dadah.
"Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Mior Faridalatrash berkata, polis turut merampas sebuah kereta dan serangkai kunci daripada suspek berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan seorang penarik kereta cedera di bahagian lengan apabila terkena satu das tembakan berhampiran pasar Jalan Patani, Sungai Pinang di sini.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang oleh orang awam selepas mengalami kecederaan.
Difahamkan, kejadian berkenaan berpunca daripada pergaduhan mulut melibatkan dua kumpulan pelanggan dengan seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di pusat bandar beberapa jam sebelum insiden berkenaan berlaku.
Bagaimanapun, suspek dikatakan tersalah sasaran apabila melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Sementara itu, Mior Faridalatrash berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan.