BTC USD 76,071.1 Gold USD 4,264.21
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Regatta Lepa Platform Perkenal Warisan, Bentuk Identiti Semporna

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,763
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,763
Reaction score
289
Points
146

Regatta Lepa Platform Perkenal Warisan, Bentuk Identiti Semporna​

2d8eed36c825921c04681e4a0d2dd53c6a40b95a2c978


Perahu lepa yang megah belayar pada perayaan tahunan Regatta Lepa di sini bukan sekadar tradisi maritim, tetapi platform penting memperkenalkan warisan budaya ke mata dunia serta membentuk identiti masyarakat setempat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata penganjuran edisi ke-31 selama tiga hari yang berakhir hari ini, telah berkembang menjadi antara acara kebudayaan dan pelancongan paling berprestij serta mendapat pengiktirafan meluas pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Jafry berkata kepelbagaian aktiviti tradisional seperti pertandingan perahu lepa hiasan, sukan laut, perlumbaan perahu, pameran, Malam Sangom Maglami-Lami, Larian Lepa dan pertandingan Ratu Lepa berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat dan pelancong ke daerah itu.

“Budaya kini bukan lagi sekadar simbol tradisi tinggalan sejarah, tetapi dalam era globalisasi ia menjadi aset strategik yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, memperkukuh perpaduan sosial dan meningkatkan daya saing destinasi pelancongan kita,” katanya kepada Bernama.

Regatta Lepa ialah perayaan tradisi dan acara kebudayaan Sabah yang melambangkan warisan maritim masyarakat Bajau Semporna yang bermula sebagai penghargaan terhadap perahu lepa sebagai pengangkutan utama pada masa dahulu sebelum berkembang menjadi acara bertaraf dunia.

Selain itu, Jafry berkata Regatta Lepa lahir daripada hubungan erat yang harmoni antara masyarakat Bajau Semporna dengan khazanah laut, pulau serta sumber alam sekeliling yang menjadi nadi kehidupan mereka sejak turun-temurun.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebarang usaha memelihara warisan, seni ukiran dan adat resam tidak akan membuahkan hasil jika komuniti mengabaikan pemuliharaan ekosistem marin termasuk kebersihan laut, kesihatan terumbu karang dan kekayaan biodiversiti.

“Kita mahu generasi masa depan bukan sahaja mendengar kisah Regatta Lepa, tetapi berpeluang menyaksikan dan menghayatinya dalam suasana sebenar dan penuh makna. Budaya dan alam sekitar tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Jafry berkata impak sosioekonomi perayaan itu sangat signifikan dalam merancakkan rantaian ekonomi domestik menerusi peningkatan permintaan terhadap sektor penginapan, makanan dan pengangkutan selain turut membuka ruang promosi kepada pengusaha kraf tangan dan peniaga kecil di Semporna.

 
Back
Top
Log in Register