siri 13. Tragedi Bukit Larangan

Recommended Brokers


mohad

Active+ Member
Joined
Oct 4, 2015
Messages
2,874
Reaction score
37
Points
30
Setelah negeri Temasik dibuka oleh Sang Nila Utama dengan nama yang baru, Singapura, maka baginda pun memerintah negeri tersebut dengan adil lagi bijaksana. Dibina sebuah istana kediaman diraja di atas sebuah bukit dan istana itu digelar Istana Bukit larangan. Di istana inilah terjadinya pelbagai peristiwa.


Tersebutlah kerajaan Majapahit di Pulau Jawa. Jajahan takluknya begitu luas. Seluruh tanah Jawa dan kawasan sekitarnya di bawah pemerintahan Betara Majapahit.
Betara Majapahit mendapat tahu akan Singapura yang telah menjadi sebua negeri yang besar dan makmur namun rajanya tidak menyembah kepada baginda, Betara Majapahit. Betara Majapahit lalu menitahkan utusannya ke Singapura yang akan membawa warkah dan bingkisan baginda. Tiba di Singapura, rombongan utusan itu lalu pergi menghadap Seri Maharaja yang memerintah Singapura pada ketika itu lalu mereka menyerahkan surat dan bingkisan Betara Majapahit itu.


Paduka Seri Maharaja lalu membaca warkah yang diutus betara Majapahit itu.
“Mohon tuanku perkenan melihat akan kepandaian para tukang di Majapahit. Apakah ada, di Singapura ini, tukang yang sedemikian pandainya?”
Lalu dibukalah bingkisan kiriman Betara Majapahit itu. Baginda mendapati bingkisan itu mengandungi segulung tatal yang panjangnya tujuh depa. Tatal itu telah ditarah tipis seperti kertas tanpa putus. Tatal itu bergulung dan berbentuk seperti subang.


Melihat akan tatal tersebut, baginda tersenyum lalu bertitah, “Cis, dipertidaknya laki-laki kita ini oleh Betara Majapahit, maka dikirimnya kita subang!”
Maka utusan dari Majapahit segera mendatangkan sembah seraya berkata, “Ampun, Tuanku. Bukanlah demikian kehendak paduka Kakanda itu. Baginda hanya mahu tahu sama ada di Singapura ini tukang-tukang yang pandai seperti itu.”
Setelah diam buat seketika, baginda lalu bertitah, “ Lebih daripada itu pun ada pada kita di Singapura ini.”
Baginda lalu menitahkan Pawang Bentan datang menghadap. Titah baginda, Paduka Seri Maharaja, “Kepandaian tukang-tukang di Singapura ini bukan sahaja cekap menggunakan beliung malah lebih mahir daripada tukang-tukang di sana!”


Tidak lama kemudian, Pawang Bentan mengatur sembah. Seorang budak yang sedang menangis juga disuruh menghadap baginda.
“Pawang Bentan, cukur kepala budak ini dengan beliung kamu. Tunjukkan kepandaian kamu kepada utusan-utusan Majapahit ini!” titah Paduka Seri Maharaja.
Budak itu menjerit-jerit sambil dia meronta-ronta. Meskipun demikian kelakuan budak itu, Pawang Bentan dengan cekapnya dapat melakukan titah baginda Paduka Seri Maharaja. Dalam masa yang sekejap sahaja kepala budak yang sedang menangis lagi meronta-ronta itu menjadi botak. Tangisan dan jeritan bukda lelaki itu tidak diendahkan oleh Pawang Bentan. Para utusan Majapahit itu jadi terpegun melihatkan kecekapan serta kepandaian Pawang Bentan itu.


“Lihatlah oleh kamu sekalian, betapa pandainya tukang kita ini. Kepala budak dapat dicukurnya dengan mudah, apatah lagi menarah tatal seperti subang itu. Senang saja baginya!” titah Paduka Seri Maharaja.
“Bawalah pulang beliung ini ke Majapahit dan persembahkan kepada saudara kita, Betara Majapahit.”
Tidak lama kemudian, rombongan utusan dari Majapahit pulang. Surat dan kiriman raja Singapura itu dipersembahkan kepada Betara majapahit. Para utusan itu memerikan kepada Betara Majapahit akan kepandaian tukang-tukang di Singapura mencukur kepal budak. Mendengarkan akan sembah utusannya itu, Betara Majapahit naik murka.


