SG kemuka bidaan jadi tuan rumah tribunal antarabangsa bagi pertikaian pelaburan: Edwin Tong
(Gambar fail: iStock)
SINGAPURA: Singapura akan mengemukakan bidaan untuk menjadi tuan rumah kepada sebuah tribunal antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian pelaburan, memandangkan wujud keperluan global terhadap institusi yang "berwibawa dan diyakini" untuk mengendalikan kes-kes sedemikian, umum Menteri Undang-Undang Edwin Tong pada Selasa (25 Ogos).
Tribunal Pelaburan Berbilang Hala yang dicadangkan itu - kini dalam perbincangan oleh negara-negara anggota Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) - akan ditempatkan di sebuah bangunan khas untuk sesi pendengaran jika bidaan Singapura berjaya.
IKLAN
Secara berasingan, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) bakal menubuhkan Pusat Timbang Tara dan Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa bagi menerajui kepimpinan pemikiran serta inovasi dalam bidang ini.
"Kita sering mendengar orang berkata ... sistem aturan dunia kian rapuh, kepercayaan terhadap sistem semakin terhakis, dan negara-negara semakin menjauhi semangat berbilang hala (multilateralism)," kata Encik Tong semasa merasmikan Persidangan Akademi UNCITRAL di Singapura.
"Wujud amalan 'friendshoring' dan 'reshoring' (memindahkan rantai bekalan ke negara rakan atau kembali ke tanah air). Banyak pihak mengabaikan sistem berasaskan undang-undang. Namun saya fikir kita juga perlu bertanyakan soalan kedua: Jika perkara ini berlaku, apakah tindakan yang kita ambil?"
Pada saat institusi antarabangsa berdepan tekanan, usaha Singapura ini akan mengukuhkan nilai di sebalik sistem berbilang jala berasaskan undang-undang bagi menyelesaikan pertikaian antarabangsa, kata Encik Tong.
Menyentuh mengenai tribunal tersebut, beliau berkata keperluan terhadap sistem penyelesaian pertikaian pelaburan yang dipercayai kini berada pada tahap yang sangat kritikal.
IKLAN
Walaupun kes penyelesaian pertikaian antara pelabur dengan negara berasaskan perjanjian meningkat dalam tempoh dekad lalu, kerangka kerja bagi menyelesaikannya diuji oleh keputusan yang tidak konsisten, kebimbangan mengenai campur tangan pengawalseliaan, serta persoalan berhubung kebebasan dan kesaksamaan penimbang tara, katanya.
"Kewibawaan sistem ini semakin diuji tepat pada saat ia paling diperlukan.
"Keadaan ini bertambah mendesak apabila pemerintah pada hari ini semakin aktif campur tangan dan menguatkuasakan peraturan - terutamanya dalam bidang seperti kesihatan awam, keselamatan tenaga, perubahan iklim, dan keselamatan negara."
Persoalannya ialah sama ada wujud institusi yang berwibawa dan diyakini untuk menyelesaikan pertikaian apabila ia timbul, kata beliau.
Singapura menawarkan bidang kuasa yang berkecuali dan stabil berteraskan kedaulatan undang-undang, disokong oleh ekosistem penyelesaian pertikaian yang matang serta hubungan erat dengan ekonomi negara maju mahupun membangun, kata Encik Tong, yang juga merupakan menteri kedua ehwal dalam negeri.
IKLAN
Beliau menambah bahawa Singapura bersedia menyediakan bangunan khas yang dilengkapi kemudahan pendengaran bagi menempatkan tribunal berkenaan, termasuk ruang untuk ahli tribunal, urus setia, dan kemudahan sokongan.
Bidaan ini mencerminkan komitmen Singapura untuk memainkan peranan dalam membina institusi yang berwibawa, mudah diakses, serta sesuai dengan keperluan semasa, sekali gus mengukuhkan sistem antarabangsa berasaskan undang-undang yang menjadi sandaran negara-negara di seluruh dunia, katanya.
