BTC USD 76,358.3 Gold USD 4,327.02
Time now: Jun 1, 12:00 AM

SG kurangkan tempoh penggunaan perancah kayu kepada 3 bulan, pertingkat keselamatan kebakaran

adi19

Fun Poster
Messages
768
Joined
Oct 30, 2013
Messages
768
Reaction score
3
Points
25

SG kurangkan tempoh penggunaan perancah kayu kepada 3 bulan, pertingkat keselamatan kebakaran​

screenshot_2026-07-02_110936.jpg

Perancah kayu dipasang pada bahagian luar sebuah bangunan. (Gambar fail: Facebook/Kementerian Tenaga Manusia Singapura)

SINGAPURA: Bagi meningkatkan keselamatan kebakaran di tapak binaan, Singapura akan memendekkan tempoh penggunaan perancah yang diperbuat daripada kayu.

Perancah kayu, yang pada masa ini boleh digunakan sehingga sembilan bulan, hanya akan dibenarkan untuk digunakan sehingga tiga bulan mulai 2027.

IKLAN

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (2 Jul), langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kebakaran akibat penggunaan kayu yang mudah terbakar dalam tempoh panjang, khususnya di persekitaran yang melibatkan "kerja-kerja panas" atau "hot works".

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng mengumumkan langkah baharu itu semasa kempen keselamatan dan kesihatan di tempat kerja anjuran Singapore Contractors Association Limited.

Kata Dr Tan, pihak berkuasa juga sedang meneliti keperluan keselamatan kebakaran baharu bagi penggunaan jaring perancah.

Dr Tan berkata MOM mengkaji langkah-langkah bagi mengurangkan risiko kebakaran yang berkaitan dengan perancah, dengan mengambil kira maklum balas industri serta perkembangan di peringkat antarabangsa.

Pada Januari lalu, pemerintah Singapura menyatakan ia sedang meneliti dapatan awal siasatan Hong Kong berhubung kebakaran maut di Wang Fuk Court.

IKLAN

Kebakaran yang merebak dengan pantas itu tercetus pada 26 November 2025 dan memusnahkan tujuh blok apartmen bertingkat tinggi, mengorbankan 168 orang termasuk seorang anggota bomba, selain menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Bangunan tersebut dipasangkan dengan perancah buluh yang dilitupi jaring nilon, yang didapati tidak memenuhi kod keselamatan Hong Kong.

Di Singapura, penggunaan perancah buluh tidak dibenarkan.

Kayu masih boleh digunakan sebagai bahan perancah yang lebih menjimatkan kos, namun penggunaannya kurang meluas berbanding keluli dan aluminium.

Dalam satu lembaran fakta yang dikeluarkan pada Khamis, MOM menyatakan kebakaran melibatkan perancah menimbulkan risiko serius kepada para pekerja, anggota pasukan kecemasan dan orang awam.

IKLAN

Menurut kementerian itu, kebakaran sedemikian boleh merebak dengan pantas, menyukarkan usaha pemindahan dan pemadaman kebakaran, serta menyebabkan kerosakan besar, gangguan dan kemungkinan kehilangan nyawa.

MOM menyatakan tempoh penggunaan yang lebih singkat itu juga menangani kebimbangan mengenai kemerosotan keadaan kayu dari semasa ke semasa akibat pendedahan kepada cuaca, penggunaan berterusan serta kerosakan mekanikal.

"Pemendekan tempoh penggunaan yang dibenarkan akan menggalakkan pembaharuan dan penggantian bahan perancah secara berkala, mengurangkan kemungkinan kecacatan yang tidak dikesan serta menggalakkan penggunaan sistem perancah yang lebih tahan lasak dan tidak mudah terbakar seperti keluli, aluminium dan sistem perancah modular logam," menurut MOM.

Perancah kayu yang dipasang sebelum 1 Januari 2027 masih boleh digunakan sehingga sembilan bulan.

Mulai 2027, lanjutan penggunaan melebihi tiga bulan akan dipertimbangkan berdasarkan kes, seperti jika berlakunya kekangan teknikal.

IKLAN

Dr Tan berkata MOM dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) turut mengkaji keperluan baharu supaya jaring perancah yang dipasang di luar bangunan diperbuat daripada bahan kalis api.

Menurut beliau, langkah itu akan mengehadkan penyebaran api sekiranya berlaku kebakaran. Beliau menambah, maklumat lanjut akan dikongsi pada masa akan datang.

Menurut MOM, tanggungjawab mungkin akan dikenakan ke atas kontraktor perancah serta pengilang dan pembekal jaring bagi memastikan jaring perancah memenuhi keperluan baharu tersebut.

Dr Tan berkata Singapura mencatat kadar kecederaan maut di tempat kerja sebanyak 0.96 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2025, iaitu kadar terendah yang pernah direkodkan di luar tempoh pandemik COVID-19.

Dalam sektor binaan pula, sebanyak 148 kes kecederaan maut dan serius direkodkan pada 2025, sekali gus menurunkan kadar kecederaan kepada 26 bagi setiap 100,000 pekerja, iaitu yang terendah pernah dicatatkan.

Namun, beliau turut menarik perhatian kepada beberapa kejadian kematian di tempat kerja yang berlaku baru-baru ini sehingga mencetuskan denda yang lebih berat, perintah henti kerja serta pelaksanaan tempoh rehat keselamatan secara sukarela di seluruh negara bermula 26 Jun.

"Jika kita melayan semua pekerja, sama ada warga tempatan atau warga asing, sebagaimana kita melayan ahli keluarga terdekat kita sendiri, saya fikir kita sudah berjaya mengharungi separuh daripada cabaran untuk memastikan keselamatan mereka," kata Dr Tan.

Usaha itu melengkapi langkah-langkah lain bagi mengurangkan risiko di peringkat awal, memanfaatkan inovasi dan teknologi, memperkukuh tadbir urus serta komitmen kepimpinan terhadap keselamatan, selain menambah baik rangka kerja keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Beliau berkata, dengan Singapura memulakan projek-projek utama seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, peluasan Marina Bay Sands, projek Long Island, Woodlands Gateway, Kawasan Pesisiran Selatan (Greater Southern Waterfront) dan pembangunan perumahan awam baharu, kegiatan pembinaan dijangka terus berkembang.

"Pertumbuhan kita tidak boleh sekali-kali dicapai dengan mengorbankan keselamatan para pekerja," kata Dr Tan.

 
Back
Top
Log in Register