“Sungguhlah adinda kita itu mahu mengaibkan kita. Daripada sembah kamu itu, adinda kita memberitahu bahawa jikalau kita datang ke Singapura, kepala kita juga akan dicukurnya seperti dicukurnya kepala budak itu!” titah Betara Majapahit.
“Ini penghinaan buat kita!” titah baginda lagi.
Maka Betara Majapahit pun memerintahkan kelengkapan perang dibuat untuk menyerang Singapura.
Khabar angkatan perang kerajaan Majapahit yang sedang dalam perjalanan hendak menyerang Singapura pecah. Beratus-ratus kapal dan tongkang lengkap untuk berperang telah dihantar oleh Betara Majapahit itu. Paduka Seri Maharaja memberikan titah perintah agar rakyat Singapura segera membuat persiapan untuk menghadapi ancaman Majapahit itu.


Setelah sekian lama belayar, ketumbukan Majapahit itu sampailah di perairan Singapura. Angkatan tentera Majapahit pun bertempur dengan orang-orang Singapura. Ramai askar daripada kedua-dua belah pihak telah gugur sewaktu bertempur. Darah askar-askar yang gugur itu mengalir membasahi tanah. Dan sejak itu, kawasan tersebut kekal merah tanahnya hingga sekarang. Kawasan medan pertempuran itu dikenali dengan panggilan Bukit Merah hingga pada hari ini.
Setelah beberapa hari berperang, Singapura masih tidak berjaya tentera Majapahit tawan. Akhirnya, angkatan tentera Majapahit itu pun pulang semula ke Pulau Jawa. Singapura kini terselamat daripada ancaman dan serangan Majapahit pada kali ini.

***************

Setelah tentera Majapahit gagal untuk menewaskan Singapura, keadaan negeri kembali aman. Paduka Seri Maharaja mula sedar betapa negerinya itu diancam serangan musuh. Baginda mempunyai beberapa orang penasihat yang terdiri daripada pembesar-pembesarnya untuk membantu baginda memerintah Singapura. Baginda selalu menerima nasihat dan buah fikiran pembesar-pembesar tersebut dalam membuat apa-apa sahaja keputusan dalam pemerintahan.


Istana yang terletak di puncak Bukit Larangan itu dikawal rapi siang dan malam. Para pembesar dan orang-orang biasa yang lainnya dilarang keluar dan masuk ke istana. Mereka hendaklah meminta izin baginda terlebih dahulu jika ada apa-apa urusan di istana itu. Sesiapa yang keluar dan masuk istana tanpa keizinan akan dihukum. Paduka Seri Maharaja memerintahkan para pengawal istana menjaga istananya dengan rapi.


Tersebutlah kisah seorang pengembara dari negeri Pasai yang dikenali sebagai Tun Jana Khatib, tiba di Singapura. Tun Jana Khatib memiliki pelbagai ilmu, selain bijak dalam ilmu dan hal-hal keagamaan.
Sewaktu Tun Jana Khatib tiba di hadapan istana, Raja Perempuan, permaisuri negeri itu, sedang berdiri di tepi tingkap istana. Raja Perempuan terpandang akan kehadiran Tun Jana Khatib itu. Tun Jana Khatib juga terpandang akan Raja Perempuan yang sedang berdiri di tepi tingkap. Timbul dalam hati Tun Jana Khatib untuk menunjukkan sedikit kepandaiannya. Dengan tenang, Tun Jana Khatib lalu merenung ke arah sebatang pokok pinang di halaman istana. Tidak lama kemudian, pokok pinang itu terbelah dua lalu tumbang.
Raja Perempuan itu begitu kagum dengan kepandaian Tun Jana Khatib itu. Tun Jana Khatib berlalu pergi sambil tersenyum. Pada ketika itu, seorang pembesar negeri telah memerhatikan gerak-geri Tun Jana Khatib yang menunjukkan kepandaiannya kepada Raja Perempuan iru.


Sebaik-baik sahaja Tun Jana Khatib berlalu pergi, pembesar negeri tersebut masuk ke dalam istana lalu terus menghadap Paduka Seri Maharaja. Pembesar itu pun mengkhabarkan perihal Tun Jana Khatib yang mereka katakan telah menunjuk-nunjukkan kepandaiannya di hadapan Raja Perempuan.
Paduka Seri Maharaja menjadi murka sebaik-baik sahaja baginda mendengar akan sembah para pembesarnya negeri itu.
“Lihatlah kelakuan Tun Jana Khatib yang tidak tahu akan dirinya, dia menunjuk-nunjukkan kepandaiannya di hadapan Raja Perempuan beta!”
Merah padam muka Paduka Seri Maharaja memberikan titah, “Dia tahu Raja Perempuan beta melihat ke arahnya sebab itulah dia hendak menunjuk-nunjukkan kepandaiannya itu!”
Para pembesar yang hadir itu tunduk kerana mereka tidak mahu bertentang wajah dengan Paduka Seri Maharaja yang sedang murka itu.


