BTC USD 83,025.8 Gold USD 4,194.30
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sepak Takraw

sepak takraw ni kena overhaul, dah lama sangat enjin tu.
 
‘Jika tahu malu, letak jawatan’

Ahli gabungan boleh ubah, kita seperti ‘anjing menyalak bukit’: Zabidi

“KITA tiada kuasa meminta seseorang itu meletak jawatan, tetapi jika seseorang itu tahu erti tanggungjawab dan mempunyai perasaan malu serta bersalah, dia sudah berbuat demikian secara sukarela,” demikian reaksi bekas perejam terbilang negara, Zabidi Sharif.

Zabidi mengulas desakan beberapa pihak agar Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail bertanggungjawab di sebalik kekalahan memalukan kepada Indonesia di Sukan SEA XXVI lalu dengan meletak jawatan disandangnya sejak sedekad lalu.

“Sebenarnya, ahli gabungan PSM yang mempunyai kuasa, tetapi andai mereka sendiri tidak sanggup berubah dan mahu melihat sukan tradisi ini terus diaibkan dan dihina, kita tidak mampu berbuat apa-apa kerana kita hanya akan menjadi seperti ‘anjing menyalak bukit’.

“Apa yang berlaku kepada sepak takraw hari ini adalah hasil daripada benih-benih yang ditanam PSM 10 tahun lalu. Jika PSM membentuk dua pasukan – skuad negara dan pelapis – seperti yang dilakukan kepimpinan sebelum ini, kita tidak menghadapi masalah kekurangan pemain seperti hari ini.

“Malah, saya yakin dengan sumber pemain yang kita miliki hari ini, sesiapa jurulatih yang mengambil alih pasukan termasuk yang turun dari langit sekali pun, dia tidak akan mampu membentuk skuad yang mantap dalam sekelip mata,” katanya yang kini membimbing secara separuh masa skuad sepak takraw Sekolah Sukan Jitra, Kedah.

Zabidi yang membentuk gandingan emas bersama Iskandar Arshad, Ahmad Jais Baharom dan Malek Shamsudin pada Sukan Asia 1994 juga menegaskan badi kekalahan kepada Indonesia dalam acara berpasukan akan terus menghantui skuad negara selepas ini sekiranya skuad negara bertemu lawan itu dalam mana-mana pertandingan.
 
'Kepemimpinan PSM tidak miliki jiwa'

Tindakan mereka bergantung hidup atas takraw faktor utama kemerosotan sukan itu: Salim

TINDAKAN pemimpin Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang mencari keuntungan dan bergantung hidup atas sukan tradisi itu menjadi faktor yang menyumbang kepada kemerosotan dan keaibannya termasuk di Sukan SEA XXVI, bulan lalu.

Pandangan itu disuarakan bekas perejam negara, Salim Yusof, 52, yang berpendapat kepemimpinan badan induk itu sebenarnya tidak memiliki jiwa dan semangat sejati dalam membangun serta memajukan sukan berkenaan.

“Mereka menjadikan PSM seperti parti politik dan jika kepimpinan sedia ada terus ‘bergayut’ dengan jawatan masing-masing, percayalah sukan tradisi kesayangan kita ini tidak akan ke mana-mana, sebaliknya akan terus tenggelam.

“Jadi, lebih baik mereka berundur secara terhormat dan memberi peluang kepada muka baru yang ada idea lebih segar untuk memacu dan membangunkan sukan tradisi ini,” katanya yang pernah beraksi bersama ‘Raja Sepak Takraw’ Adnan Saidin dalam skuad kebangsaan pada 1979 hingga 1987.

Salim berkata, dia percaya sepak takraw negara tidak akan diaibkan hari ini jika kepimpinan PSM memiliki program pembangunan terancang di peringkat sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

“Apa yang mereka lakukan dalam membangunkan dan memajukan sepak takraw? Bagi saya tiada langsung dan pertandingan pula sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Mereka hanya mahu keputusan mendadak tanpa mahu buat kerja dan berusaha.

“Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku hari ini dan pernah menyuarakan pandangan bagi membantu membangunkan sukan ini, tetapi malangnya PSM melihat saya dan bekas pemain lain sebagai penentang mereka,” katanya yang kini menjadi Pegawai Belia dan Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.
 
'PSM cuba alih tumpuan'

Kegagalan di Sukan SEA dedah belang sebenar mereka: Futra

TINDAKAN kepimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang cuba mengalih tumpuan dengan menegaskan mereka tidak patut dipersalahkan kerana beberapa sukan lain turut gagal membawa pulang emas dari Sukan SEA XXVI bulan lalu, membuktikan mentaliti sebenar badan induk itu.

