BTC USD 82,447.9 Gold USD 4,194.30
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sepak Takraw

Terengganu tumpas kepada PSM

SKUAD Sepak Takraw Terengganu (Terengganu) gagal mengatasi kehebatan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) apabila kecundang 2-1 pada Liga Siri Super PSM 2011 semalam.

Pertembungan sengit yang berlangsung di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil itu menyaksikan hanya regu B Terengganu yang mampu memberikan saingan kepada regu B PSM sekaligus menewaskannya dalam masa 75 minit.

Regu A Terengganu yang dibarisi oleh Mohd Subha Mohd. Latip sebagai tekong, Mohd. Hami Khairi Mohd. Roslan (apit kanan) dan Zulhafizazurin Roslan (apit kiri) tewas kepada regu A PSM yang terdiri daripada Noor Azman Abdul Hamid (tekong), Mohd. Fadzli Mohd. Roslan (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) dengan keputusan 8-15, 13-15.

Namun bagi regu B pula, corak permainan Terengganu tampil berbeza apabila pemain-pemain mereka, Mohd. Faiz Jalal (tekong), Mohd. Saiful Razaki (apit kanan) dan Mohd. Safaruddin Abu Bakar (apit kiri) menewaskan PSM yang ditunjangi Mohd. Fazil Mohd. Asri (tekong), Mohd. Hanafiah Dolah dan Mohd. Muqlis Borhan dengan keputusan 11-15, 15-12, 15-11.

Bagi regu C, Mohd. Khairuzzaman Muji (tekong), Rosmadi Abdul Ghani (apit kanan) dan Mohd. Azrol Nizam Zakaria (apit kiri) yang beraksi untuk Terenganu juga tidak mampu menggegarkan gandingan mantap daripada Ahmad Sufi Mohd. Hashim (tekong), Norshahruddin Mad Ghani (apit kanan) dan Muhd. Faizulhairy Osman (apit kiri) dengan keputusan 6-15,7-15.

Walaupun Terengganu tidak mampu menewaskan PSM, namun pengurus pasukannya, Wan Sulaiman Wan Su berpuas hati dengan prestasi yang mereka tunjukkan dalam tempoh dua jam 30 minit itu.

Jelas Wan Sulaiman, kalau skuad kendaliannya yang sebelum ini menjuarai kategori terbuka dan bawah 20 tahun di kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail kedua itu mampu mengatasi tekanan berdepan PSM kemungkinan besar mereka mampu menewaskan skuad elit itu.

"Kita tidak bertuah dalam perlawanan menentang PSM hari ini (semalam), regu A tadi melakukan kesilapan di saat-saat akhir permainan. Kalau mereka boleh mengatasi tekanan dan mempunyai tahap mental yang tinggi, mungkin kita boleh menang.

"Bagi regu B pula, memang kita dah rancang dan saya bersyukur mereka mampu menewaskan PSM dan mereka juga merupakan gandingan yang kuat," kata Wan Sulaiman.

Tambahnya, skuad kendaliannya itu kini mengalami kekurangan pemain yang hebat seperti Mohd. Nasiruddin Mansur dan Fadzli yang telah menyertai pasukan elit negara itu.

Dalam pada itu, Penyelaras PSM, Amir Abu Bakar berkata, kita bertuah hari ini apabila dapat menyaksikan perlawanan yang sengit antara pemain Terengganu dan atlet negara.

"Kita boleh lihat pada regu pertama, ada dua adik-beradik yang bermain untuk apit kanan berentap sesama sendiri iaitu Hami Khairi (Terengganu) yang merupakan bekas pemain Malaysia pada tahun 2009 dan Fadzli, adiknya yang mewakili PSM.

"Saya akui bahawa sejak akhir-akhir ini ramai di kalangan pemain negara berasal dari Terengganu dan hasil pemerhatian saya untuk perlawanan hari ini (semalam) mereka bermain dengan baik dan mampu memberi tandingan kepada PSM.

"Oleh itu, saya menyarankan setiap negeri mampu mencontohi Persatuan Sepak Takraw Terengganu agar dapat melahirkan lebih ramai pemain yang berkaliber pada masa hadapan," jelas Amir.

Bagi perlawanan lain pula, Kelantan terus mengasak pihak lawan apabila menewaskan MSN Kedah dengan agregat 3-0 dan UiTM pula tewas kepada Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans),1-2.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menewaskan Pulau Pinang 2-1, Tentera Laut Diraja Malaysia tewas kepada Selangor (1-2) dan Perak berjaya menundukkan Perlis (2-1) pada perlawanan yang berlangsung di sebelah pagi.

Manakala pada sebelah petang pula, ATM mengekalkan kemenangan berterusan menewaskan Kedah 2-1, Kelantan menumpaskan Polid Diraja Malaysia (PDRM) (2-1) dan Johor membenam Kuala Lumpur (2-1).
 