“Panglima, tangkap dan bunuh Tun Jana Khatib sekarang juga!”
Maka sekalian hulubalang diperintahkan menangkap Tun Jana Khatib. Tun Jana Khatib berada tidak jauh dari perkarangan istana. Tun Jana Khatib tidak melawan apabila para pegawai istana menahannya. Menurut pandangannya, dia tidak melakukan apa-apa yang buruk lagi kesalahan.
Tun Jana Khatib lalu digiring masuk menghadap Paduka Seri Maharaja yang sedang menantikannya di perkarangan istana. Tun Jana Khatib yang tidak menyangka apa-apa yang buruk itu lalu mengangkat sembah.


“Hei, Tun Jana Khatib! Sungguhlah kamu tidak sedar diri. Tahukah kamu, kamu telah menconteng aib di muka beta!” titah Paduka Seri Maharaja.
“Ampun tuanku, patik tidak melakukan apa-apa kesalahan apatah lagi mahu mengaibkan tuanku, ampun tuanku!” rayu Tun Jana Khatib membela dirinya.
“Bukankah tadi, kamu sengaja menunjuk-nunjukkan kepandaian kamu di hadapan Raja Perempuan beta? Kamu memang sungguh biadap!”
“Ampun tuanku, patik tidak bermasud begitu!” rayu Tun Jana Khatib.


“Datuk, bunuh Tun Jana Khatib sekarang juga!” titah Paduka Seri Maharaja. Baginda lalu memandang ke arah para pembesarnya, “Biar hukuman ini menjadi contoh bagi semua yang mahu mengaibkan beta!”
Semua yang ada di situ hanya berdiam diri mendengarkan titah Paduka Seri Maharaja. Sebahagiam mereka mengganggap hukuman dan tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Namun mereka tidak membantah dan tidak mahu bersuara.
Tun Jana Khatib lalu diikat dan diheret ke tempat hukuman berdekatan dengan sebuah pekan. Dengan tangannya yang terikat dan mukanya ditutup dengan kain hitam, Tun Jana Khatib dibunuh oleh petanda yang menjalankan titah suruhan Paduak Seri Maharaja. Jerit sakit Tun Jana Khatib mengharukan semua yang mendengarnya sewaktu ditikam petanda itu. Darah yang mengalir daripada bekas luka di badan Tun Jana Khatib akibat daripada tikaman keris petanda itu mengalir dengan banyaknya tanpa berhenti.

Namun, tanpa disedari ramai, angin bertiup kencang dan dengan tidak semena-mena, tubuh Tun Jana Khatib yang terikat dan ditiam itu hilang ghaib daripada pandangan orang ramai. Orang ramai yang menyaksikan pembunuhan kejam itu tertanya-tanya akan peristiwa Tun Jana Khatib yang dihukum bunuh itu hilang lenyap daripada pandangan mereka.
Seorang penjual kuih bingka yang berkedai tidak jauh dari tempat hukuman Tun Jana Khatib dijalankan mengambil sehelai daun pisang yang menutup kuih jualannya lalu menutup bekas darah Tun Jana Khatib yang masih basah di tanah itu. Dengan serta-merta, kesan darah yang basah di tanah itu bertukar menjadi seketul batu.
Maka menurut cerita orang ramai, sebaik-baik sahaja berlakunya peristiwa pembunuhan kejam Tun Jana Khatib itu, jasadnya yang ghaib telah ditemui terbujur di Pulau Langkawi. Jasad itu telah dikebumikan dengan segera oleh penduduk di situ.


Peristiwa yang pelik itu membuat sebahagian besar penduduk Singapura berduka cita dengan tindakan Paduka Seri Maharaja. Menurut mereka, peristiwa pembunuhan kejam itu dan jasad Tun Jana Khatib yang ghaib itu menandakan sebuah perkara buruk akan berlaku di Singapura. Rakyat semakin berasa sangsi dengan tindakan kejam Paduka Seri Maharaja itu.

