kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Situasi Bekalan Air Di Kawasan MADA Semakin Positif
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memaklumkan situasi bekalan air di kawasan MADA kini menunjukkan perkembangan positif, susulan peningkatan paras takungan di tiga empangan utama hasil pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dan taburan hujan di kawasan tadahan.
MADA dalam kenyataannya berkata pihaknya terus memantau secara rapi keadaan semasa, bagi memastikan aktiviti penanaman padi musim 1/2026 dapat diteruskan secara teratur dan terkawal mengikut keadaan sebenar di lapangan.
Menurut kenyataan itu sehingga hari ini, jumlah keseluruhan takungan air bagi tiga empangan utama di bawah seliaan MADA, merekodkan sebanyak 508,275 ekar kaki bersamaan 41.56 peratus kapasiti keseluruhan.
“Empangan Pedu merekodkan kapasiti sebanyak 373,755 ekar kaki atau 42.71 peratus, Empangan Muda sebanyak 19,150 ekar kaki atau 15.32 peratus manakala Empangan Ahning mencatatkan 115,370 ekar kaki atau 51.74 peratus,” menurut kenyataan itu.
Dalam tempoh sama, bacaan hujan di kawasan tadahan mencatatkan 4.8 milimeter (mm) di Pedu, di Ahning (45.5mm) dan Muda (0.8mm).
Kenyataan MADA itu memaklumkan bahawa operasi pelepasan air dari Empangan Pedu dan Empangan Ahning masih diteruskan secara terkawal pada kadar keseluruhan 600 kaki padu sesaat, bagi memastikan bekalan air domestik kekal stabil dan mencukupi.
Dari segi perkembangan aktiviti tanaman padi musim 1/2026, status sehingga 20 Mei lepas menunjukkan fasa pratepuan mencapai 95.6 peratus, manakala penyediaan tanah berada pada tahap 67.9 peratus.
“Bagi fasa penanaman pula, kemajuan semasa direkodkan sebanyak 2.2 peratus,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan perkembangan semasa, aktiviti penanaman padi dijangka dapat dimulakan selepas cuti Hari Raya Aidiladha, tertakluk kepada kedudukan bekalan air, taburan hujan dan nasihat teknikal semasa.