Adakah mereka tidak terfikir bahawa sepak takraw adalah sukan tradisi dan maruah kita yang perlu dipertahankan. Adakah mereka rela melihat kita terus diaibkan dan dihina apabila tewas kepada pasukan yang selama ini menjadi lauk kita.

Jadi, alasan PSM bahawa mereka tidak wajar dipersalahkan kerana beberapa sukan lain turut gagal menang emas membuktikan selama ini mereka tidak sedar betapa bernilai dan istimewa sukan tradisi ini, kata bekas perejam Mohd Futra Abdul Ghani, semalam.

Mohd Futra yang mengambil inisiatif sendiri bagi membangunkan dan memajukan sukan tradisi ini dengan menganjurkan Klinik Jelajah Sepak Takraw Bersama Futra Ghani sejak awal tahun ini, mengakui masa depan sukan tradisi itu akan terus suram andai kepimpinan PSM kini masih kekal.

Mungkin beberapa bekas pemain yang memberi pandangan masing-masing sudah lama meninggalkan sepak takraw, tetapi saya yang baru ini pun akui sebenarnya tidak banyak yang dilakukan kepimpinan PSM dalam membangun dan memajukan sukan tradisi ini.

Bagi saya PSM bernasib baik kerana pemain hari ini lahir hasil bantuan Kementerian Pelajaran dan Majlis Sukan Negara (MSN). Jika tidak, kita tidak akan memiliki pasukan kebangsaan dan sudah lama sukan tradisi kesayangan ini berkubur, katanya.

Sehubungan itu, Mohd Futra yang menamatkan kemarau 12 tahun memenangi emas bersama Normanizam Ahmad dan Dzulkarnain Ariff di Sukan SEA Manila 2005, percaya nasib malang sepak takraw mampu diubah andai muka baru diberi peluang mentadbir dan menguruskan PSM.
 
Zaman gelap sepak takraw kita

KEGAGALAN membawa pulang sebutir pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia bulan lalu memberi tamparan yang hebat buat sukan sepak takraw negara.

Selain jurulatih dan barisan pemain skuad elit itu, pemimpin tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut menerima tempiasnya.

Selepas hampir sebulan temasya itu berlalu, kegagalan tersebut masih lagi menjadi topik hangat dalam kalangan pemerhati dan pengkritik sukan tanah air.

Kesempatan ini juga digunakan sepenuhnya oleh musuh-musuh PSM untuk mengkritik dan mendesak barisan pemimpin tertinggi persatuan tersebut supaya meletak jawatan.

Beberapa individu termasuk bekas jurulatih dan pemain negara mendakwa Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail perlu bertanggungjawab atas kekalahan memalukan itu.

Sebagai balasannya, Ahmad perlu meletak jawatan untuk memberi ruang kepada individu yang lebih berwibawa bagi memimpin badan induk sukan tradisi orang-orang Melayu itu.

Bagaimanapun, bercakap memang mudah tetapi untuk menghadapinya cukup sukar.

Ini kerana, budaya menuding jari kepada orang lain sudah sebati dalam kehidupan harian masyarakat di negara ini.

Persoalannya, adakah dengan peletakan jawatan Ahmad itu nanti mampu memulihkan kegemilangan sukan tersebut yang sudah mula tercalar.

Sekiranya benar, siapa agaknya individu yang layak mengambil alih kepimpinan PSM, sekali gus dapat mengubah masa depan sukan sepak takraw negara ini.

Ia mungkin terjawab malam ini apabila beberapa pemimpin tertinggi persatuan negeri dan ahli gabungan bakal mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur.

Selain kemerosotan prestasi para pemain, isu peletakan jawatan itu juga dijangka menjadi topik hangat perbincangan dalam kalangan ahli-ahli majlis badan induk persatuan sepak takraw negara ini.

Namun, beberapa pemimpin tertinggi yang dihubungi Kosmo! memberi pandangan berbeza mengenai isu tersebut.

Naib Presiden 1 PSM, Datuk Tengku Muhammad Sultan Abu Bakar berkata, beliau enggan memberi sebarang komen kerana ia dilihat bakal mengeruhkan lagi situasi tersebut.

“Saya sudah lama tidak ‘bersama’ PSM kerana mengalami masalah kesihatan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri.

“Atas faktor kesihatan juga, saya bersedia melepaskan jawatan selaku Naib Presiden 1 PSM, sekali gus memberi tumpuan sepenuhnya kepada persatuan negeri,” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNT) itu.