***************

Sangkaan orang ramai itu benar-benar berlaku. Tidak lama kemudian, selepas kejadi pembunuhan kejam ke atas Tun Jana Khatib tersebut, berlakulah sebuah peristiwa yang ganjil di Singapura.
Pada suatu hari, beratus-ratus ekor ikan tidak melompat-lompat dari laut lalu menyerang manusia. Dengan jongor-jongor yang panjang lagi tajam itu, ikan-ikan itu menikam sesiapa sahaja. Kejadian pembunuhan orang-orang yang berada di pantai semakin hari semakin menjadi-jadi.


Banyaklah jasad nelayan-nelayan yang turun menjala atau menangkap ikan di laut dijumpai terdampar di tepi-tepi pantai setiap hari. Rakyat semakin gempar mendengar khabar tersebut. Ramai pula yang tidak berani turun ke laut. Mereka juga melarang anak-anak mereka daripada bermain-main di kawasan pantai.
Rakyat menjadi semakin gempar dengan khabar ikan-ikan tidak melompat dari laut. Serangan ikan-ikan todak itu semakin menjadi-jadi. Serangan todak itu bertambah jauh hingga ke daratan. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila ramai pula orang-orang yang berumah di tepi pantai diserang dan terbunuh akibat serangan ikan-ikan todak itu.


Hari demi hari, ada sahaja berita tentang rakyat yang mati dibunuh ikan-ikan todak itu. Hidup rakyat Singapura menjadi semakin susah. Mereka tidak berani keluar rumah. Jumlah mangsa pembunuhan ikan-ikan todak itu pula terus meningkat. Serangan ikan todak sekan-akan tiada henti-hentinya.
Pelabuhan Singapura yang sibuk dengan kegiatan berdagang mulai lengang sejak peristiwa serangan ikan-ikan todak itu. Dikhabarkan juga bahawa para pedagang dari luar negeri sudah tidak berani datang ke Singapura. Mereka takut menjadi mangsa serangan ikan-ikan todak itu.
Berita serangan ikan-ikan todak itu lalu disembahkan kepada Paduka Seri Maharaja oleh pembesar-pembesarnya itu. Baginda lalu menitahkan para pembesarnya pergi mengiringi baginda ke tepi pantai. Baginda mahu menyaksikan sendiri kejadian serangan ikan todak yang didakwa oleh para pembesarnya. Paduka Ser Maharaja menaiki seekor gajah diiringi semua pembesarnya dan para hulubalang ke sana. Dalam perjalanan baginda menuju ke pantai berdekatan, baginda menyaksikan sendiri rakyat baginda bertempiaran melarikan diri menjauhi pantai.

Terdapat ramai yang luka akibat serangan ikan todak itu. Paduka Seri Maharaja menyaksikan ramai rakyatnya yang bergelimpangan di tepi-tepi pantai akibat serangan ikan todak itu. Bagida berasa terharu menyaksikan keadaan rakyatnya yang mati dan bergelimpangan di sepanjang pantai. Baginda sedar Singapura telah ditimpa mala petaka yang amat dahsyat.
Serangan ikan-ikan todak itu terus menjadi-jadi. Baginda turun ke tepi pantai untuk menyaksikan dengan lebih dekat serangan ikan-ikan todak itu. Ketika itu, tanpa disedari seekor ikan todak berjaya melompat lalu melayang-layang ke arah Paduka Seri Maharaja.
Paduka Seri Maharaja terperanjat namun baginda sempat megelakkan dirinya daripada terkena tikaman ikan todak yang melayang-layang itu. Akan tetapi, lengan baju baginda tercarik akibat serangan ikan todak yang seekor itu. Serangan ikan todak itu dan yang menyebabkan lengan bajunya carik, menyedarkan Paduka Seri Maharaja bahawa dirinya dalam keadaan yang bahaya. Baginda lalu bergegas kembali ke tempat gajahnya yang berada jauh dari tepian pantai itu.


