BTC USD 82,433.6 Gold USD 4,194.09
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sepak Takraw

Bendahari PSM dilucut jawatan

KUALA LUMPUR - Yang didesak berundur, terus bertahan apatah lagi mendapat sokongan. Yang cuba menawarkan pengunduran tidak pula mengotakan kesanggupannya pada mesyuarat Majlis Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), kelmarin.

Sebaliknya yang menjadi mangsa ialah Datuk Mohd. Salim Abd. Bari yang dilucutkan jawatannya sebagai Bendahari PSM, seperti yang diumumkan di Hotel Adamson di sini.

Mohd. Salim yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) bagi penggal 2008/12 menyandang jawatan Bendahari PSM sejak 2002 yang dilantik menurut budi bicara Presiden berdasarkan perlembagaan PSM.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail pada mesyuarat itu menamakan Abdul Jalil Ariffin yang juga seorang pemimpin sebuah parti politik di Pulau Pinang sebagai bendahari baru PSM.

Penolong Setiausaha PSM, Tengku Adnan Tengku Borhanudin ketika ditanya mengenai sebab pertukaran Bendahari itu, hanya berkata kepada Utusan Malaysia: "Rujuklah kepada Datuk Ahmad sendiri selaku Presiden."

Mohd. Salim dikatakan turut tidak diundang menghadiri mesyuarat yang menemukan hampir kesemua pegawai kanan dari 17 ahli gabungan PSM seluruh negara.

Turut dilaporkan tidak hadir ialah Timbalan Presiden PSM, Mohd. Shapian Ali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) di samping wakil dari Negeri Sembilan, Kelantan dan Pahang.

Mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengekalkan hanya enam pemain daripada skuad Sukan SEA XXVI yang hanya membawa pulang dua pingat gangsa dari Palembang, Indonesia bulan lalu.

Berbanding baki pemain lain yang kontrak mereka berakhir hujung bulan ini, mereka yang dikekalkan akan terus mengalas cabaran negara menghadapi Siri Super 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Palembang pada 23 hingga 26 Februari depan.
 
hancuss lebur la PSM pasni..
org2 politik dah kongker...
 
PESTANS kecewa gelagat PSM

Masih belum lulus permohonan jadi ahli gabungan sejak Jun lalu

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) terkilan dengan gelagat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih belum meluluskan permohonan untuk menjadi ahli gabungan badan induk itu yang sudah dikemukakan sejak Jun lalu.

Timbalan Presiden PESTANS, Zambry Fareed berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan itu di Pejabat PSM di Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, tetapi hingga hari ini badan induk itu belum memberi sebarang keputusan.

“Namun, apa yang musykil jika kami belum menjadi ahli gabungan, mengapa penyertaan kami dalam Kejohanan Piala Presiden PSM diterima,” katanya.

Zambry berkata, pihaknya hanya menyedari PESTANS masih belum menjadi ahli gabungan selepas Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail memintanya keluar ketika menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PSM, Sabtu lalu.

“Saya akui tidak menerima surat jemputan untuk menghadiri mesyuarat itu, tetapi menerima jemputan menerusi laman sosial Facebook. Tetapi, saya agak terkilan dengan cara saya diminta keluar, malah beberapa ahli Majlis Tertinggi PSM juga menyuarakan kekesalan dengan tindakan itu.

“Apa pun, saya menegaskan penyertaan PESTANS sebagai ahli gabungan PSM adalah untuk membantu PSM membangunkan serta memajukan permainan tradisi ini, apa lagi, ketika ia berada dalam kemerosotan yang menuntut semua pihak bersatu memulih dan mengangkat martabat permainan ini semula.

“Malah, komitmen kami sudah terbukti dengan menghantar banyak regu menyertai pelbagai kejohanan termasuk anjuran PSM dengan pembiayaan sendiri,” katanya.

Zambry berkata, PESTANS adalah persatuan sepak takraw yang baru dihidupkan di Negeri Sembilan selepas persatuan lama sebelum ini tidak aktif sejak empat tahun lalu.
 