Naib Presiden II, Datuk Awang Sham Amit pula berpendapat, sudah sampai masanya ahli jawatankuasa PSM mengundurkan diri, sekali gus memberi peluang kepada individu lain untuk memimpin dan memajukan sukan tersebut.

Katanya, kegagalan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu memberi gambaran yang amat jelas bahawa kepimpinan PSM ketika ini tidak lagi berkemampuan untuk memikul tugas tersebut.

“Bukan sahaja pemain, bekas pemain, peminat dan pemerhati sukan serta pemimpin tertinggi negara juga berasa kecewa dengan kemerosotan skuad negara di peringkat antarabangsa.

“Jadi, saya rasa sudah sampai masanya ahli jawatankuasa PSM termasuk presiden mengundurkan diri. Perkara ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur malam esok (malam ini).

“Atas kapasiti Naib Presiden PSM, saya bersedia meletak jawatan dan berharap rakan-rakan seperjuangan yang lain turut berbuat demikian. Sudah terlalu lama persatuan ini bergolak.

“Kita perlu sedar, ada orang tidak sukakan kita. Jadi, kita perlu memberi peluang kepada individu lain untuk memimpin,” kata Awang Sham yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah (Astaka).

Awang Sham berkata, beliau yakin ramai individu di luar sana yang boleh memimpin persatuan ini tetapi sedikit perubahan perlu dilakukan, terutamanya yang berkaitan dengan perlembagaan.

Untuk rekod, Awang Sham pernah menggalas tugas selaku pengurus pasukan pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Sementara itu, Naib Presiden IV, Datuk Dr. Paruwadi Musa berkata, isu peletakan jawatan Ahmad hanya satu mainan politik dan dicetuskan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Jangan campuradukkan sukan dengan politik. Kita sepatutnya berfikir bagaimana cara untuk memajukan sukan tradisi orang- orang Melayu ini. Sukan ini sedang menuju ke era profesional.

“Persoalan utama, sekiranya Ahmad mengundurkan diri, siapa calon yang lebih layak dan terbaik untuk menggantikan tempat tersebut?

“Sebenarnya, beliau (Ahmad) tidak ada masalah untuk meletak jawatan. Beliau tidak ada apa-apa kepentingan. Beliau cuma sayangkan sukan ini dan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk kemajuan sukan ini,” kata Paruwadi yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS).

Menurut Paruwadi, kemerosotan sukan sepak takraw di negara ini bukan berpunca daripada presiden, pengurus atau jurulatih.

Sebaliknya, sikap para pemain itu sendiri yang menyebabkan mutu sukan ini semakin merudum sejak akhir-akhir ini.

“Segala-galanya tidak akan menjadi tanpa kerjasama dan semangat para pemain itu sendiri. Apa yang saya lihat, kegagalan skuad negara berpunca daripada tiadanya semangat juang yang tinggi dalam diri para pemain.

“Kekurangan ini dapat dilihat dengan jelas, terutamanya pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu. Para pemain negara kelihatan lesu, tidak bermaya dan seolah-olah belum bersedia untuk menghadapi perlawanan penting tersebut.

“Persatuan menerusi jurulatih dan pengurus telah melakukan segala-galanya tetapi sikap para pemain itu sendiri yang menyebabkan mereka tewas.

“Saya tidak berdiri teguh di belakang Ahmad tetapi akan memberi sokongan padu kepada individu yang boleh buat kerja. Ahmad memiliki ciri-ciri yang diperlukan itu,” kata Paruwadi yang menggalas tugas selaku pengurus skuad wanita pada Sukan SEA lalu.

Paruwadi menegaskan, secara peribadi beliau beranggapan sesiapapun yang memegang jawatan presiden akan berdepan masalah sekiranya sikap berpolitik wujud dalam persatuan tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PSM, Mohd. Shapian Ali menganggap pemecatan Ahmad bukan jalan penyelesaian terbaik.

Sebaliknya, Shapian yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) menegaskan, semua persatuan negeri perlu bangkit dan mengadakan program pembangunan masing-masing.

“Tidak ada kejohanan atau program pembangunan dibuat oleh persatuan-persatuan negeri menyukarkan PSM untuk mencari pemain bagi mewakili negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemerosotan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Menurut Mohd. Shapian, beliau yakin negara dapat melahirkan pemain-pemain baharu melalui program pembangunan sekiranya persatuan-persatuan negeri bergerak aktif dan tidak berpeluk tubuh.

“Tiada langsung program dan kejohanan menyebabkan kita ditinggalkan oleh negara- negara lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PSM juga perlu melihat semula keupayaan jurulatih-jurulatih yang ada kerana sukan itu sekarang semakin pantas berkembang.

