Malapetaka menanti Malaysia
YANG dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Demikian nasib skuad sepak takraw negara yang sehingga kini dilihat masih tercari-cari formula terbaik supaya kembali digeruni di pentas antarabangsa.
Ketika usaha mengekang dominasi musuh tradisi, Thailand dilihat semakin sukar, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) juga terpaksa menerima hakikat betapa pasukan-pasukan lain seperti Indonesia dan Korea Selatan juga kini sudah boleh ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan skuad elit negara.
Mungkin ia bukan sesuatu cerita yang baharu, namun tumbang kepada Indonesia di peringkat suku akhir Siri Super I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Bangkok, Thailand kelmarin menjadi petanda yang cukup jelas buat skuad sepak takraw negara.
Apa yang pasti, negara kini ketandusan pemain pelapis berkaliber bagi memberikan saingan positif terhadap skuad sedia ada.
Bekas pemain negara, Nasir Ismail berkata, tewas kepada nama-nama baharu dalam sepak takraw sememangnya satu malapetaka buat Malaysia.
Menurutnya, ‘industri’ sepak takraw negara kini mengalami ‘zaman hitam’ apabila tidak memiliki calon pengganti yang boleh bersaing dengan pemain sedia ada.
“Pemain kita sebenarnya kurang menerima persaingan ketika latihan, balik-balik orang (pemain) yang sama beraksi gara-gara ketiadaan pemain pelapis berpotensi sehingga menyebabkan prestasi mereka tidak meningkat.
“Saya lihat permainan sepak takraw kelihatan sungguh asing bagi remaja zaman sekarang jadi susah kita hendak mencari pemain berbakat, justeru semua pihak harus memainkan peranan mempopularkan semula permainan tersebut di kalangan generasi muda,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Nasir berkata, situasi itu jelas berbeza dengan negara-negara lain seperti Thailand dan Korea Selatan yang giat mencungkil bakat-bakat muda sebagai pelapis skuad kebangsaan masing-masing.
Seorang lagi bekas pemain negara, Ku Halim Ku Musa berkata, usaha untuk mempopularkan semula sukan sepak takraw wajar dilaksanakan segera sejak peringkat sekolah.
Malah katanya, cadangan untuk mengimport jurulatih dari luar bukan penyelesaian mudah bagi memartabatkan semula skuad sepak takraw kebangsaan memandangkan negara sendiri memiliki ramai jurulatih berpengalaman, selain kemenangan dalam setiap perlawanan sebenarnya dipengaruhi oleh sejauh mana keyakinan pemain beraksi.
“Pemain kita lazimnya berhati kecil (gementar) ketika berjumpa Thailand, sebaliknya berhati besar (terlalu yakin) ketika menentang pasukan kurang ternama sehingga sering melakukan kesilapan mudah yang akhirnya memakan diri sendiri.
“Saya harap pemain sedia ada bertanggungjawab mempertingkatkan skil individu masing-masing, jangan hanya bergantung harap dengan latihan yang disediakan jurulatih jika tidak lagi mahu menanggung malu dikalahkan pasukan-pasukan yang satu masa dahulu dibelasah pasukan kita,” katanya.