Penyelesaian pertikaian antara pelabur dengan negara membolehkan pelabur asing membuat tuntutan secara terus terhadap sesebuah negara jika mereka menganggap berlaku pelanggaran perjanjian, seperti perlakuan yang adil dan saksama serta perlindungan daripada pengambilalihan hak milik secara tidak sah dan diskriminasi.
Terdapat 1,463 kes penyelesaian pertikaian antara pelabur dengan negara berasaskan perjanjian yang diketahui sehingga akhir tahun 2025, menurut lembaran fakta MinLaw.
PERKUKUH SISTEM ANTARABANGSA BERASASKAN UNDANG-UNDANG
IKLAN
Encik Tong berkata institusi kukuh seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) - yang sistem penyelesaian pertikaiannya pernah dianggap sebagai piawaian tertinggi - turut menerima tekanan.
Pelantikan ahli badan rayuan WTO sudah disekat sejak 2017, menyebabkan ia kekurangan hakim untuk mendengar kes rayuan. Lebih daripada 30 kes rayuan masih tertangguh sehingga akhir tahun 2025.
Selain itu, wujud tanda tanya berhubung pematuhan terhadap keputusan tribunal antarabangsa, serta desakan agar institusi antarabangsa dirombak supaya kekal relevan dengan keperluan semasa, kata Encik Tong.
Sebagai sebuah negara kecil yang kemakmurannya bergantung kepada aturan antarabangsa berasaskan undang-undang yang stabil, Singapura mempunyai kepentingan mendalam untuk memastikan sistem global ini terus mendapat keyakinan dan kepercayaan, katanya.
"Pilihan lain ialah senario di mana saiz dan kuasa menentukan kebenaran, dan ini merupakan sesuatu yang langsung tidak boleh diterima oleh negara seperti Singapura. Ini kerana jika diukur dari segi saiz dan kekuatan, kita hampir pasti akan kalah dalam segenap keadaan."
Sebab itulah Singapura sentiasa berusaha memberikan sumbangan aktif kepada sistem berbilang hala yang kukuh, dan percaya ia mampu menjadi rakan yang "membina dan konsisten" kepada dunia, katanya.
Pusat Timbang Tara dan Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa baharu di Fakulti Undang-Undang NUS merupakan satu lagi pendekatan Singapura dalam menyumbang kepada usaha mengekalkan sistem antarabangsa berasaskan undang-undang, yang sudah banyak memberi manfaat kepada negara ini, katanya.
Tujuan pusat itu ditubuhkan adalah untuk membina kepimpinan pemikiran dan menjalankan penyelidikan berpandangan jauh mengenai cara mengekalkan kerangka berasaskan undang-undang, di samping memperbaharui dan mengembangkannya demi menyokong keperluan masa depan, kata menteri itu.
Pusat berkenaan menyediakan platform khas bagi penyelidikan, penggubalan dasar, penerbitan, serta konvensyen antarabangsa mengenai penyelesaian pertikaian antarabangsa, menurut NUS dan MinLaw dalam satu kenyataan media.
Ia akan memberi tumpuan kepada isu-isu yang mencorakkan masa depan timbang tara antarabangsa, termasuk ketelusan dan kebertanggungjawaban, etika dan tadbir urus profesional, serta penyelesaian pertikaian antara pelabur dengan negara.
Ia juga bakal melancarkan program pengajian lanjutan baharu yang selektif dalam bidang timbang tara antarabangsa khas bagi pengamal undang-undang.
Pusat itu akan dipimpin oleh Profesor Stavros Brekoulakis, yang kini memegang jawatan Pengerusi Timbang Tara Antarabangsa Michael dan Laura Hwang di NUS.
SG kemuka bidaan jadi tuan rumah tribunal antarabangsa bagi pertikaian pelaburan: Edwin Tong
SINGAPURA: Singapura akan mengemukakan bidaan untuk menjadi tuan rumah kepada sebuah tribunal antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian pelaburan, memandangkan wujud keperluan global terhadap institusi yang "berwibawa dan diyakini" untuk mengendalikan kes-kes sedemikian, umum Menteri...