combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,162
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,162
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kiri) berucap pada Sesi Perkongsian TEKAD Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 - 2035 sempena Majlis Sesi Libat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Bersama Pengamal Media Sempena Ramadan Tahun 2026 dan Majlis Iftar di Pusat Permata Kurnia, Kuala Lumpur hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini tetap melaksanakan sesi persekolahan seperti biasa, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana berdasarkan pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang memberi kesan kepada murid sebelum ini termasuk menyebabkan mereka menjadi generasi ketinggalan seperti ketika negara dilanda COVID-19.
"Bekerja dari rumah (BDR) dengan PdPR ini dua perkara yang berbeza, jadi setakat ini tiada keputusan apa-apa mengenai PdPR dan pembelajaran berjalan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pengurusan Tertinggi KPM Bersama Pengamal Media Sempena Ramadan 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, Pengarah Pusat PERMATA Kurnia Dr Zuraidah Ismail dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.
Fadhlina berkata penjelasan itu diharapkan dapat menamatkan kegusaran masyarakat mengenai isu PdPR.
Beliau berkata fokus utama kerajaan adalah memulihkan kesan gangguan pembelajaran yang berlaku sebelum ini termasuk menangani cabaran generasi pelajar yang terkesan akibat tempoh pembelajaran jarak jauh.
Fadhlina turut menegaskan sebarang dasar pendidikan tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru tanpa penelitian menyeluruh kerana keutamaan kerajaan adalah memastikan kualiti pembelajaran murid terus terpelihara.
Sebelum ini dilaporkan kerajaan akan meneliti cadangan BDR bagi sektor awam susulan krisis geopolitik Asia Barat dan akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet esok.
Terdahulu, Fadhlina memaklumkan kepada pengamal media berkaitan hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bahawa KPM akan menubuhkan satu majlis pimpinan pelajar peringkat kebangsaan untuk mewakili suara pelajar peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Sesi Persekolahan Tetap Dilaksana Seperti Biasa - Fadhlina
Fadhlina Sidek, KPM, BDR, PdPR, RPM 2026-2035