lempeng
Fun Poster
- Messages
- 895
- Joined
- Dec 16, 2005
- Messages
- 895
- Reaction score
- 145
- Points
- 23
Latar Belakang Sejarah
Landasan kereta api di Sumatera ni sebenarnya penuh dengan sejarah kelam zaman penjajahan Belanda. Yang paling terkenal ialah Jalur Kereta Api Deli di Sumatera Utara yang dibina akhir 1800-an untuk angkut hasil ladang tembakau dan getah.
Ribuan buruh paksa dan kuli kontrak dari Jawa, Cina, dan India - mati semasa membina landasan kereta api merentasi hutan tebal dan pergunungan. Banyak mayat yang tak sempat dikebumikan dengan sempurna - ada yang tertimbus dalam tanah runtuh, ada yang mati kena penyakit tropika dan hanya ditanam tepi landasan. Orang tempatan percaya roh-roh ni masih "menumpang" kereta api sampai sekarang.
Laluan paling terkenal ialah
- Kereta Api Deli (DSM) di Sumatera Utara
- Jalur Padang-Sawah Lunto di Sumatera Barat yang digunakan untuk mengangkut arang batu.
~ Berdasarkan kisah yang dikongsi oleh penduduk sekitar laluan Padang-Sawah Lunto. ~
Abang Hendra ni kerja sebagai masinis - pemandu kereta api barang yang bawa arang batu dari Sawah Lunto ke pelabuhan Teluk Bayur. Dah 15 tahun dia pegang jawatan tu. Kalau orang tanya pasal hantu ke, benda pelik ke, dia gelak je. "Mengarut saja," katanya. "Aku ni orang teknikal. Percaya sains."
Tapi satu malam bulan Rajab tahun 2019, pandangan dia berubah.
Malam tu hujan lebat. Kereta api dia, lokomotif diesel yang tarik lapan gerbong arang batu bergerak perlahan dalam gelap. Kawasan tu memang tak ada kampung, hutan je kiri kanan. Lampu kereta api menerangi landasan yang berkilat kena air hujan.
Dalam pukul 2.30 pagi, pembantu dia, si Yanto, kejut dia.
"Bang, cuba tengok cermin sisi."
Hendra pandang cermin yang tunjuk gerbong-gerbong belakang. Dalam gelap dan hujan tu, dia nampak sesuatu yang mustahil: ada orang berdiri di atas gerbong terakhir. Bukan seorang… tapi ramai. Macam puluhan orang, berdiri dalam barisan, menghadap arah yang sama.
"Gila," bisik Hendra. "Mana boleh ada orang atas gerbong. Kita tengah jalan."
Dia keluar kepala dari tingkap, kena tamparan hujan kat muka. Mata dia cuba fokus kat gerbong terakhir.
Memang ada orang.
Tapi bukan orang biasa.
Diorang pakai baju koyak-rabak macam kain buruk. Kurus sangat-sangat, macam tinggal tulang je. Dan yang paling buat Hendra rasa nak muntah — diorang semua pegang alatan. Cangkul. Penyodok. Tukul. Alatan kerja zaman dulu.
Romusha. Buruh paksa zaman Jepun.
Hendra masuk balik dalam kabin, tangan menggigil.
"Yanto, kau nampak tak?"
Yanto angguk, muka pucat macam mayat. "Ramai, bang. Macam... macam satu kampung."
Kereta api terus bergerak. Tak boleh berhenti — kawasan tu tak ada stesen, tak ada tempat selamat. Dua jam lagi baru sampai Teluk Bayur.
Sepanjang dua jam tu, Hendra tak berani pandang cermin lagi. Tapi dia dengar bunyi. Bunyi macam orang ketuk-ketuk logam. Bunyi macam orang berbisik dalam bahasa yang dia tak faham mungkin Jepun, mungkin bahasa daerah lama.
Bila sampai di stesen Teluk Bayur, matahari dah nak naik. Hendra cepat-cepat turun, lari ke gerbong terakhir.
Kosong.
Tak ada siapa.
Tapi atas arang batu tu, ada kesan tapak kaki. Berpuluh-puluh kesan, dalam habuk arang.
