combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
RUU Jenayah Siber 2026 Perkukuh Keupayaan Negara Tangani Ancaman Semakin Kompleks
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 amat penting bagi memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks seiring perkembangan teknologi digital, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata RUU berkenaan digubal untuk menutup jurang dalam undang-undang sedia ada, memperkukuh aspek pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan serta memastikan sistem perundangan negara kekal relevan dengan cabaran siber semasa.
Katanya penggubalan RUU itu oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN JPM) menekankan prinsip ‘technology-neutral’ seperti diterapkan dalam Konvensyen Budapest dan Konvensyen UN bagi membolehkan pelaksanaannya dapat disesuaikan dengan evolusi teknologi semasa.
“Ia akan dikuatkuasakan bersama dengan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan NACSA, MKN JPM,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid berkata RUU itu memperuntukkan penubuhan, keanggotaan, fungsi dan mesyuarat Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber yang boleh menubuhkan suatu jawatankuasa kecil dan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Beliau berkata RUU itu turut memperuntukkan kesalahan-kesalahan berhubung dengan kerahsiaan, integriti dan ketersediaan sistem komputer serta data komputer seperti penggodaman, serangan perisian tebusan atau hasad serta penyalahgunaan peranti.
“Bahagian IV memperuntukkan kesalahan berhubungan dengan pemalsuan berkaitan komputer dan fraud berkaitan komputer. Kedua-dua kesalahan ini kesalahan jenayah tradisional yang ditingkatkan skalanya atau capaiannya dengan menggunakan sistem komputer, rangkaian komputer atau bentuk ICT lain,” katanya.
Selain itu, RUU berkenaan memperuntukkan kesalahan berkaitan perkhidmatan identiti digital negara atau MyDigital ID yang mengguna pakai piawaian dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa demi menjamin aspek keselamatan maklumat.
Ahmad Zahid berkata peruntukan itu akan melindungi maklumat identiti digital seseorang daripada diperoleh, disimpan, atau dibekal serta dihantar kepada pihak lain tanpa justifikasi yang sah, terutamanya untuk tujuan jenayah.