Wajah baharu skuad elit

TIDAK ada istilah pilih kasih.Semua pemain skuad lelaki dan wanita elit negara perlu melalui proses pemilihan semula sebaik sahaja kontrak mereka tamat pada 31 Disember ini.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuat keputusan drastik itu selepas skuad negara dikritik hebat berikutan kekalahan yang mengaibkan pada Sukan SEA 2011.

Pada temasya di Palembang, Indonesia bulan lalu, skuad negara hanya berjaya membawa pulang dua pingat gangsa.

Skuad bimbingan ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan itu tidak menampilkan aksi yang memberasangkan sepanjang temasya itu berlangsung, sekali gus gagal membawa pulang sebutir pingat emas yang diharapkan.

Hasil post-mortem yang dilakukan mendapati kekalahan itu berpunca daripada tiadanya semangat juang yang tinggi dalam diri para pemain.

Kekuatan mental para pemain juga berada di tahap yang paling rendah meskipun pada hakikatnya mereka memiliki kelebihan dari segi fizikal dan taktikal untuk menewaskan pasukan lawan.

Namun, kedudukan di 'zon selamat' mungkin menjadi punca utama para pemain tidak menunjukkan disiplin yang positif seperti mana yang diharapkan.

Para pemain mungkin merasakan bahawa situasi mereka dalam skuad negara 'sangat selamat' dan tidak akan tergugat kerana tiada pencabar atau pemain yang lebih baik bagi menggantikan tempat mereka sekiranya digugurkan.

Mungkin ketika itu, hanya 17 pemain di senaraikan dalam skuad lelaki dan ketiadaan pesaing yang hebat menyebabkan ada dalam kalangan pemain merasakan diri mereka sudah selamat.

Hanya itu pemain yang kita ada. Sama ada suka atau tidak, Malaysia terpaksa bergantung nasib kepada barisan pemain ini.

Lantaran itu, ahli-ahli Majlis Tertinggi PSM yang bermesyuarat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu sependapat untuk melakukan rombakan secara besar- besaran ke atas skuad elit negara.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama PSM membuat rombakan ke atas skuad elit sejak Datuk Ahmad Ismail dilantik sebagai presiden pada tahun 2003.

Secara kebetulan, kontrak para pemain akan tamat pada akhir bulan ini dan peluang itu digunakan sepenuhnya untuk merombak serta membentuk semula skuad yang lebih berdaya saing di rantau Asia Tenggara dan Asia.

Bagaimanapun, pemain yang menunjukkan kemajuan, kesungguhan dan semangat juang tinggi masih berpeluang untuk menyarung jersi Malaysia.

Namun, satu-satunya peluang terbaik mereka untuk kembali berada dalam skuad elit adalah dengan menampilkan persembahan yang cemerlang pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PSM 2012 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 21 hingga 24 Januari depan.

"Kejohanan ini dianggap sebagai medan terbaik bagi menjalankan pemilihan pemain untuk menggalas cabaran negara pada masa hadapan," kata Ketua Seranta, Yusoff Ali.

"Sasaran PSM adalah untuk membentuk skuad yang lebih mantap bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan sepak takraw di negara ini.

"Kini, misi utama PSM adalah memenangi pingat emas pada temasaya Sukan SEA 2013 di Naypyidaw, Myanmar dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan."

Mengulas lanjut mengenai Piala Presiden PSM 2012, Yusoff berkata, sebanyak tiga kategori bakal dipertandingkan iaitu veteran, wanita dan terbuka.

"Dalam kategori veteran terdapat empat peringkat umur iaitu 35 hingga 40 tahun, 41 hingga 47 tahun, 48 hingga 55 tahun dan 56 tahun ke atas.

"Kami yakin kejohanan ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan, terutamanya dalam kalangan para peminat sukan sepak takraw negara.

"Sudah tentu, penyertaan yang ramai ini memberi peluang yang lebih besar untuk kami mengintai dan mengenal pasti pemain- pemain yang berbakat."