Hendra berhenti kerja tak lama lepas tu. Sekarang dia buka kedai makan kat Padang. Kalau ada orang cerita pasal kereta api malam, dia diam je. Tak gelak macam dulu.
Sebab dia tahu apa yang dia nampak malam tu.
Pak Sutomo, kerja sebagai pemandu kereta api selama 23 tahun, tak pernah percaya cerita karut. Bagi dia, landasan tu cuma besi dan batu. Takde benda lain.
Malam tu — 14 Ogos 1987 — dia bawa kereta api barang dari Medan ke Tanjung Balai. Perjalanan malam, macam biasa. Pembantu dia, Hasan, tengah tidur di belakang.
Pukul 2.30 pagi, dalam hutan antara Tebing Tinggi dan Sei Rampah, lampu kereta api mula kelip-kelip. Pak Sutomo check - semua okay. Tapi dia perasan sesuatu yang pelik.
Ada bunyi. Bukan bunyi enjin. Bukan bunyi roda atas landasan.
Tapi bunyi ketukan dari bawah kereta api.
‘Tok. Tok. Tok.’
Macam orang ketuk pintu kayu. Tapi kereta api tengah bergerak 40 km/j. Siapa je yang boleh ketuk dari bawah?
Pak Sutomo cuba abaikan. Mungkin batu. Mungkin ranting.
Lepas tu bunyi berubah.
Jeritan, raungan yang nyaring dan ngeri.
Bukan satu. Berpuluh-puluh suara menjerit serentak, dari bawah kereta api. Macam orang tengah diseksa. Ada yang merayu dalam bahasa Jawa kuno, ada yang menangis, ada yang menyumpah dalam bahasa Cina.
Pak Sutomo berhentikan kereta api. Hasan terjaga.
"Kenapa berhenti, Pak?"
"Kau tak dengar ke?"
"Dengar apa?"
Senyap. Takde bunyi dah. Hasan tengok Pak Sutomo macam dia dah gila.
Pak Sutomo keluar dari kabin, turun check bawah kereta api. Lampu suluh dia menerangi landasan...
Dan dia nampak.
Tangan.
Berpuluh-puluh tangan muncul dari antara batu landasan. Tangan kurus, kulit pucat kekuningan, kuku hitam panjang. Semua tangan tu menghala ke arah dia, mencapai-capai macam nak minta tolong.
Pak Sutomo lari balik naik kabin, terus bawa kereta api pergi tanpa pandang belakang.
Dia pencen awal sebulan lepas tu.
Mbak Siti (Penduduk Kampung Paya Pasir, 1992):
"Tiap malam Jumaat, bila dengar bunyi kereta api lalu, kami tak keluar rumah. Sebab kadang-kadang... kereta api tu takde dalam jadual sebenaryna. Kereta api kosong. Takde pemandu. Tapi lampu dia menyala, dan kalau tengok tingkap dia... ada muka-muka orang dalam tu. Ramai. Bersesak-sesak, berhimpitan. Semuanya bermuka pucat dan merenung kami."
Encik Tan (Pekerja Penyelenggaraan Landasan, 2003):
"Masa tu saya kerja syif malam… saya jumpa tulang. Banyak gila, kat bawah landasan, dalam tanah. Bos kata jangan report, nanti projek lambat. Tapi malam tu, saya mimpi. Ramai orang datang, diorang pakai baju buruh zaman dulu. Cakap Hokkien. Diorang tanya saya, 'Bila kami boleh balik rumah?' Saya tak boleh jawab."
Yang paling seram, ada fenomena yang penduduk panggil Kereta Api Kosong atau Sepur Setan.
Ia muncul di landasan yang dah tak aktif, laluan lama yang Belanda tinggalkan. Takde jadual. Takde rekod. Tapi orang nampak kereta api lokomotif stim hitam, berasap tebal, lalu tengah malam.
Kalau diikutkan, kereta api stim dah tak beroperasi di laluan tu sejak 1970-an. Jadi apa benda yang orang nampak tu sebenarnya?
Ada yang kata ia bawa arwah-arwah kuli yang mati. Setiap malam, diorang ulang perjalanan terakhir. Perjalanan yang tak pernah sampai ke destinasi.
Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.
-lempeng-