Kelantan, Terengganu berentap

PERTEMBUNGAN dua penjuru antara pasukan Kelantan dan Terengganu memasuki episod yang cukup mendebarkan pada Liga Sepak Takraw Kebangsaan Super Siri Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Sirkit 3 semalam.

Kedua-dua pasukan dilihat memiliki peluang yang sangat cerah untuk muncul naib juara pada kejohanan yang akan melabuhkan tirainya hari ini.

Pada aksi sebelah pagi di Dewan Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam, kedua-dua pasukan berjaya membenam cabaran masing-masing untuk mengumpul keseluruhan 22 mata.

Di atas kertas, kelebihan dilihat berpihak kepada Kelantan yang mengejutkan pasukan pilihan, Selangor 2-1, sekali gus mengatasi Terengganu yang beraksi lebih satu perlawanan.

Begitupun, kehebatan kedua-dua pasukan itu belum cukup untuk menggugat peneraju liga, PSM yang masih unggul dengan 24 mata selepas menang kesemua 12 perlawanan termasuk menjinakkan MSN Kedah 2-1 semalam.

Dalam aksi menentang Selangor semalam, Kelantan ketinggalan di belakang apabila regu A, gagal menyaingi kehebatan regu Selangor apabila tewas mudah 6-15 dan 15-17.

Begitupun, regu B Kelantan kembali bangkit menyamakan kedudukan apabila menewaskan regu B Selangor apabila menang 16-14, 16-17 dan 15-13.

Regu C akhirnya memastikan kemenangan Kelantan apabila menang 15-11 dan 15-12 ke atas regu C Selangor.

Kapten Kelantan, Mohd. Hisham Mat enggan mendabik dada dengan kemenangan itu kerana menganggap pelbagai kemungkinan boleh berlaku hari ini.

Selain mengakui kelebihan Terengganu yang menerima sentuhan jurulatih kelahiran Thailand, Vitthaya Boontha yang pernah cemerlang menerajui Laos ketika mengecewakan Malaysia pada temasya Sukan SEA 2007, Mohd. Hisham juga tidak mahu rakan-rakannya tertekan dalam baki perlawanan semata-mata mahu mengejar kedudukan PSM.

"Kami tidak mahu yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran. Jadi kami akan bermain seperti biasa dan fokus satu-persatu terlebih dahulu.

"Apa yang pasti, kami yakin dengan kredibiliti jurulatih kami (Rozi Abdul Rahman dan Baharil Anuar Che Mamat) yang mempunyai strategi terbaik sebelum saingan tamat esok (hari ini)," katanya.

Hari ini, PSM bakal menentang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai aksi penutup tirai sementara Kelantan bakal berdepan cabaran Perak yang dilihat sudah pun berakhir apabila sekadar menghuni tangga kedua tercorot dengan empat mata sahaja setakat ini.

Dalam pada itu, jurulatih PSM, Jamaluddin Hassan enggan melatah meskipun regu C yang dibarisi oleh Mohd. Nasirruddin Manjur Ahmad (tekong), Norshahrudin Mad Ghani (apit kanan) dan Mohd. Anuar Samsuddin dikejutkan dengan kekalahan 12-15, 15-8 dan 14-16.

"Apa yang hendak dihairankan, apa juga boleh berlaku dalam permainan sepak takraw.

"Cuma pada masa sama, saya harap barisan pemain tidak mudah leka kerana corak persembahan yang paling saya utamakan pada kejohanan ini ialah sebagai persiapan Kejuaraan Dunia Sepak Takraw Super Series di Palembang Februari tahun depan," katanya.
 
MSNK hampir calar rekod kebal PSM

KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) mencalarkan sedikit rekod kebal PSM apabila mencuri satu kemenangan regu biarpun akhirnya menyerah 1-2 kepada skuad elit negara pada hari ketiga Pusingan Akhir Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011, semalam.

Regu terakhir pasukan tercorot liga ini (Firdaus Abu Bakar, Fazal Hanafi dan Afendi Mubin) mengejutkan regu negara, Nasiruddin Manjur Ahmad, Norshahruddin Mad Ghani dan Anuar Samsudin 15-12, 8-15, 16-14 di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Sebelum ini PSM yang kebanyakannya dibarisi tonggak berpengalaman skuad Sukan SEA dan Piala Raja Thai tahun ini, kalah salah satu regunya kepada Kelantan (Siri 2 di Kangar, September lalu) dan Terengganu (kelmarin) dengan semuanya melibatkan pemain bawah 21 tahun.

Dua perlawanan regu terdahulu bagaimanapun tetap dikuasai PSM dengan mudah sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju liga sejak merampasnya daripada Selangor pada hari pertama kejohanan berpasukan senior dan bawah 21 tahun kebangsaan ini, Jumaat lalu.