Melihat akan hal yang menimpa Paduka Seri Maharaja itu, perdana menteri lalu berdatang sembah, “Ampun Tuanku, menurut patik, lebih baik Tuanku beredar dari sini. Usahlah ditunggu-tunggu lagi, Tuanku!”
“Baiklah! Perintahkan semua rakyat beta berkubukan betis supaya ikan-ikan todak tidak akan menyerang lagi,” perintah baginda.
Maka perdana menteri pun memerintahkan rakyat Singapura keluar dan berdiri di sepanjang pantai. Ikan-ikan todak terus menyerang dan semakin ramai rakyat yang terkorban. Mereka yang tidak dapat melarikan diri mati akibat ditikam ikan-ikan todak itu. Keadaan menjadi huru-hara. Orang-orang yang terkena tikaman menjerit-jerit kesakitan namun mereka tidak berani bersurai sebab takut dimurkai Paduka Seri Maharaja.
Paduka Seri Maharaja kecewa menyaksikan bahawa ikhtiarnya untuk menghentikan serangan ikan-ikan todak itu tidak menjadi. Ramai rakyatnya yang mati berkaparan dan mayat-mayat mereka bergelimpangan di tepi pantai akibat serangan ikan-ikan todak itu.


“Apa akal datuk? Nampaknya, rancangan kita berkubukan betis tidak dapat menghentikan serangan ikan-ikan todak ini!”
“Patik juga tidak tahu, Tuanku!” jawab pembesar tersebut.
Tatkala dalam keadaan bingung itu, datang seorang budak lalu menyembah Paduka Seri Maharaja.
“Ampun tuanku. Mengapakah kita mesti berkubukan betis? Bukankah tindakan sedemikian mengakibatkan ramai rakyat akan mati? Pada hemat patik, alangkah baiknya kalau kita berkubukan batang pisang!”


Sembah budak lelaki itu membuat Paduka Seri Maharaja berfikir sejenak. Kata-kata budak itu baginda dapati ada kebenarannya.
Baginda lalu menitahkan supaya orang-orangnya bersurai dan bersedia membina kubu batang pisang di sepanjang pantai.
“Wahai sekalian rakyat Singapura, Tuanku menitahkan kita bina kubu batang pisang di tepi pantai!”
Itulah arahan yang diberikan oleh beberapa orang pembesar kepada orang ramai di tepi pantai. Maka sekalian rakyat pun pergilah menebang pokok-pokok pisang yang banyak tumbuh di darat dan dipacakkan di sepanjang pantai sebagai kubu. Tidak lama kemudian, ikan-ikan todak menyerang lagi. Ikan-ikan yang menyerang itu itu terlekat pada batang-batang pisang yang dibuat kubu di sepanjang pantai itu dan tidak dapat kembali ke dalam air. Orang-orang Singapura pun datang beramai-ramai menekan dan membunuh ikan-ikan todak yang sudah menyerang mereka sebelum ini. Bangkai-bangkai ikan todak bertimbun-timbun di sepanjang pantai itu. Tidak lama kemudian, serangan ikan-ikan todak itu dapat diatasi.
Paduka Seri Maharaja berasa amat besar hati. Dia memandang kepada budak lelaki itu lalu bertanya, “Siapakah nama kamu, wahai budak?”


“Patik, Hang Nadim, Tuanku!” jawab Hang Nadim.
Paduka Seri Maharaja memuji-muji kepandaian Hang Nadim yang dapat menghentikan serangan ikan-ikan todak itu. Kemudian, baginda menitahkan seorang pembesarnya membawa Hang Nadim menghadap baginda di istana.
“Beta amat terhutang budi atas jasa kamu, Nadim. Kalau tidak kerana kepandaian kamu sudah tentu malapetaka akibat serangan ikan-ikan todak ini masih juga berlaku,” titah baginda.
Tidak berapa lama sesudah peristiwa di pantai, Hang Nadim dibawa menghadap Paduka Seri Maharaja di istana. Dalam upacara yang penuh kebesaran, Paduka Seri Maharaja bertitah, “ Bagi pihak negeri Singapura dan rakyat jelata, beta mengucapkan terima kasih kepada kamu, Hang Nadim. Sebagai menghargai jasa kamu menghentikan serang ikan-ikan todak itu, beta mahu memberi kurnia kepada kamu sekeluarga.”


Selepas menerima kurnia raja itu, Hang Nadim lalu bermohon diri untuk pulang.
Kegembiraan yang Hang Nadim kecapi itu tidak lama. Kepandaiannya itu dicemburui oleh sebilang besar para pembesar negeri. Mereka lalu bersidang. Tujuan mereka bersidang itu adalah untuk membincangkan tentang tindakan yang akan mereka ambil atas Hang Nadim yang dipuji-puji Paduka Seri Maharaja. Mereka juga berasa iri hati atas Hang Nadim yang kini, menurut para pembesar itu, mengancam kedudukan mereka di sisi Paduka Seri Maharaja.
“Sedangkan dia masih kecil lagi sudah begitu pandai menyelesaikan masalah besar. Takut-takut, apabila di besar nanti, dia akan menggantikan tugas-tugas kita pula!” kata salah seorang pembesar negeri.


