SFA pertingkat pemeriksaan kubis susuli laporan penggunaan formaldehid di China
Kubis Cina di sebuah ladang semasa musim menuai di Shenyang, wilayah Liaoning di timur laut China, pada 24 Oktober 2023. (Gambar fail: AFP/CN-STR)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) meningkatkan pemeriksaan ke atas kubis susulan laporan mengenai penggunaan formaldehid pada sayur-sayuran itu di China.
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (1 Sep), SFA menyatakan ia sedang memantau keadaan dengan teliti dan sudah meningkatkan pemantauan serta ujian sebagai sebahagian daripada program pemantauan keselamatan makanannya.
IKLAN
Langkah itu diambil selepas Korea Selatan turut meningkatkan pemeriksaan ke atas import kubis Cina sedang skandal keselamatan makanan di China mencetuskan kebimbangan di rantau ini.
Skandal itu melibatkan kubis yang dicelup ke dalam formaldehid.
Taiwan juga mengambil langkah untuk meyakinkan para pengguna dan memeriksa sama ada hasil pertanian yang mungkin tercemar boleh sampai ke pulau itu secara tidak langsung.
CHINA JALANKAN PEMERIKSAAN SELURUH NEGARA
China menjalankan pemeriksaan di seluruh negara ke atas sayur-sayuran yang mudah rosak selepas pihak berkuasa di wilayah Hebei mengesahkan pada 22 Ogos 2026 bahawa formaldehid digunakan secara haram untuk mengawet kubis semasa pengangkutan.
IKLAN
Formaldehid merupakan bahan yang diketahui boleh menyebabkan kanser.
Skandal itu terbongkar selepas seorang penulis blog alam sekitar China yang dikenali sebagai Qige memuat naik video di Douyin.
Beliau mendakwa beberapa pekerja di bandar Tunken, daerah Kangbao di Hebei, mencelup kubis ke dalam cecair yang dipercayai mengandungi formaldehid sebelum memuatkannya untuk dihantar.
Dalam video tersebut, Qige bertanya kepada para pekerja berapa lama rawatan itu dapat memastikan sayur-sayuran berkenaan kekal segar.
"Dua hingga tiga hari," jawab seorang pekerja.
IKLAN
Para pekerja dalam video itu berkata muatan tersebut akan dihantar ke bandar Suqian di wilayah Jiangsu.
Dakwaan itu dengan pantas menjadi tular.
China Daily melaporkan pihak berkuasa tempatan mengesahkan pada 22 Ogos bahawa siasatan awal mendapati amalan yang ditunjukkan dalam video itu memang berlaku.
Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) mengklasifikasikan formaldehid sebagai bahan karsinogen kepada manusia.
Bahan itu digunakan dalam pelbagai industri, termasuk dalam penghasilan plastik dan resin, serta mempunyai ciri-ciri sebagai bahan pengawet.
SFA pertingkat pemeriksaan kubis susuli laporan penggunaan formaldehid di China
Agensi Makanan Singapura (SFA) meningkatkan pemeriksaan ke atas kubis susulan laporan mengenai penggunaan formaldehid pada sayur-sayuran itu di China.