“PSM perlu tingkatkan ilmu pengetahuan jurulatih dengan ilmu-ilmu baharu.

“Kekecewaan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan tersebut,” jelas beliau.
 
'Tak sentuh soal letak jawatan Presiden PSM'

TIADA perbincangan mengenai soal letak jawatan.

Itu jawapan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahaya ketika ditanya mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi badan induk itu yang berlangsung sehingga lewat pagi, kelmarin.

Sebaliknya, apa yang menjadi tajuk perbincangan utama hanyalah berkisar mengenai takwim 2012, laporan Sukan SEA, hala tuju PSM dan isu semasa selepas skuad kebangsaan pulang tanpa kilauan emas daripada Sukan SEA XXVI Indonesia.

“Tidak ada menyentuh mengenai letak jawatan dan mesyuarat semalam (kelmarin) juga ada membincangkan isu semasa terutama campur tangan pihak luar termasuk bekas pemain yang dilihat mahu memecah-belahkan PSM.

“Resolusinya, kami sebulat suara bersetuju setiap ahli perlu menjaga keharmonian dalam persatuan supaya tidak ada pihak ataupun individu mampu memporak perandakan PSM,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai bedah siasat terhadap prestasi hambar skuad kebangsaan di temasya dwitahunan itu dengan pencapaian hanya dua pingat gangsa, Arshad mengakui masih banyak lompong yang perlu ditutup segera andai mahu melihat pasukan kebangsaan kembali menyinar.

“Kita juga lihat kelemahan sekarang ini masih boleh diperbaiki. Ini termasuk aspek merencana program pembangunan dan pemilihan pemain akan datang,” katanya.
 
Regu emas Sukan Asia 1994 diberi kepercayaan bimbing skuad elit

PEMENANG pingat emas dalam acara regu sepak takraw pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun akan digandingkan semula.

Begitupun, trio yang menampilkan kelibat Ahmad Jais Baharun, Iskandar Arshad dan Abdul Malik Samsudin ini bukan diletakkan selaku pemain tetapi dengan peranan yang berbeza.

Ketiga-tiga pemain ini dilantik sebagai jurulatih skuad elit bagi membentuk semula sebuah pasukan yang digeruni bersama ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan.

Pelantikan ketiga-tiga bekas pemain negara ini diputuskan dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur kelmarin.

“Ahli Majlis Tertinggi PSM telah bersetuju untuk menggandingkan semula Ahmad Jais, Iskandar dan Malik selaku jurulatih skuad elit negara,” kata Ketua Seranta, Yusoff Ali semalam.

“Ketiga-tiga pemain ini dijangka akan memulakan tugas secara rasmi pada Januari ini.

“Jadi, kami berharap dengan kehadiran bekas pemain yang dianggap paling berpengalaman ini dapat membantu PSM untuk membentuk skuad yang mantap, sekali gus digeruni semula di rantau Asia Tenggara dan Asia.”

Untuk rekod, trio ini merupakan yang terakhir memenangi pingat emas dalam acara sepak takraw pada temasya Sukan Asia.

Pada final tahun 1994 di Hiroshima, trio ini menamatkan keegoan Thailand untuk bergelar Olimpian Majlis Olimpik Malaysia yang sehingga kini belum ada galang gantinya.

Sudah empat edisi Sukan Asia yang bermula di Bangkok (Thailand), Busan (Korea Selatan), Doha (Qatar) dan Guangzhou (China) skuad negara gagal membawa pulang pingat emas.

Sebaliknya, musuh tradisi, Thailand terus berkuasa, sekali gus mele- barkan kemarau pingat emas Malaysia sehingga hampir dua dekad lamanya.

Iskandar pernah mengetuai barisan jurulatih skuad elit negara sambil dibantu Amir Abu Bakar, Nasir Ismail, Ku Halim Ku Musa dan Rosli Ab. Rahman sepanjang 2010.

Bagaimanapun, beliau yang kembali membimbing skuad negeri di Pahang tidak dapat meneruskan tugas pada tahun lalu kerana menghadapi masalah pelepasan kerja.

Ahmad Jais pula sudah memulakan tugas sebagai pembantu kepada Jamaluddin pada tahun lalu.

Kehadiran Malik yang sebelum ini pernah melatih pasukan Maksak Kedah dianggap sebagai pelengkap kepada barisan kejurulatihan skuad elit negara.

Dalam pada itu, ASP Baharim Tahir dilantik sebagai pengurus skuad elit lelaki, manakala tugas pengurus skuad elit wanita digalas Fadzil Hashim.
 
Back
Top
Log in Register