combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Suami Isteri Didakwa Baling Bom Petrol, Bakar Dan Simbah Cat
Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan khianat, termasuk membaling bom petrol sehingga menyebabkan kerosakan harta benda pada awal bulan lepas.
M. Dhinakaran dan B. Rahtheneswary, masing-masing berusia 34 tahun, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mereka yang dikaitkan dengan kegiatan along didakwa membaling sebotol bom petrol sehingga menyebabkan kerosakan pada lima rumah dan sebuah kereta di dua lokasi berasingan di Pekan Razaki dan Taman Kledang Suria, Menglembu antara 4 hingga 5 pagi pada 4 dan 11 Jun lepas.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan niat menyebabkan kerosakan pada pintu masuk sebuah rumah di Jalan Menglembu Bestari kira-kira 3.30 pagi pada 12 Jun lepas.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan pertama dan kedua, serta RM10,000 bagi pertuduhan ketiga, selain memohon syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM11,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes dan pelantikan peguam.