“Betul kata Datuk itu!” sokong pembesar-pembesar yang lain.
“Hamba ada satu akal. Sebelum apa-apa berlaku, lebih baik kita minta budak Nadim itu dibunuh!”
Semua pembesar yang lain bersetuju dengan pendapat pembesar itu. Mereka sememangnya berasa bimbang akan kepandaian Hang Nadim itu akan membuat mereka hilang kuasa dan tidak disukai baginda lagi.
Maka para pembesar Singapura yang dengki itu pun bersepakat untuk melenyapkan Hang Nadim. Mereka beramai-ramai pergi menghadap Paduka Seri Mahara lalu menyembah dan mengusulkan agar baginda membunuh sahaja Hang Nadim.
“Sedangkan masih kecil, pacal itu sudah begitu cerdik akalnya. Bagaimana pula nanti kalau dia sudah besar. Patik semua bimbang pacal Nadim akan menentang kekuasaan tuanku kelak!”
Paduka Seri Maharaja yang tidak mahu berfikir panjang terus bersetuju dengan pandangan dan apa-apa yang para pembesarnya sembahkan kepada baginda.
“Benar juga akan kata-kata datuk semua. Tapi, apakah yang boleh beta lakukan?”
“Mudah sahaja, tuanku. Kita bunuh sahaja pacal Nadim itu,” salah seorang pembesar itu mengemukan pandangannya. Pembesar-pembesar yang lain bersetuju dengan pandangan pembesar itu.
“Baiklah! Laksanakan segera kerja itu!” titah Paduka Seri Maharaja.


Tidak lama kemudian, Hang Nadim telah diseret dari rumahnya. Tangannya diikat dan dia dibawa pergi ke tempat yang tiada sesiapa yang tahu melainkan pembesar-pembesar yang dengki itu.
“Apakah salah hamba? Apakah dosa hamba? Emak, bapak, tolong Nadim!” tangis anak yang malang itu.
Petanda yang menjalankan hukuman raja itu telah mengikat Hang Nadim dengan seutas rantai besi. Dia dibawa naik perahu besar. Sampai di perairan Pulau Hantu, rantai yang mengikat Hang Nadim itu ditambat ke sebongkah batu besar. Tanpa berasa belas atau menghiraukan tangisan Hang Nadim, petanda dan pembantu-pembantunya, menghumbankan Hang Nadim yang dirantai ke sebongkah batu besar itu masuk ke laut dalam.


“Apakah salah hamba? Apakah dosa hamba? Emak, bapak, tolong Nadim!” tangis anak yang malang itu, berulang-ulang kali.
Sesudah itu, mereka pulang semula ke Singapura.
Menurut cerita para nelayan yang mengail atau menjalan di perairan Pulau Hantu tempat Hang Nadim dihumban ke laut, mereka ada terdengar suara tangisan budak dan bunyi rantai besi hingga hari ini.
Istana di Bukit Larangan itu telah menyaksikan beberapa peristiwa sedih.
***************

Sang Rajuna Tapa Penghulu Bendahari kerajaan Singapura yang diperintah Raja Iskandar Syah. Kekayaan negeri, harta dan wang kerajaan dia yang mengurusnya.
“Ampun, Tuanku. Adakah tuanku tahu bahawa Sang Rajuna Tapa, Penghulu Bendahari ada seorang anak gadis yang cantik jelita?” sembah salah seorang menterinya.
“Beta tidak tahu,” tegas raja. “ Ada apa dengan anak gadisnya itu?”
“Menurut pendapat patik, gadis secantik itu molek Tuanku ambil kerana dia memang sepadan dengan tuanku,” ujar menteri itu.
Raja iskandar Syah termakan dengan kata-kata menterinya itu. Akhirnya, baginda menitahkan Sang Rajuna Tapa supaya membawa anak gadisnya menghadap baginda.