Syazwan Husin, Arif Busu dan Farhan Adam menang 15-10, 15-13 sementara Tunku Noor Azwari Tunku Ishak, Hanafiah Dolah dan Muqlis Borhan memastikan dua mata liga buat PSM dengan kemenangan 15-11, 15-7 dalam kesemua perlawanan selama 85 minit itu.

Kejutan terus melanda juara Piala Emas Khir Johari 2011, Selangor yang ditumpaskan Kelantan 1-2 (15-6, 17-15), (14-16, 17-16, 13-15), (11-15, 12-15) pada sesi pagi sebelum terpaksa bertungkus lumus untuk menjinakkan Johor 2-1 sebelah petangnya.

Namun kekalahan Kelantan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-2, juga petang semalam, membuka semula peluang Selangor untuk kembali dalam persaingan tiga penjuru bagi tempat kedua di samping Terengganu yang mudah menewaskan Perak 3-0.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengalahkan Kedah 3-0, Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans) menewaskan Perlis 2-1, Kuala Lumpur mengatasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menundukkan Pulau Pinang 3-0.
 
'Jangan letak harapan tinggi'

Cabaran sepak takraw Siri Super 2 ISTAF di Palembang

JANGAN letak harapan tinggi. Itulah firasat jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Jamaluddin Hassan yang enggan peminat tempatan meletakkan penanda aras tinggi mengenai barisan pemainnya yang bakal menggalas cabaran di Siri Super 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Palembang, akhir Februari ini.

Walaupun mungkin ada perubahan berlaku daripada sudut barisan pemain baru namun baginya saingan itu boleh disifatkan sebagai medan ujian menilai kemampuan mereka selain memberi pendedahan bermakna.

“Memang kita mengharapkan mereka ini akan memberi yang terbaik. Walaupun begitu saya tidak mahu mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi. Pada saya cukuplah sekadar memberi sasaran mereka ini akan melakukan yang terbaik saja.

“Ia juga bergantung kepada undian nanti. Kalau kita menerima laluan yang mudah kita dapat mara dengan lebih jauh. Pada saya ia satu percubaan dan pentas ujian,” katanya.

Hanya enam daripada 16 pemain dikekalkan bersama skuad kebangsaan menghadapi saingan itu yang terdiri daripada Norshahruddin Mad Ghani, Farhan Adam, Faizul Hairy Osman, Fazil Mohd Asri, Tunku Noor Azwari Tunku Ishak dan Hanafiah Dolah seperti mana yang dipilih Majlis Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), 17 Disember lalu.

Pada Siri ISTAF di Bangkok, Thailand September lalu, pasukan negara menamatkan saingan di peringkat suku akhir dengan ditewaskan Indonesia, 3-2 sehingga menyebabkan skuad kebangsaan sekali lagi menerima kritikan pedas selepas beraksi hambar tumbang kepada Thailand 3-0 di final Piala Dunia ISTAF Julai lalu.
 
‘Skuad cacamarba’

Pemain tidak miliki enam aspek kecergasan: Syed Azmir

KEGAGALAN pemain mencapai tahap kecergasan optimum dan sistem latihan yang berteraskan kemahiran semata-mata tanpa berorientasikan sains sukan adalah antara lima faktor yang menjadi punca skuad sepak takraw negara mempamer prestasi buruk di Sukan SEA XXVI, bulan lalu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Perlis yang memiliki ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (UM) dan Sijil Perguruan Khas Pendidikan Jasmani Kesihatan (IPDA), Syed Azmir Syed Ahmad berkata, kesan daripada tiadanya tahap kecergasan optimum dapat dilihat dengan jelas menerusi tindak balas pemain di gelanggang.

“Kita dapati pemain tidak memiliki enam aspek kecergasan iaitu ketangkasan, kelajuan, kuasa, koordinasi, masa tindak balas dan imbangan yang memberi kesan ketara kepada servis yang tidak konsisten, lompatan rejaman yang tidak tinggi, servis dan rejaman yang tidak laju, tiadanya ketangkasan dan kelajuan dalam pergerakan serta pertahanan yang lemah,” katanya.

Syed Azmir yang mengikuti dan menyaksikan skuad sepak takraw berlatih serta beraksi dalam beberapa kejohanan turut menegaskan fokus latihan skuad negara hanya berteraskan kemahiran semata-mata dan ia tidak banyak beza dengan sistem latihan cara lama.

“Saya optimis bahawa kegagalan mengaplikasi aspek sains sukan dalam sistem latihan adalah salah satu punca utama tersungkurnya skuad negara dan jika ia dibiarkan tanpa tindakan penambahbaikan segera bukan mustahil Malaysia akan pulang tanpa pingat pula di Sukan Asia 2014,” katanya.