Dalam masa yang sama, Presiden PSM, Ahmad Ismail mempunyai program pembangunan jangka panjang yang menampilkan pembabitan di peringkat akar umbi, termasuk kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Ahmad turut bercadang untuk membentuk tiga skuad yang berlainan dalam usaha memantapkan semula sukan ini.

Begitupun, impian untuk mewujudkan skuad pelapis bawah 17 tahun, skuad pelapis kebangsaan bawah 21 tahun dan skuad elit bergantung kepada persetujuan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Sama ada suka atau tidak, MSN perlu bekerjasama dengan PSM dalam merealisasikan impian ini kerana ia dilihat sebagai strategi terbaik dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sukan ini pada masa hadapan.

Ketiadaan skuad ini juga dikenal pasti sebagai punca utama kemerosotan sukan sepak takraw negara sejak akhir-akhir ini.

Ahmad berkata, beliau akan mengemukakan cadangan untuk meletakkan para pemain skuad pelapis bawah 17 tahun di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), manakala skuad pelapis kebangsaan bawah 21 tahun dan skuad elit di MSN Bukit Jalil.

Selain itu, MSN juga perlu meluluskan cadangan untuk menyenaraikan 36 pemain dalam skuad elit seperti mana yang diminta PSM sebelum ini.

Namun atas sebab-sebab tertentu, permintaan PSM ini tidak diendahkan oleh MSN dan hasilnya dapat dilihat dengan jelas apabila skuad negara mengalami kekalahan yang mengaibkan pada temasya Sukan SEA 2011 bulan lalu.

Dalam skuad elit juga perlu ada pasukan A dan B bagi mewujudkan 'budaya saing' yang tinggi dalam kalangan pemain.

Mungkin dengan cara ini, para pemain akan bekerja lebih keras bagi meningkatkan prestasi masing-masing kerana pemain yang gagal mencapai tahap sebenar tidak akan dihantar menyertai kejohanan besar.

Menurut Ahmad, PSM berharap MSN akan memandang serius cadangan ini kerana mereka adalah badan yang bertanggungjawab untuk meningkatkan prestasi sukan tanah air.

Sekiranya MSN tidak memiliki keupayaan, terutamanya berpunca daripada kekangan kewangan, siapa yang harus bertanggungjawab?

Selama ini, PSM hanya menerima suntikan kewangan (geran tahunan) daripada KBS yang disalur menerusi MSN untuk menampung kos semua program tahunan dan kos operasi persatuan itu sebanyak RM84,000 setahun.

Jangan hanya pandai menuding jari kepada PSM setiap kali skuad negara mengalami kekalahan di pentas antarabangsa, terutamanya kepada seteru utama, Thailand.

Kini, bukan hanya skuad 'Gajah Putih' itu yang menjadi pencabar utama anak-anak buah Jamaluddin tetapi beberapa negara yang sebelum ini dianggap kedil di rantau Asia Tenggara seperti Myanmar, Vietnam, Laos dan Indonesia.

Begitu juga pencabar di rantau Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang sudah mula menunjukkan peningkatan mendadak.

Namun, sentuhan 'ajaib' Ahmad Jais Baharun, Iskandar Arshad dan Abdul Malik Samsudin yang memenangi pingat emas dalam acara regu pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun diharap mampu mengembalikan semula kegemilangan skuad negara.

Ketiga-tiga bekas pemain ini dilantik sebagai jurulatih untuk membimbing skuad elit bersama ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan bermula pada Januari ini.

Oleh sebab itu, skuad elit tidak boleh memberi sebarang alasan sekiranya mereka gagal membawa pingat emas pada Sukan SEA 2013 dan Sukan Asia 2014.

PSM sudah 'berkorban' segala-galanya termasuk kemudahan penginapan, elaun, latihan yang sistematik, menyertai kejohanan kompetitif dan sentuhan jurulatih berpengalaman.

Kini, terpulang kepada pemain yang akan dipilih pada Januari depan untuk menentukan masa depan sukan sepak takraw negara yang dianggap sebagai sukan tradisi orang- orang Melayu ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, Majlis Tertinggi PSM turut mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak 12 pemain, masing-masing enam dari skuad lelaki dan wanita sehingga akhir Februari depan.