Sewaktu kedua-dua anak-beranak datang menghadap baginda, Raja Iskandar Syah telah jatuh berahi akan kecantikan anak gadis Sang Rajuna Tapa. Tanpa teragak-agak, baginda memerintahkan agar anak gadisnya itu ditinggalkan di dalam istana baginda untuk dijadikan sebagai salah seorang perempuan baginda.
Perintah Raja Iskandar Syah yang mengejut itu membuat Sang Rajuna Tapa tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantah titah baginda itu. Sang Rajuna Tapa terpaksa pulang ke rumah dengan hati yang berat kerana anak gadisnya terpaksa ditinggalkan di istana menurut perintah Raja iskandar. Anak gadinsya pula berasa sedih kerana terpaksa melihat ayahnya pulang tanpa membawanya bersam-sama.


Diceritakan bahawa anak gadis Sang Rajuna Tapa tidak berasa bahagia hidup dalam istana di Bukit Larangan itu. Dia memendam perasaan duka sepanjang waktu.
Pada suatu ketika, Raja Iskandar Syah menjatuhi atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang baginda simpan hukuman bunuh. Anak perempuan Bendahari itu akan disula dengan segera.
Berita itu memeranjatkan Sang Rajuna Tapa dan isterinya. Mereka berdua segera menghadap Raja Iskandar lalu memohon disiasat terlebih dahulu fitnah terhadap anak gadis mereka itu sebelum dijatuhkan hukuman agar anak gadis mereka terselamat daripada hukuman bunuh itu.


“Ampun tuanku, kalaulah benar anak patik itu bersalah, patik rela dengan hukuman itu, tetapi, jika sebaliknya, ….”
Namun, kata-kata itu tidak meredakan kemurkaan Raja Iskandar.
“Sudahlah, jangan cuba hendak membela orang yang salah. Keputusan beta tak boleh diubah-ubah lagi. Hukuman sula akan dijalankan pada pagi besok!”
“Patik merayu, tuanku, kalau anak patik itu hendak dihukum juga, hukumlah patik sebagai gantinya!”
Apabila sampai masanya, hukuman sula itu pun dijalankan. Sang Rajuna Tapa menahan kesabaran. Anak gadis Sang Rajuna Tapa diikat di sebuah kawasan terbuka dengan sebuah pasar. Ramai penduduk kota Singapura keluar dan datang menyaksikan peristiwa hukuman dula itu dijalankan.
Hukuman yang dijatuhkan Raja Iskandar Syah itu amat mendukakan hati Sang Rajuna Tapa. Dia berasa malu kerana anak gadisnya itu disula di hadapan khalayak ramai.
“Anak perempuanku telah difitnah orang, dikatakan perempuan jahat. Dia telah dibunuh oleh Raja. Anak itu anak kesayangan aku sekeluarga. Mengapa tidak disiasat terlebih dahulu? Mengapa dia tidak dibicarakan sebelum dijatuhi hukuman?” tanya Sang Rajuna Tapa kepada dirinya.


“Apa yang hendak dikatakan lagi, anak perempuan kita sudah mati dibunuh Raja akibat fitnah,” tangis isterinya.
“Kanda berasa sungguh malu dengan perbuatan raja terhadap anak perempuan kita itu. Baginda bertindak dengan tidak usul periksa dahulu!” sahut Sang Rajuna Tapa dengan hiba.
“Anak kita dibunuh di khalayak ramai!”
Sang Rajuna Tapa semakin marah. Marahnya meluap-luap. Oleh sebab berasa terlalu sakit hati dengan penghinaan atas hukuman anak gadinya itu, Sang Rajuna Tapa telah membuat keputusan untuk menderhakan kepada Raja Iskandar. Dia akan membalas dendam tindakan Raja yang membunuh anaknya yang tidak berdosa itu.
“Mengapakah anakku itu dibunuh? Mengapakah baginda mempercayai fitnah orang? Sang Rajuna Tapa mengulangi kata-katanya itu dalam hati.