Syed Azmir turut mendedahkan kelemahan psikologi turut menjadi faktor utama yang menyumbang kepada prestasi buruk itu kerana pemain gagal mengawal tahap kebangkitan (aurousal) dan kebimbangan (anxiety) yang menjejaskan persembahan mereka.

“Kegagalan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mengenal pasti dan memilih dua perunding dari Thailand turut memburukkan pencapaian skuad negara selain kegagalan badan itu menerapkan kekuatan aspek psikologi di kalangan pemain kerana ahli psikologi yang dilantik bukan berkelulusan dalam bidang berkenaan sebaliknya bidang kaunseling,” katanya.
 
'Servis' skuad elit terkandas

KUALA LUMPUR - Hanya rentetan kegagalan tercatat dalam takwim sepak takraw 2011, paling malang apabila Sukan SEA XXVI Indonesia diakhiri dengan dua pingat gangsa.

Sekadar gelaran 'bertaraf dua bintang' di Qinghuangdao (Jun) dan sebutir gelaran antara regu Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok (September) mampu menjadi sedikit penawar duka tetapi apalah sangat nilainya selagi ia diperoleh tanpa penyertaan musuh tradisi, Thailand.

Kembalinya jurulatih emas Sukan SEA 2005, Jamaluddin Hassan dengan dibantu tekong juara Sukan Asia 1994, Ahmad Jais Baharun, selain kehadiran perunding Thailand, Prawet Intra dan Tawit Wongkluen, masih gagal memulihkan skuad elit negara, ia umpama kandasnya servis seorang tekong.

Skuad elit kini terperosok di posisi ketiga dunia di belakang musuh tradisi, Thailand dan Indonesia yang membenam mereka empat kali sepanjang 2011.

Ia bermula dengan Siri Super 1 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), berpasukan Piala Raja Thai di Bangkok (September) sebelum diakhiri pada Sukan SEA di Palembang.

Ranking dunia yang diperkenalkan sejak Piala Dunia Istaf, Julai lalu, tidak menggambarkan prestasi sebenar skuad elit negara.

Malah, pada Piala Dunia lalu, kita cuma berbekalkan laluan percuma sebagai tuan rumah dan hanya berdepan Taiwan, Filipina serta Singapura.

Memasuki peringkat tertinggi, Malaysia dibelasah 0-3 oleh Thailand di depan ribuan peminat di Stadium Titiwangsa.

Namun 'dalam setandan pisang rosak, pasti ada segelintir yang masih boleh dimakan', justeru prestasi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam penganjuran pertandingan tempatan sepanjang 2011 tidak sesekali boleh diabaikan, malah berhak dipuji.

Tiga sirkit Liga Siri Super PSM yang berjalan di Melaka (Jun), Kangar (September) dan Bukit Jalil, baru-baru ini menambah gelanggang persaingan peringkat tertinggi kebangsaan yang dulunya cuma kerap dihiasi Piala Emas Khir Johari (Mac) dan Kejohanan Belia Kebangsaan (Mei) atau Sukan Malaysia (Sukma).

Inilah variasi dan kreativiti pengelolaan, malah kemunculan Piala Presiden PSM, mahupun Kejohanan Veteran dan Wanita Kebangsaan .

Ia juga menepati kempen 'Jom Main Sepak Takraw' yang diilhamkan pemimpinnya, Datuk Ahmad Ismail demi 'merakyatkan' atau mempopularkan kembali sepak takraw seperti era pertengahan 1980-an.

Sejak 2010, kemunculan Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan Malaysia dengan sokongan Astro Arena secara beransur-ansur, turut telah membawa sepak takraw mendaki semula proses popular itu.

Tidak syak lagi, ramai bakat baru dan pihak luar kini mulai menyedari ada banyak ruang yang boleh diterokai lagi.

Sayang sekali momentum kebanjiran penonton di Stadium Titiwangsa yang menjadi penanda aras populariti sepak takraw ketika perlawanan akhir Piala Dunia tidak dapat diulangi di Kuala Terengganu atau Kota Kinabalu gara-gara keengganan PSM enggan mengelolakan Siri Super 2 Istaf dari 8 hingga 11 Disember lalu.

Bagi peminat, mereka sudah terlalu rindukan kejayaan besar antarabangsa.

Bagaimananapun, tanggungjawab melaksanakannya bukan terhad kepada PSM semata-mata kerana di mana pula peranan pemain, jurulatih, pegawai, ahli gabungan persatuan mahupun penggiat sukan ini di peringkat bawahan?

Sepak takraw bukan dimainkan berseorangan!
 
jom ler... ptg bosan lak kat tmn, budak2 je main...

nak sebat kang kata buli... aduh....
 
kajang jauh la plak..
aku kat ampang..

dulu dok main gak kat hbkl
tpi dah x de member..rase malas plak nk main
 
Back
Top
Log in Register