Ia bagi membolehkan PSM untuk meneruskan program latihan menjelang Super Siri 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Palembang, Indonesia pada 23 hingga 26 Februari 2012.

Kesemua pemain yang dipilih ini berusia sekitar 21 tahun dan tujuan utama menghantar mereka adalah untuk memberi pendedahan.

"Kita tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menang kerana kejohanan ini sekadar memberi pendedahan kepada para pemain. Para pemain ini masih muda dan mereka perlu mengutip pengalaman," kata Ahmad.
 
Selangor, PSM juara Siri Super?

KUALA LUMPUR - Ketika ramai peminat tempatan kempunan menyaksikan Siri Super 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) awal bulan ini kerana kedegilan tokoh tertentu, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pula tetap tampil menyajikan Liga Siri Super Pusingan Akhirnya dari Jumaat hingga Isnin ini.

Enam belas pasukan bakal beraksi di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil untuk merebut ganjaran juara, RM20,000 dan Piala Datuk Ahmad Ismail dengan kelebihan menyebelahi Selangor, pendahulu selepas dua pusingan di Melaka (Jun) dan Kangar (September) yang mengumpul 16 mata.

Mengejar dan mampu memintas juara Piala Emas Khir Johari 2011 itu dengan perbezaan cuma dua mata ialah skuad elit negara atau digelar PSM yang sekadar meraih gangsa Sukan SEA dari Palembang tetapi masih bertahan tanpa kalah dalam Liga Siri Super PSM dan kekurangan dua perlawanan.

Namun anak buah Jamaluddin Hassan masih terikat 14 mata dengan Terengganu dan Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans) malah cuma mempunyai kelebihan mata set yang diperoleh, 179 berbanding 152 dan 102 milik pencabar di tangga ketiga dan keempat itu.

Liga Siri Super PSM yang berformat berpasukan mewajibkan penyertaan regu bawah 21 tahun di antara dua regu senior malah lapan pasukan terbaik selepas Pusingan Akhirnya, bakal berentap bagi Piala Perdana Menteri dan ganjaran lebih besar pada Februari tahun depan.

Hasil dua pusingan Siri Super lalu turut meletakkan Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kalangan baki slot berkenaan malah berkongsi 12 mata di samping pencabar di tangga kesembilan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Liga Siri Super turut menjadi pemanas badan terbaik skuad elit menjelang Siri Super 2 Istaf yang dipindahkan ke Palembang dari 23 hingga 26 Februari depan selepas PSM enggan mengotakan janji melangsungkannya di Kuala Terengganu dari 8 hingga 11 Disember lalu.

Malaysia masih di ranking kedua dunia (525 mata) di belakang Thailand (750) sambil dirapati Indonesia (475) yang mengecewakannya empat kali sejak Siri Super 1 dan Piala Raja Thai di Bangkok, (September) serta Sukan SEA di Palembang, bulan lalu.
 
Usah jadikan kami ‘kambing hitam’

‘PSM tak wajar jadikan kami mangsa bagi ‘selamatkan’ diri daripada kekalahan memalukan’

PUAS memendam rasa, akhirnya tekong berpengalaman skuad sepak takraw negara, Nor Azman Abdul Hamid menyuarakan apa yang terbuku di hatinya, semalam.

Tekong yang terkenal dengan panggilan ‘Man Kuda’ itu mengingatkan pemimpin Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak menjadikan dia dan rakan-rakannya sebagai mangsa bagi ‘menyelamatkan’ diri berikutan kekalahan memalukan di Sukan SEA XXVI, bulan lalu.

“Hati saya sedih kerana PSM berulang kali menuding jari dan menyalahkan pemain dengan menuduh kami tidak mempunyai semangat juang tinggi ekoran kekalahan memalukan itu. Saya mahu tegaskan mana ada pemain yang bermain mahu kalah, apa lagi, membabitkan imej serta maruah negara.

