Gambar fail bayi sedang minum susu. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Sabtu (17 Jan) menarik balik dua produk susu formula bayi disebabkan oleh kehadiran toksin cereulide.
Agensi itu mengesan toksin tersebut, yang boleh menyebabkan loya dan muntah, pada satu lagi kumpulan susu formula bayi Nestle NAN serta satu kumpulan produk susu formula bayi Dumex.
IKLAN
Ini menyusuli penarikan balik produk formula NAN Nestle terpilih pada 8 Januari.
Kumpulan yang terjejas adalah:
Nestle NAN HA 1 SupremePro (800g), kumpulan 52340017C3 (buatan Switzerland)
Dumex Dulac 1 (800g), kumpulan 101570778C (buatan Thailand)
Kedua-dua produk itu "mungkin menggunakan bahan mentah yang sama yang dibekalkan oleh sumber yang sama yang digunakan dalam kumpulan produk formula bayi yang terlibat sebelum ini", kata SFA dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam kenyataan media bersama.
Penarikan balik itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga sedang siasatan SFA dijalankan.
Terdapat satu kes penyakit yang mungkin berkaitan dengan pendedahan cereulide, kata agensi-agensi tersebut. Kes itu mempunyai simptom ringan dan sejak itu sudah pulih.
IKLAN
Buat masa ini, ujian makmal klinikal belum mengesahkan bahawa penyakit itu disebabkan oleh keracunan cereulide, kata agensi-agensi tersebut.
CDA sedang bekerjasama rapat dengan SFA dan "menjalankan pemantauan" dengan pengamal perubatan untuk memantau potensi berlaku kes keracunan cereulide pada kanak-kanak.
Secara keseluruhannya, kumpulan produk bayi import yang terjejas merangkumi kurang 5 peratus daripada bekalan produk formula import Singapura, kata SFA dan CDA.
"SFA akan terus mendampingi pengimport dan pengilang untuk memantau keadaan dengan teliti."
Di samping itu, SFA menyatakan bahawa pihaknya mendapati bahawa pengeluar yang berpangkalan di Singapura, SMC Nutrition, telah menggunakan bahan mentah terjejas yang sama dalam beberapa produk formula bayi mereka yang bertujuan untuk eksport.
IKLAN
Agensi-agensi tersebut telah mengarahkan syarikat itu untuk menghentikan eksport produk yang terjejas dan memaklumkan kepada pihak berkuasa negara pengimport.
Cereulide ialah toksin yang boleh menyebabkan gejala seperti loya, muntah, kekejangan perut dan cirit-birit.
Simptom-simptom tersebut biasanya muncul antara 30 minit dan enam jam selepas mengambil makanan yang terjejas, dan biasanya hilang dalam masa 24 jam.
Kumpulan-kumpulan yang terdedah, seperti bayi, berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi.
"Pengguna yang telah membeli produk yang terjejas dinasihatkan supaya jangan memberinya kepada anak-anak mereka. Mereka yang anak-anaknya telah mengambil produk ini dan tidak sihat harus segera mendapatkan nasihat perubatan," kata agensi-agensi tersebut.
IKLAN
Para pengguna juga boleh menghubungi tempat pembelian mereka untuk mengajukan pertanyaan tentang produk tersebut.
SFA tarik balik 2 produk susu formula bayi selepas kesan toksin cereulide
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Sabtu (17 Jan) menarik balik dua produk susu formula bayi disebabkan oleh kehadiran toksin cereulide. Agensi itu mengesan toksin tersebut, yang boleh menyebabkan loya dan muntah, pada satu lagi kumpulan susu formula bayi Nestle NAN serta satu...