“Tindakan baginda tidak dapat aku maafkan. Pangkat aku tidak bereti lagi. Baginda tidak mengendahkan aku lagi,” betik hati Sang Rajuna Tapa.
Semenjak kematian anaknya yang disula di pasar, Sang Rajuna Tapa telah membuat keputusan. Dia akan belot kepada Raja Iskandar. Pada ketika itu juga, Singapura dimusuhi kerajaan Majapahit. Kerajaan Majapahit sentiasa mencari jalan untuk melanggar Singapura tetapi tidak berjasil kerana tiada sesiapa dalam kalangan orang-orang Singapura yang mahu memberikan kerjasama kepada mereka.
“Sekarang, inilah peluang bagi aku balas dendam atas kematian anakku itu,” hati Sang Rajuna Tapa berdetik kencang. Dia berasa sungguh geram memikirkan keaiban yang telah Raja Iskandar jatuhkan kepada dia sekeluarga.
Sang Rajuna Tapa lalu mengutus surat kepada Betara Majapahit tanpa pengetahuan sesiapa. Dalam suratnya, Penghulu Bendahari Singapura itu berjanji akan membuka pintu kota bagi memudahkan bala tentera Majapahit masuk dan menawan Singapura.
Tawaran Sang Rajuna Tapa itu disambut baik oleh Betara Majapahit. Tidak lama setelah mendapat surat itu, Betara Majapahit pun mengarahkan bala tenteranya yang ramai itu belayar ke Singapura dalam perahu dan jong ke Singapura.
Pada hari yang ditetapkan, angkatan tentera Majapahit pun datang lalu menyerang Singapura. Berita Singapura diserang oleh Majapahit memaranjatkan Raja Iskandar.


“Apa, Majapahit menyerang kita? Perintahkan orang-orang kita menentang tentera Majapahit itu!” titah Raja Iskandar Syah.
Maka keluarlah semua hulubalang lengkap bersenjata menuju ke laut. Petempuran yang hebat pun berlaku. Kedua-dua belah pihak sama-sama handal dan sama-sama kuat. Tidak ada pihak yang mengalah. Namun begitu, ramai hulubalang daripada kedua-dua belah pihak yang gugur.
Setelah berperang beberapa hari lamanya, tentera Majapahit berundur ke kapal mereka dan tentera Singapura bertahan di dalam kota.


Sang Rajuna Tapa telah berjanji dengan ketua hulubalang tentera Majapahit yang dia akan memberi isyarat dari darat apabila pintu kota itu akan dibukanya.
Apabila mendapat khabar mengenai kemunduran sementara tentera Majapahit itu, Raja Iskandar Syah lalu menitahkan Sang Rajuna Tapa supaya datang menghadap baginda.
“Keluarkan beras dari perbendaharaan kita dan agih-agihkan kepada rakyat jelata supaya mereka dapat menggunakannya sewaktu berperang kelak,” titah Raja iskandar Syah.
Sang Rajuna Tapa, sejak mula lagi, telah membuat keputusan untuk berbohong kepada Raja iskandar Syah dengan menyemahkan bahawa semua makanan telah kehabisan sewaktu dia pergi menghadap baginda.
“Ampun, Tuanku. Sebenarnya, bekalan beras kita dan makanan-makanan yang lain semuanya sudah habis,” sembah Sang Rajuna Tapa dengan wajah yang berpura-pura sedih. Disembahkan oleh Sang rajuna Tapa sedemikian kepada Raja Iskandar Syah dengan harapan pertahanan askar-askar Singapura akan menjadi lemah.
Sembah Sang Rajuna Tapa itu membuat Raja Iskandar Syah menjadi cemas. Baginda menitahkan pembesar-pembesar baginda yang lain bersidang dan menrundingkan ikhtair untuk mengatasi masalah yang dihadapi negerinya itu.


Sewaktu askar-askar Singapura yang keletihan dan lapar itu sedang membuat persiapan untuk menghadapi serangan tentera Majapahit, Sang Rajuna Tapa telah membuka pintu kota dan membenarkan tentera Majapahit menyerbu masuk. Pada saat-saat genting sebegitu, oleh sebab tidak ada masa lagi untuk mencari makanan lebih, pertahanan askar-askar Singapura menjadi lemah. Ramailah askar-askar Singapura yang lemah juga berada di dalam kota. Oleh itu, dengan mudah mereka kecundang dalam tangan dan serangan tentera Majapahit.


Raja Iskandar dan pengikut-pengikutnya yang setia telah berjaya melepasakn diri meninggalkan Istana Bukit Larangan dengan senyap-senyap.
Demikianlah terjadinya kejatuhan Singapura dalam tangan tentera Majapahit.


Diriwayatkan bahawa rumah Sang Rajuna Tapa telah runtuh dan kedua-dua Sang Rajuna Tapa dan isterinya telah bertukar menjadi batu.Istana Bukit Larangan dibiarkan sahaja setelah tentera Majapahit meninggalkan Singapura. Perihal kejatuhan kerajaan Singapura selalu menjadi bahan perbualan.
 
Last edited:
Sponsored Post
Sponsored Post
Top
Log in Register