“Namun, saya tidak hairan dengan sikap PSM kerana inilah watak sebenar mereka sejak dulu hingga sekarang. Ketika pasukan menang, mereka ibarat seperti ‘lebih sudu daripada kuah’ apabila lebih menonjolkan diri daripada pemain, tetapi apabila kalah, pemain dijadikan mangsa,” katanya.

Nor Azman, 28, berkata keaiban kalah kepada tuan rumah Indonesia tidak harus diletakkan di bahu pemain, sebaliknya PSM juga perlu bertanggungjawab.

“Namun, pernahkah PSM muhasabah diri setiap kali skuad negara kalah? Saya mahu tanya pernahkah mereka menjenguk kami berlatih, mengambil tahu masalah pemain serta mengambil berat mengenai kebajikan kami?

“Saya tidak mahu memalukan sesiapa, tetapi jika mahu menyediakan jersi untuk pemain pakai pun susah, apalagi, nak bagi elaun tambahan kepada pemain. Saya nak bagi tahu, kami semua hanya bergantung sepenuhnya elaun yang diberi Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.
 
Skuad PSM bermula garang

SKUAD Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bermula garang pada hari pembukaan pusingan akhir Siri Liga Super PSM 2011 selepas mudah memenangi dua perlawanan awal semalam.

Mereka menewaskan Perak pada perlawanan pembukaan disusuli dengan kemenangan mudah ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan kedua.

Skuad PSM kelihatan cemerlang apabila ketiga-tiga regunya dengan mudah menewaskan pencabar dari dua negeri tersebut dengan keputusan 3-0 dan mengambil masa kurang daripada 30 minit untuk menamatkan setiap set permainan.

Namun bagi Penyelaras PSM, Amir Abu Bakar, dia belum mahu mendabik dada dengan kejayaan anak-anak buahnya itu meskipun melihat pasukannya menguasai kejohanan sirkit ketiga selama empat hari itu.

Jelasnya lagi, beliau mahu barisan pemainnya sentiasa berusaha dengan lebih keras dan tidak memandang mudah terhadap pasukan lawan ketika beraksi kelak.

“Prestasi mereka pada hari ini (semalam) memuaskan setelah menewaskan Perak dan Negeri Sembilan. Sebagai pemain kebangsaan, mungkin dua perlawanan itu belum cukup memuaskan kerana mereka tidak mendapat tentangan yang hebat.

“Perak membariskan pemain-pemain Sukma (Sukan Malaysia) mereka yang dilihat tidak mendatangkan masalah kepada PSM.

“Manakala bagi negeri Sembilan pula, mereka menurunkan pemain yang sama yang pernah beraksi dalam dua siri liga sebelum ini. Jadi, kita boleh baca rentak permainan mereka,” kata Amir.

Tambahnya, mungkin saingan pada hari kedua, bakal menjadi lebih sengit terutamanya daripada pasukan Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Hasil daripada pemerhatian saya terhadap pasukan-pasukan lain, apa yang boleh saya katakan ialah mungkin ATM dan Terengganu sebagai pesaing utama untuk meraih kejuaraan pada siri ketiga ini.

“Pagi esok (hari ini) kami dijadualkan akan berdepan dengan Terengganu, mungkin dari situ kita boleh nilai sejauh mana kemampuan skuad PSM untuk terus mendominasi kejohanan ini,” jelasnya.

Sehingga kini, skuad elit negara yang dibarisi oleh pemain-pemain yang berentap pada sukan SEA 2011 itu belum lagi ditewaskan oleh mana-mana pasukan bagi kejohanan Siri Liga Super PSM tahun ini.

Setakat ini, PSM mendahului carta liga dengan kelebihan dua mata di hadapan Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Bagi perlawanan lain, ATM menunjukkan taringnya dengan menewaskan Selangor dalam satu perlawanan sengit dengan keputusan 2-1 sementara Terengganu pula menewaskan PDRM 2-1.

Kelantan pula berjaya menumbangkan Negeri Sembilan 3-0 bagi perlawanan pertama mereka disusuli kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada perlawanan kedua.

Saingan hari kedua akan bermula hari ini dan semua perlawanan berlangsung di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
 
Back
Top
Log in Register